Sunday, September 29, 2013

ENDOMETRIOSIS USIA MUDA

SOALAN

SAYA berumur 25 tahun dan pernah menghidap endometriosis. Saya menjalani pembedahan laparoskopi dua tahun lepas. Selepas pembedahan, doktor memberitahu endometriosis saya berada pada tahap tiga. 

Saya juga sudah menjalani rawatan susulan selama enam bulan dengan mengambil suntikan Lucrin. Semasa pengambilan Lucrin yang keenam, doktor mengimbas dan mendapati sista saya masih ada lagi dua sentimeter. Berikutan suntikan Lucrin saya sudah cukup, doktor mencadangkan mengambil pil perancang Yasmin pada bulan akan datang. Ketika ini, saya belum ada perancangan untuk berkahwin. Apakah kebaikan dan keburukan pil perancang Yasmin bagi penyakit endometriosis? 

l Liza, Selangor

Jawapan

Sebelum saya menjawab mengenai kebaikan dan keburukan pil perancang seperti Yasmin sebagai rawatan susulan penyakit endometriosis, saya harap saudari faham akan komplikasi penyakit itu sendiri berikutan saudari masih lagi muda dan belum berkahwin. Endometriosis adalah penyakit kronik yang boleh didapati pada kes-kes infertiliti (20 hingga 30 peratus), senggugut (40 hingga 60 peratus) dan sakit kronik pada bahagian pelvis (15 peratus). Gejala-gejala tipikal endometriosis (selalunya kombinasi) adalah ketidaksuburan dan sakit pada bahagian pelvik yang kronik. Sakit ini boleh berbentuk senggugut setiap bulan, sakit yang konsisten setiap hari atau sakit ketika hubungan seksual. Jarang sekali mereka mengalami sakit semasa kencing atau membuang air besar. 

Pada usia saudari, endometriosis mempunyai risiko berulang setinggi 30 peratus. Ini bermakna jika saudari mengalami senggugut, ia akan berlaku semula walaupun rawatan suntikan Lucrin dan pil perancang keluarga sudah diberikan. Ini adalah dilema bagi para doktor kerana kami tahu ia akan timbul semula dan rawatan yang diberi hanya untuk memperlahankan pertumbuhan endometrisosis buat sementara waktu. Ini termasuklah berulangnya kejadian sista pada ovari. 

Endometriosis sensitif pada hormon estrogen, jadi dengan memberhentikan produksi hormon estrogen daripada ovari dapat membantutkan pertumbuhannya. Suntikan Lucrin yang diberi menyebabkan saudari berada dalam keadaan 'menopaus' buat sementara waktu. Suntikan Lucrin dapat mempertahankan haid daripada berlaku mungkin untuk beberapa bulan sahaja sehinggalah ovari saudari pulih semula. Pil perancang keluarga yang diberi dapat menghalang ovari berfungsi dengan menghalang telur (ovum) berovulasi setiap bulan. Dengan cara ini, endometriosis dapat dikawal terutama jika ia dikaitkan dengan senggugut dan kitaran haid yang tidak menentu. 

Jadi, saya rasa ini pilihan yang terbaik untuk saudari sehinggalah saudari merancang untuk berkahwin dan hamil. Pil perancang pada kes-kes endometriosis baik untuk mengurangkan senggugut, kitaran haid menjadi tepat, pendek dan sedikit. 

Secara amnya, pil perancang adalah selamat kerana ia sudah berada di pasaran dan diambil berbilion wanita.

 Justeru, saudari tidak perlu melambatkan perkahwinan atau hamil kerana endometriosis diketahui boleh merosakkan salur Fallopio dan mengganggu ovulasi.

No comments: