Sunday, September 29, 2013

HARAPAN PESAKIT MYELOFIBROSIS

Selain pemindahan sumsum tulang, pesakit myelofibrosis boleh dirawat dengan ubat ruxolitinib.
 - Gambar hiasan -
 
MYELOFIBROSIS adalah sejenis penyakit kelainan darah yang sangat jarang ditemui namun boleh mengancam nyawa pesakit. 

Ia boleh berlaku secara sama rata kepada lelaki dan wanita dengan kebanyakannya dijumpai di kalangan mereka berusia 50 hingga 80 tahun.

Ia juga adalah sejenis penyakit leukemia yang kronik, kanser darah yang menjejaskan tulang sumsum dan mengganggu penghasilan sel darah yang normal. 

Apabila tulang sumsum menghasilkan terlalu sedikit sel darah, limpa akan mengambil alih tugas tersebut lalu menyebabkan kebanyakan pesakit mempunyai limpa yang membesar. 

Limpa yang membesar menyebabkan sakit di bahagian abdomen atau di bawah tulang rusuk dan juga berasa cepat kenyang ketika makan. 

Myelofibrosis berlaku secara perlahan dan seseorang itu mungkin tidak mengalami sebarang gejala pada peringkat awal. 

Kajian menunjukkan pesakit yang menghidapi myelofibrosis mempunyai jangka hayat lebih pendek dengan purata kadar peluang untuk hidup secara keseluruhan sebanyak 5.7 tahun. 

Bekas Presiden Persatuan Hematologi Malaysia, Dr. Ng Soo Chin berkata, myelofibrosis adalah penyakit darah yang sangat kompleks dan tidak mempunyai gejala yang jelas pada peringkat awal. 

"Setakat ini, pemindahan sumsum tulang adalah satu-satunya rawatan yang dapat menyembuhkan pesakit tetapi prosedur ini juga boleh menyebabkan komplikasi yang lain. 

"Pilihan ini dikaitkan dengan risiko yang tinggi dan komplikasi tersendiri seperti penyakit graft-vs-host, di mana sel-sel induk baru bertindak balas dengan tisu badan yang sihat. 

"Saya gembira dengan pengenalan ubat ruxolitinib sebagai rawatan untuk myelofibrosis yang memberi harapan baru kepada pesakit," ujarnya ketika pelancaran ubat ruxolitinib oleh syarikat farmaseutikal terkemuka dunia, Ovartis, baru-baru ini. 

Ruxolitinib bertindak menghalang enzim yang menyebabkan tisu parut terbentuk di dalam tulang sumsum.

Analisis pakar selama tiga tahun menunjukkan risiko kematian menurun sebanyak 52 peratus dan peluang untuk hidup secara keseluruhannya bertambah baik dengan ruxolitinib berbanding rawatan terapi terbaik yang sedia ada.

Lebih separuh (51.4 peratus) pesakit yang dirawat dengan ruxolitinib berjaya mencatatkan penurunan saiz limpa sebanyak 35 peratus atau lebih berbanding saiz dasar sebelum rawatan.

"Keputusan terbaru kajian klinikal sungguh menggalakkan dan menyenangkan hati kami apabila pesakit mengalami perubahan yang ketara dan berasa lebih baik," ujarnya yang juga Pengasas Persekutuan Hematologi ASEAN.

No comments: