Sunday, September 29, 2013

PENJAGAAN SELEPAS PEMBEDAHAN \ CAESAREAN \

Luka caesarean biasanya akan sembuh sebulan selepas bersalin. - Gambar Hiasan

Soalan - Saya baru bersalin empat bulan yang lalu secara pembedahan caesarean. Bilakah masa yang sesuai untuk melakukan hubungan kelamin? Adakah saya perlu menjaga makanan selepas berpantang berbanding bersalin secara normal?

Aida, Melaka

l Jawapan Berkenaan soalan tentang bilakah masa sesuai untuk mengadakan hubungan kelamin selepas bersalin secara pembedahan caesarean, sebaik-baiknya pastikan darah nifas telah kering dan mandi hadas telah dilakukan. 

Bagi yang tidak mempunyai pengalaman bersalin secara caesarean, sebenarnya bersalin caesarean juga sama seperti bersalin normal iaitu akan ada darah nifas selepas bersalin. Hukum Islam menetapkan seseorang wanita hendaklah mandi hadas besar apabila darah nifas telah kering sebelum hubungan kelamin boleh dilakukan dengan suami. 

Luka caesarean biasanya akan sembuh sebulan selepas bersalin. Jadi, sebaik-baiknya lakukan hubungan kelamin selepas 6-8 minggu selepas bersalin. Berkenaan adakah hubungan kelamin selepas bersalin secara pembedahan caesarean akan sama seperti sebelum mengandung, ia bergantung kepada faktor-faktor seperti perubahan hormon. Biasanya ibu-ibu yang menyusukan bayi akan menghadapi sedikit masalah disebabkan pengeluaran cecair (pelincir) di faraj yang berkurangan kerana badan lebih fokus kepada pengeluaran hormon prolaktin untuk penyusuan bayi. Ibu juga mudah mengalami keletihan kerana menguruskan bayi kecil terutama yang asyik meragam pada waktu malam menyebabkan ada yang tidak cukup tidur.

Selain itu, pasti ada yang merasa was-was dan takut luka caesarean akan terbuka atau terasa sakit. Luka tersebut sepatutnya sembuh selepas sebulan. Tetapi jika anda memang terasa sakit sewaktu hubungan kelamin, pergilah berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut. Anda boleh meminta doktor melakukan imbasan ultrabunyi (ultrasound scan) pada bahagian luka caesarean untuk memastikan tiada sebarang masalah dan komplikasi. Rasa sedikit ngilu pada tempat pembedahan caesarean adalah perkara biasa.

Pengambilan vitamin tambahan seperti kalsium (atau boleh juga gantikan dengan susu), multi vitamin dan vitamin C sangat digalakkan untuk diambil selepas bersalin secara pembedahan caesarean bagi mempercepatkan penyembuhan. Jangan terlalu berpantang dan perlu mengelak daripada mengambil makanan yang tidak berkhasiat.

No comments: