Sunday, September 29, 2013

MERAWAT BAKI TALI PUSAT BAYI

SOALAN

SAYA baru melahirkan anak sulung. Saya harap doktor dapat memberi penerangan cara-cara merawat baki tali pusat bayi. Berapa lamakah baki tali pusat bayi saya terlekat padanya? Bagaimanakah untuk merawat tunggul tali pusat bayi saya? Berapa lamakah pusat itu akan pulih? 

l Rokiah, Pahang

Jawapan

Setelah bayi anda dilahirkan, doktor akan menyepit dan memotong tali pusat bayi anda. Bayi anda tidak akan terasa sakit apabila ini dilakukan. Di tempat tali pusat melekat ke perut, terdapat baki atau tunggul yang tertinggal sepanjang dua ke tiga sentimeter.Tunggul itu akan mengecut, menjadi hitam dan akhirnya gugur lebih kurang seminggu selepas kelahiran. Akan terdapat luka kecil yang akan pulih dan menjadi pusat bayi anda.

Merawat tunggul tali pusat bayi Anda perlu memastikan baki tali pusat bayi anda bersih dan kering untuk mencegah jangkitan kuman. Anda boleh memandikan bayi anda dari atas ke bawah dengan flanel suam basah. Tidak ada masalah jika tunggul itu terkena air. Ini tidak akan melambatkan pemulihan atau memudahkan infeksi. 

Anda boleh mencuci tunggul bayi dengan air biasa atau sabun lembut tanpa wangian atau sedikit pencuci bayi pH neutral yang dicampurkan ke dalam air mandi. Selepas dimandi atau dicuci, tepuk-tepukkan tunggul itu dengan tuala atau kain lembut. Pastikan bayi anda tidak sejuk dan biarkan tunggul kering sebelum memakaikan lampin. 

Anda tidak perlu menggunakan antiseptik untuk baki tali pusat itu. Cukup setakat memastikan ianya bersih. Menggunakan antiseptik bermakna tunggul itu akan mengambil masa lebih lama masa untuk tanggal. 

Bagaimanapun, jika bayi anda dilahirkan pramatang atau telah menghabiskan masa di bawah rawatan khusus, elok juga dipastikan tunggul dicuci bersih dengan antiseptik. Kakitangan unit neonatal akan menasihati anda bagaimana memastikannya bersih. 

Beberapa lagi tip yang boleh ikuti untuk merawat tunggul bayi anda adalah; 

Pastikan anda mencuci tangan, sebelum dan selepas pertukaran lampin dan cucian; biarkan tunggul itu gugur dengan sendirinya; jangan tarik tunggul tersebut; jangan biarkan tunggul itu bergelimun dengan air kencing atau najis. 

Anda boleh lakukan ini dengan melipat pinggang lampin bayi ke bawah. Sesetengah lampin mempunyai lubang di depan untuk membiarkan tunggul itu terdedah. Jika tunggul itu terkena air kencing atau najis, basuh dengan pencuci bayi pH neutral.

Setelah tunggul itu gugur, tunggu antara tujuh hingga 10 hari bagi tempat di kelilingnya pulih sepenuhnya. Anda mungkin ternampak sedikit darah di lampin bayi anda. Ini normal. 

Kadang-kala baki tali pusat itu mengambil lebih masa untuk pulih dan cebisan daging berketul akan muncul di tempat luka. Ini bukan sesuatu yang membimbangkan kerana ketulan ini akan hilang dalam sedikit masa.

Cara untuk mengetahui jika tunggul dijangkiti?Normal bagi baki tali pusat kelihatan kotor semasa memulih atau terdapat nanah. Ini tidak bemakna ia telah dijangkiti. 

Bagaimanapun, jika bayi anda demam panas, menjadi lesu, tidak mahu makan seperti biasa, kelihatan tidak sihat dan pusat serta kawasan sekeliling menjadi bengkak atau busuk atau berair, bermakna baki tali pusat itu telah dijangkiti kuman.

Minta doktor anda memeriksa tunggul itu. 

Doktor anda barangkali mahu menutup tunggul itu. Penutupan diberi nama pengkauterian. Ia prosedur mudah. Doktor akan menggunakan batang kecil diberi nama batang perak nitrat. Ia adalah prosedur biasa dan tidak akan menyakitkan bayi anda sama sekali.

No comments: