Sunday, September 29, 2013

GASTRIK PENYAKIT GAYA HIDUP

RAMLI (bukan nama sebenar) mula menyedari dirinya mengalami sakit perut sekitar Julai 2012. Dia menyangka keadaan itu cuma sakit perut biasa. Ramli pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Doktor mengatakan Ramli berkemungkinan menghidap gastrik . Hari demi hari, sakit semakin kerap berulang. Setiap kali sakit perut, pasti Ramli akan klinik untuk mendapatkan rawatan. Ubat yang diberikan adalah ubat gastrik dan ubat tahan sakit. Pada penghujung 2012, sakit semakin serius kerana apabila sakit menyerang, Ramli dapat rasakan perutnya seperti dicucuk-cucuk dengan pisau atau benda yang tajam.

Keadaan ini membuat hidup Ramli jadi tidak terurus. Ramli kerap mengambil cuti sakit. Sedikit-sebanyak menjejaskan kerja-kerja di pejabat.

Ramli mengambil keputusan untuk mendapatkan rawatan lanjut di salah sebuah hospital di Lembah Klang. Januari 2013, Ramli menjalani rawatan endoskopi dan keputusan doktor mengesahkan dia menghidap gastrik kategori medium. 

Kenali gastrikMenurut Pakar Perunding Umum Pembedahan Laparoskopi, Dr. Mohd. Faisal Jabar, gastrik adalah masalah sangat lazim dan dibahagikan kepada dua jenis iaitu gastritis (keradangan lapisan mukosa yang melapik dinding perut) dan ulser perut atau peptik pada lapisan sel yang lebih dalam (lebih teruk berbanding gastritis).

"Biasanya apabila orang berkata mereka ada masalah gastrik, ia merujuk kepada keadaan pertama (gastritis).

"Secara semula jadi, sel perut kita menghasilkan asid hidroklorik (dengan pH1 hingga pH2) yang berfungsi mencerna makanan. Asid ini kuat dan jika terkena tangan, kulit akan terhakis. Sel perut menghasilkan lapisan mukosa (lapisan pertahanan) sebagai pelindung daripada kesan asid hidroklorik," katanya yang ditemui di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur.

Tambah Dr. Mohd. Faisal, pengeluaran atau rembesan asid hidroklorik berlaku apabila ada makanan untuk memulakan proses pencernaan dan gastrik berlaku apabila tiada keseimbangan antara kuantiti rembesan asid hidroklorik (terlalu banyak) dengan kekuatan lapisan pertahanan (menjadi lemah). 

Jika lapisan pertahanan ini menjadi lemah, ulser berlaku kerana asid hidroklorik boleh sampai ke sel dan menyebabkan keradangan.

"Jika orang mengadu sakit perut ketika lapar, ia menandakan asid hidroklorik terlalu banyak dalam perut dan sebaliknya jika sakit perut selepas makan, mungkin menandakan masalah ulser perut kerana lapisan mukosa yang sudah lemah.

Secara umumnya, tanda gastrik mudah dikesan kerana gastrik menyebabkan ketidakselesaan pada perut. 

"Antara tanda utama adalah sakit perut (pada bahagian atas perut atau abdomen), senak, berangin atau pedih, tidak selesa, kembung, sendawa berulang kali dan kerap kentut selepas makan, rasa mual (loya) dan muntah, hilang selera makan dan berat badan turun (pada peringkat teruk)," katanya.

Tambah Dr. Mohd Faisal, pada peringkat gastrik kronik, pesakit boleh mengalami ulser perut yang menyebabkan pendarahan dan boleh dilihat dalam dua bentuk iaitu najis menjadi hitam seperti tar serta muntah mengandungi darah atau berwarna gelap seperti kopi.

PuncaAda beberapa pemakanan dan minuman yang boleh menyebabkan atau merangsang penghasilan jus usus untuk dirembeskan dengan banyak. Jus itu melebihi jumlah makanan yang perlu dicerna menyebabkan jus ini menghakis dinding lapisan dalam perut.

Dr. Mohd Faisal menjelaskan, makanan mengandungi kafein seperti kopi, minuman berkarbonat, makanan pedas, berlemak, kari dan minuman keras antara stimulus untuk jus usus dirembeskan dengan banyak.

"Asap rokok sama ada perokok atau perokok pasif dan stres boleh juga menjadi penyebab selain ubat tahan sakit. Adalah amat penting untuk merawat gastrik ini ketika masih di peringkat awal," ujarnya.

Siapa berisikoGastrik adalah masalah sangat lazim dan boleh berlaku pada sesiapa saja. Secara umumnya lebih ramai lelaki mengalami masalah ini dengan nisbah 1.5 hingga dua kali ganda berbanding wanita. Kebiasaannya individu-individu berikut berisiko menghidap gastrik.

l Individu yang kerap mengambil ubat tahan sakit dalam tempoh lama seperti ubat anti keradangan bukan steroid (NSAID). Ini termasuk aspirin (yang diambil pesakit jantung untuk mencairkan darah)

l Merokok dan banyak minum minuman keras. Asap rokok dan alkohol boleh memberi kesan negatif dan mencederakan lapisan pertahanan (lapisan mukosa)

l Jangkitan bakteria Helikobakter pilori (H pilori). Bakteria ini berupaya melemahkan lapisan mukosa melalui dua cara iaitu :

i) Bakteria H pilori menghasilkan enzim urase yang memecah atau menguraikan urea kepada ammonia. Ammonia ini bahan toksik yang boleh menjejaskan lapisan mukosa. Kehadiran banyak ammonia melemahkan lapisan pertahanan yang menyebabkan asid hidroklorik boleh sampai ke sel dan mengakibatkan keradangan

ii) Bakteria H pilori mempunyai bentuk berpilin (berlingkar). Jadi ia boleh membuat lubang pada lapisan mukosa (seperti lubang cacing) yang akhirnya melemahkan lapisan pertahanan ini

l Individu yang banyak mengalami tekanan atau stres sama ada tekanan kerja, peribadi, sosial atau mendapat jangkitan kuman yang teruk juga lebih berisiko diserang masalah gastrik. 

RawatanLazimnya, boleh dikawal dengan ubat gastrik terutama ubat yang boleh mengurangkan rembesan jus usus selain ubat yang boleh meneutralkan jus usus yang sedia ada dalam perut.

Masalahnya, ramai pesakit yang salah anggap kerana tidak mengambil ubat tetapi menggantikannya dengan makanan.

Pesakit seperti ini menganggap apabila mereka tiba-tiba diserang gastrik, mereka perlu makan. Seharusnya, mereka mendapatkan rawatan termasuk pengambilan ubat gastrik seperti yang disarankan oleh pakar.

Oleh itu, Dr. Mohd. Faisal menasihatkan, jika simptom terutamanya sakit menjadi teruk atau muntah semakin kerap, adalah lebih baik jika rawatan lanjut diberikan di wad kecemasan dan seterusnya dirujuk kepada pakar.

"Beberapa ujian pemeriksaan perlu dijalankan seperti OGDS atau endoskopi. Prosedur ini dilakukan dengan memasukkan satu kamera kecil melalui mulut dan melalui kamera itu dinding usus dapat diperhatikan dengan jelas dan mengenal pasti berapa banyak kawasan yang terjejas," ujarnya.

No comments: