Amalan berpantang 100 hari
Amalan penjagaan ibu-ibu selepas bersalin amat diperlukan dalam
memastikan keadaan kesihatan ibu kembali mantap selepas melahirkan anak.
Selalu kita mendengar amalan penjagaan ibu selepas bersalin perlu
mengamalkan 'sistem' berpantang terutamanya dalam jangka masa 44 hari.
Namun menurut pemilik D Hazz Beauty and Health Salon yang terletak di Desa Tasik, Kuala Lumpur, Hasnah Lazim, biarpun jangkamasa tempoh berpantang yang 'diwajibkan' adalah 44 hari tetapi sebaik-baiknya dilanjutkan sehingga ke 100 hari.
Kata Hasnah, penjagaan ini adalah perlu untuk mengurangkan gangguan
angin dalam badan, menjadikan tubuh si ibu tadi benar-benar sihat dan
bertenaga serta stabil dari segi emosi.
''Cubalah penjagaan bersalin sehingga 100 hari untuk menjadikan
ibu-ibu itu benar-benar sihat dan kembali hebat sebagaimana baru
berkahwin dahulu," katanya.
Namun katanya, selepas 44 hari amalan berpantang, hari ke 45 sehingga 100 tidaklah terlalu rigid, terdapat kelonggarannya.
Dalam tempoh ini ibu-ibu dinasihatkan mencari tukang urut tradisional
Melayu yang benar-benar pakar untuk mengurut tubuh si ibu bagi membuang
angin dalam badan, urutan kepala, bahu, payu dara, rahim dan lain-lain
lagi.
Seelok-eloknya gunakan juga pilis dan param di bahagian dahi, tapel
wangi di bahagian perut untuk mengelak sakit kepala dan gila meroyan
sekiranya terdapat masa, sebagai contoh pada waktu malam sekiranya
ibu-ibu telah mula bekerja.
''Biarpun setelah habis berpantang 44 hari, namun ibu-ibu
dinasihatkan agar memakai bengkong (kecuali yang menjalani pembedahan)
dan bertangas menggunakan herba seperti serai wangi, kunyit dan lada
hitam. Bertangas diperlukan untuk mengetatkan peranakan dan
menghilangkan bau badan.
''Selepas tiga hingga empat minggu bersalin, ibu-ibu perlu berlulur seluruh badan serta dimandikan herba," jelasnya.
Kata Hasnah, seelok-eloknya selepas bersalin untuk 'bersama' semula
dengan suami digalakkan selepas 50 hari sehingga ke 100 hari untuk
memastikan kesihatan ibu benar-benar sihat dan mengembalikan semangat
baru.
''Mungkin suami kata lama sangat, namun ini adalah perancangan yang perlu untuk memastikan isteri anda pulih seperti sedia kala.
''Dalam tempoh 100 hari itu juga, ibu-ibu elakkan daripada memakan
makanan yang sejuk seperti sayur-sayuran sejuk kangkung, bayam dan
sebagainya. Banyakkan makan jamu dan herba-herba panas, elakkan minum
air batu dan mandi air sejuk.
'' Seelok-eloknya mandi air suam dan sentiasa memakai stokin untuk
mengelakkan sejuk naik melalui kaki terutamanya ketika dalam penghawa
dingin ketika berada di tempat kerja mahupun di rumah.
''Ketika ini bukan semua ulam-ulaman sesuai dimakan kerana dikhuatiri
sayur ini sejuk. Antara ulaman yang boleh dimakan ialah pegaga,
lempoyang dan halia bara," beritahunya.
Dia juga meminta agar ibu-ibu melakukan senaman kegel selepas 50 hari
bersalin dan amalkan manjakani untuk mengetatkan kembali vagina.
Hasnah yang merupakan pakar urutan tradisional Melayu juga
memberitahu mempunyai 'tongkat ajaib' bagi ibu-ibu yang mahu tampil
hebat selepas bersalin seperti zaman anak dara.
''Tongkat ini berkesan, cuma perlu direndam dan kemudian dimasukkan ke dalam vagina untuk mengetatkan vagina," katanya.
No comments:
Post a Comment