Sunday, March 31, 2013

PLAK MENGANCAM GIGI MENJADI ROSAK

DR. FAIZ Khaleed yang juga Duta Senyuman Oral-B pada majlis pelancaran Kempen Oral-B 'Brush More, Smile More Malaysia 2012 di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini. 
 
TAHUKAH anda bahawa nafas berbau, pereputan gigi dan gusi yang bengkak disebabkan oleh plak? Tapi masih ada yang tak tahu apakah itu plak. 

Plak ialah selaput melekit tidak berwarna dan dihasilkan bakteria yang sentiasa terbentuk pada permukaan gigi. Air liur, makanan dan cecair bergabung menghasilkan selaput ini yang melekat pada gigi serta di antara permukaan gigi dan gusi. 

Pembentukan plak boleh menyebabkan gigi kotor dan juga faktor utama penyakit gusi. Membanteras plak adalah proses sepanjang hayat dalam penjagaan mulut sempurna. Plak juga mampu menyebabkan kaviti yang akan melemahkan gigi. 

Satu kajian yang dilakukan oleh syarikat Nielsen untuk Oral-B menunjukkan rata-rata rakyat Malaysia tidak tahu kepentingan penjagaan kesihatan mulut yang sempurna. 

Dalam kajian menerusi kempen Oral-B Brush More, Smile More Malaysia 2012 oleh Nielsen itu juga mendapati, 93 peratus responden bersetuju bahawa nafas yang segar membina keyakinan diri manakala 78 peratus bersetuju bahawa mereka akan berasa kurang yakin sekiranya mengalami masalah pereputan gigi.
Dalam pada itu, 81 peratus responden pula akan mengawal ketawa mereka sekiranya memiliki gusi yang bengkak atau nafas yang berbau (78 peratus). 


 Malah menerusi kajian yang sama juga mendapati 54 peratus rakyat Malaysia tidak tahu apakah itu plak dan majoriti (sehingga 95 peratus) tidak menyangka plak adalah punca utama masalah gigi, selain ramai juga yang masih tidak tahu apa itu plak.



Pakar pergigian yang juga angkasawan negara, Dr. Faiz Khaleed berkata, memberus gigi adalah salah satu daripada cara termudah untuk menjaga kesihatan dan meningkatkan keyakinan diri. 

"Mungkin ramai yang masih tidak faham bahawa kesihatan gigi atau mulut secara umumnya sangat berkait rapat dengan kesihatan keseluruhan tubuh seseorang, malah doktor dan saintis terus mencari hubung kait antara penyakit mulut dengan penyakit lain. 

"Sesetengah penyelidik berpendapat bahawa bakteria di dalam mulut yang menyebabkan radang dan jangkitan boleh meningkatkan risiko jangkitan atau penyakit lain. 

"Apabila anda memiliki gigi dan gusi yang sihat, maka kuranglah bakteria yang akan masuk ke dalam salur darah dan merebak ke bahagian tubuh lain.

" Akan tetapi pembedahan gigi, ubat-ubatan tertentu atau penyakit gusi yang berpunca daripada kealpaan menjaga kebersihan gigi membolehkan bakteria tersebut merebak," jelasnya berkongsi beberapa tip penjagaan gigi untuk senyuman menawan pada majlis pelancaran kempen Brush More Smile More., di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini 

Flos gigi

Dr. Faiz menambah, setiap orang mampu melindungi dan meningkatkan kesihatan tubuh dengan menjaga kesihatan mulut melalui rejim disiplin penjagaan gigi yang betul.

"Beruslah gigi dua kali sehari dan menggunakan flos sekurang-kurangnya sekali sehari. 

"Penjagaan gigi yang sempurna mengelakkan lebih banyak masalah. Jika anda tahu anda telah melakukan disiplin penjagaan yang gigi dengan betul, rutin berjumpa doktor gigi sebanyak dua kali setahun menjadi cukup kepada sekali setahun sahaja," tambahnya lagi. 

Dr. Faiz turut memberi penerangan risiko pengabaian penjagaan gigi termasuk pereputan dan kaviti hinggalah ke gingivitis, periodontitis dan kehilangan gigi. 

Bagaimanapun, penjagaan gigi yang betul termasuk membersihkan gigi dengan kerap mampu mencegah kebanyakan masalah tersebut. 

"Sekiranya tidak membersihkan gigi dengan baik setiap hari, risiko mendapat pereputan gigi akan meningkat. Tanda-tanda awal pereputan gigi termasuk lubang pada gigi, kesakitan apabila menggigit atau rasa sensitif dan sakit pada gigi. 

"Selain itu, apabila karbohidrat dalam makanan dan minuman yang diambil tidak dibersihkan daripada gigi dengan kerap, ia menjadi pemangkin kepada bakteria penyebab kaviti.

"Bakteria ini mampu membentuk plak seawal 20 minit selepas makan. Jadi, sekiranya anda penggemar snek, anda mungkin mahu membersihkan gigi lebih daripada dua kali sehari. 

"Sebenarnya, bakteria akan sentiasa wujud di dalam mulut dan membersihkan gigi dengan kerap serta mengurangkan makanan bergula mampu menghalang pereputan gigi," katanya. 

Dr. Faiz berkata, membersihkan gigi juga menghalang bakteria menyebab kaviti daripada terus menyebabkan gingivitis atau penyakit gus.

Selain itu pastikan gigi bersih dan bebas kaviti dengan melakukan rutin penjagaan iaitu memberus dua kali sehari dan menggunakan flos. 

Berkunjung ke doktor gigi sekurang-kurangnya sekali setahun untuk pembersihan gigi profesional juga mampu mengelakkan kerosakkan gigi menjadi lebih serius. 

"Doktor gigi mungkin akan menyarankan penggunaan berus gigi, flos dan ubat kumur yang tertentu bagi mendapatkan penjagaan gigi yang maksimum," katanya telah dilantik sebagai Duta Senyuman Oral-B.

Kempen Oral-B 'Brush More, Smile More Malaysia 2012 yang diadakan dengan kerjasama Persatuan Pergigian Malaysia bertujuan meningkatkan kesedaran tentang penjagaan kesihatan mulut bagi mendapatkan personaliti yang meyakinkan, serta mendidik rakyat Malaysia bahawa plak adalah punca utama masalah gigi.

No comments: