DUA daripada 10 orang pernah mengalami penyakit kemurungan pada
satu-satu masa dalam hidup mereka. Bezanya adakah mereka sembuh dengan
sendirinya (spontaneous recovery) atau dengan rawatan.
Bagi yang kurang bernasib baik, penyakit ini akan menghilangkan
senyuman daripada wajah penderita dan merampas kualiti hidup mereka
secara perlahan-lahan.
Tidak kurang juga ada yang benar-benar kecewa sehingga sanggup menamatkan riwayat sendiri.
Kemurungan menjejaskan fungsi minda dan tubuh badan. Kemurungan boleh membuat jiwa seseorang rasa kosong dan tidak bermakna.
Mereka tidak lagi mampu menikmati kegembiraan dalam membuat sesuatu
perkara walaupun dahulunya mereka begitu girang semasa melakukannya.
Selera makan berubah. Begitu juga dengan corak tidur. Pesakit mudah
meradang dan sentiasa kelihatan resah gelisah. Mereka kerap berfikir
tentang perkara-perkara negatif.
Bagi pekerja profesional, mereka keletihan di siang hari dan tidak
dapat memberikan tumpuan kepada tugasan. Kadangkala ia diselang-seli
dengan keinginan membunuh diri.
Jika anda mengalami tanda-tanda di atas, jangan tunggu lama untuk
mendapatkan rawatan. Jangan juga menunggu penyakit anda sembuh dengan
sendirinya.
Ia mungkin mengambil masa bertahun-tahun atau tidak akan sembuh sama
sekali dan anda pastinya tidak mahu tercicir daripada mengejar matlamat
hidup.
Bagaimana mendapatkan bantuan?
Memulakan langkah pertama dalam mendapatkan rawatan tidak semudah mengaku yang diri anda mempunyai tanda-tanda kemurungan.
Ini kerana pesakit biasanya cenderung mengasingkan diri dan selalu
rasa rendah diri. Mereka juga tidak ingat bilakah kali terakhir mereka
rasa benar-benar gembira.
Bagaimanapun ia berbaloi kerana rawatan boleh membantu pesakit
berfikir dengan lebih jelas dan mereka juga boleh bekerja seperti
sediakala dalam kadar segera.
Doktor akan menilai tanda-tanda kemurungan dan sejauh mana penyakit
tersebut telah menjejaskan kehidupan. Diagnosis diberikan dan satu pelan
perawatan terperinci akan diterangkan.
Dalam sesi konsultasi ini, pelbagai pilihan rawatan dibincangkan.
Biasanya doktor akan mencadangkan jenis rawatan yang terbaik. Buat masa
ini, rawatan terbaik adalah kombinasi ubat-ubatan dan terapi psikologi.
Kesan boleh dilihat seawal dua ke enam minggu. Tenaga badan dan corak
tidur biasanya akan pulih terlebih dahulu sebelum perasaan murung dan
ingatan membunuh diri hilang sepenuhnya.
Ia memang cepat jika dibandingkan dengan berkurung di dalam rumah
bertahun-tahun sementara menunggu ia pulih secara semulajadi, jika benar
ia boleh berlaku.
Terapi psikologi dan kaunseling pula diberi setelah rawatan
ubat-ubatan mula memberi kesan. Pesakit hanya perlu dimasukkan ke wad
jika keadaan mereka didapati berbahaya kepada diri sendiri atau orang
lain.
Contohnya jika pesakit ada mendengar suara ghaib, mempunyai delusi atau berkeinginan kuat membunuh diri sendiri.
Ada juga pesakit yang berisiko mendatangkan kecederaan kepada orang
lain seperti kepada bayi baru lahir atau anak kecil di rumah. Mereka ini
biasanya perlu dimasukkan ke wad juga.
Ceriakan hidup anda
Di samping bantuan profesional, ada beberapa kaedah yang boleh lakukan untuk membantu menceriakan kehidupan.
Menjaga kesihatan contohnya, dapat memaksimumkan peluang untuk hidup
lebih gembira. Ini termasuk pengamalan gaya hidup sihat seperti menjaga
jadual tidur dan mengambil diet yang seimbang.
Amalkan senaman berkala. Walaupun pesakit biasanya selalu rasa letih
dan tidak bermaya, senaman boleh merangsang rembesan hormon endorphin
yang membolehkan mereka rasa lebih selesa dan ceria.
Buat aktiviti kreatif yang boleh menceriakan perasaan seperti
melukis, menulis atau menanam pokok bunga. Ia boleh melegakan fikiran
dan menimbulkan perasaan puas hati kepada seseorang individu.
Cuba hubungi rakan, saudara-mara atau orang yang boleh membantu
menceriakan keadaan. Anda boleh membuat panggilan telefon atau keluar
berborak di kedai kopi.
Sekurang-kurangnya ia membolehkan anda berhubung dengan individu yang
lebih selamat berbanding dengan berkurung sepanjang hari di dalam
rumah.
Kesimpulannya, jika anda fikir anda menderita akibat penyakit
kemurungan, sila berjumpa doktor. Ramai pesakit telah pun sembuh
sepenuhnya dengan rawatan.
Mereka ini bukan sahaja menjadi lebih peka kepada kehendak diri
sendiri tetapi juga menjadi lebih kuat dalam menghadapi cabaran
mendatang.
No comments:
Post a Comment