DAGING yang keras dan liat perlu dimasak dengan perlahan dan lama
dengan air. Teknik ini dipanggil merebus dan hasilnya pasti daging akan
menjadi sungguh lembut serta juadah bertambah enak.
Puding karamel pula lebih sesuai di kukus atau dibakar kukus untuk mendapatkan tekstur puding yang lembap dan terbaik.
Pemilihan jenis masakan yang betul sahaja akan membuatkan makanan itu
jadi terbaik dan jika anda memilih teknik masakan yang salah atau tidak
sesuai, maka hasilnya pasti tidak memberangsangkan.
Minggu ini saya akan berkongsi beberapa jenis masakan yang menggunakan kelembapan.
Terdapat pelbagai cara masakan yang menggunakan air atau kelembapan
dan teknik masakan ini bergantung kepada jenis masakan yang ingin anda
masak. Ini penting kerana ia merupakan elemen utama dalam seni masakan.
Memasak dengan kelembapan adalah dengan menggunakan cecair sama ada daripada wap, air, stok atau sebarang jenis cecair lain.
Suhu untuk teknik memasak cara ini lebih rendah iaitu antara 70
darjah Celsius hingga 100 darjah Celsius berbanding daripada memasak
menggunakan haba kering atau minyak.
Ini kerana cecair hanya boleh mencapai suhu didih sahaja dan tidak boleh melebihi daripada itu.
Ada sesetengah resipi yang menggunakan teknik ini perlu digabungkan dengan teknik masakan lain.
Contohnya, goreng atau gril dan bergantung kepada bahan-bahan yang
digunakan sama ada kaedah ini perlu teknik menggunakan air sepenuhnya
atau menggabungkan teknik masakan selain air untuk melengkapkan makanan
itu.
Contoh lain, anda perlu merebus pasta untuk salad pasta tetapi di
dalamnya anda menggunakan daging atau sosej yang perlu digoreng atau
bakar.
Jadi, bergantung kepada bagaimana anda mainkan resipi dalam menu itu dengan menggunakan teknik masakan yang tertentu.
Teknik yang paling biasa semestinya adalah rebus, reneh dan kukus. Semuanya menggunakan medium air.
Resipi yang saya kongsi minggu ini dinamakan ikan siakap kukus bersama sos mangga.
Bertepatan dengan topik kita iaitu menggunakan air sebagai medium
untuk masak, maka resipinya memerlukan anda merebus sayur dan mengukus
ikan.
Namun, sayurnya saya goreng dengan sedikit mentega selepas direbus
agar memberikan kesan persembahan yang lebih menarik apabila dihidangkan
selain memberi rasa lebih.
Saya gunakan ikan yang telah di fillet iaitu kepingan ikan tanpa tulang.
Saya sertakan kerepek untuk hidangan ini. Jadi hidangan ini tidaklah membosankan kerana menggunakan teknik air sahaja.
Kerepek ini juga akan memberikan tekstur dan rasa yang berlainan dalam satu hidangan.
Ikan tidak perlu dikukus lama kerana teknik menggunakan kukusan membuatkan makanan cepat masak.
Sosnya pula diperbuat daripada sos asas mentega yang dicampur dengan
mangga yang memberikan rasa masam dan ini akan dapat memotong bau hanyir
ikan. Kalau boleh gunakan mangga yang sedikit masam.
Gunakan mangga yang tidak terlalu lembut supaya nampak potongannya selepas dimasak.
Tip membuat hidangan ini adalah jangan mengukus dan merebus terlalu
lama kerana kita perlu menjaga kualiti makanan apabila kita menggunakan
teknik memasak menggunakan air.
No comments:
Post a Comment