BERGOPOH-GAPAH atau
dalam bahasa Arab disebut sebagai isti'jal dikira sebagai satu daripada penyakit
kalbu yang berbahaya. Lawan bagi sikap gopoh-gapah ialah ana-ah, iaitu sifat tenang,
berhati-hati serta berhemah dalam melaksanakan sesuatu urusan hidup.
Sikap gopoh-gapah
boleh menjatuhkan seseorang ke lembah maksiat serta meluputkan pahala bagi
segala kebajikan yang dikerjakan.
Imam al-Ghazali
mentafsirkan gopoh-gapah sebagai sejenis penyakit kalbu yang merentap hati agar
melakukan sesuatu secara tergesa-gesa atau segera sebaik ia terlintas di benak
fikiran tanpa perancangan dan pertimbangan terlebih dahulu. Ia dilaksanakan
mengikut apa yang diperibahasakan sebagai 'terburu nafsu.'
Dalam Islam, hanya
lima perkara dibenarkan bergopoh-gapah atau melaksanakannya tanpa bertangguh,
manakala yang lain, anda dikira melakukan 'tindakan syaitan' jika melakukannya
tanpa perancangan dan berhati-hati.
Ini selaras hadis
Rasulullah SAW bermaksud: "Tergopoh-gapah itu tindakan syaitan, kecuali dalam
lima perkara, iaitu mengahwinkan anak perawan, membayar hutang, menguruskan
jenazah, melayan tetamu dan bertaubat daripada dosa." (riwayat
Muslim)
Di manakah bahayanya
tindakan gopoh-gapah? Contoh pertama mengenai gopoh-gapah ialah melakukan amal
ibadat dalam keadaan tergesa-gesa, kononnya untuk mencapai makam atau martabat
tertinggi dalam tempoh cepat.
Individu yang
mengerjakan ibadat secara tergopoh-gapah seperti itu biasanya akan melakukan
banyak kesilapan dalam ibadatnya. Malah mungkin menyeleweng daripada
syariat.
Individu berkenaan
juga mungkin terkena penyakit hati yang lain, iaitu riak dan takbur. Lidahnya
juga mungkin akan menuturkan perkataan dan pengucapan keji serta sia-sia, malah
menggelincirkan akidahnya.
Dalam hal ini, akhlak
lisan yang ditunjukkan junjungan besar Nabi Muhammad SAW patut dijadikan
teladan.
Allah SWT berfirman
bermaksud: Dan dia (Muhammad)
tidak bercakap mengikut nafsunya. Tiada yang dicakapnya melainkan apa yang
diwahyukan Allah kepadanya. (an-Najm: 3)
Individu yang
mengerjakan amal kebajikan secara tergopoh-gapah kerana mahu mencapai martabat
tertinggi dalam tempoh segera juga mungkin akan terjerumus ke dalam kesilapan
beribadat.
Orang yang
bersungguh-sungguh beribadat seperti itu biasanya hanya akan mengerjakan
ibadatnya pada peringkat awal secara bersungguh-sungguh, kemudian ia mula
menurun, malah terhenti langsung beberapa ketika selepas itu.
Selain itu, individu
yang mengerjakan ibadat secara tergopoh-gapah semata-mata kerana mahu hajatnya
dipenuhi Allah SWT, sama ada dari segi kerjaya dan perniagaan, biasanya akan
mudah 'luntur' dan berhenti mengerjakan ibadat setelah hajatnya tercapai atau
dia mula kecewa kerana hajat yang dihasratkannya tidak tercapai dalam masa yang
dijangka atau diharapkan.
Akhirnya, individu
berkenaan 'terkulai layu' meninggalkan matlamat ibadatnya dan tidak kekal
istiqamah dalam amal kebajikannya. Ini berbahaya. Syaitan gembira melihat
kerenah gopoh-gapah individu seperti ini.
Tindakan
tergopoh-gapah juga bahaya kerana ia akan memungkinkan seseorang individu Muslim
terjebak memakan dan meminum barangan haram atau daripada sumber haram seperti
rasuah. Perkara lain yang turut tergolong dalam tindakan tergopoh-gapah ialah
mendoakan keburukan untuk diri sendiri atau orang lain.
Ini bertepatan firman
Allah SWT bermaksud: Dan manusia mendoakan
kejahatan sebagaimana dia mendoakan kebaikan dan adalah manusia itu bersifat
gopoh-gapah. (al-Isra':
11).
1 comment:
memang betul. gopoh menyebabkan kerja kita menjadi tidak berkualiti dan x bermutu. buat kerja dengan tenang dan jangan tangguhkan kerja. sekiranya ada masalah, bincang la bersama sama dan bantu antara satu sama lain.
Post a Comment