Wednesday, May 29, 2013

PASTIKAN KULIT LEMBAB


John Goh menerangkan mengenai fungsi sabun mandian Dove ketika pelancaran sabun mandian itu, di Kuala Lumpur, baru-baru ini. 
 
KULIT merupakan penghadang yang melindungi tubuh daripada radiasi serta trauma mekanikal dan kimia. Kulit juga berfungsi mengawal suhu badan, sebagai deria, melindungi daripada jangkitan kuman serta sebagai cara berkomunikasi sosioseksual.

Adalah penting untuk kita mempastikan kulit sentiasa lembap bagi mendapatkannya sihat dan nampak muda.
Untuk itu, gunakan pelembap kulit yang sesuai dan cepat meresap ke dalam kulit. Jangan gunakan pelembap yang sebarangan kerana terdapat pelembap kulit yang hanya akan menyebabkan kulit menjadi rosak dan bertambah kering.

Konsultan Dermatologis, Hospital Pantai Kuala Lumpur Dr. Nazirin Ariffin berkata, kulit orang dewasa mengandungi 60 peratus kelembapan sementara bayi sebanyak 80 peratus. 

''Jadi, semakin berusia seseorang itu kulitnya juga menjadi semakin kering. Oleh itu sentiasa gunakan pelembap kulit yang sesuai setiap hari bagi mengekalkan kelembapan.

''Bersenam juga membantu mendapatkan kulit yang cantik kerana apabila seseorang itu bersenam akan meningkatkan pengaliran darah ke kulit dan mengurangkan tekanan.

''Selain itu, tidur yang mencukupi juga penting kerana proses tidur membantu sel untuk bertenaga semula dan memberi kesan kepada kulit,'' kata Dr. Nazirin pada pelancaran sabun mandian Dove baharu dengan pelembap nutrium di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau yang mempunyai pengkhususan dalam bidang Dermatitis Sentuhan dan Alahan, Kosmetik Dermatologi dan Pembedahan Dermatologi, berkata, selain penggunaan pelembap kulit pemakaian topi, payung atau penutup kepala dan baju berlengan panjang apabila keluar rumah juga sedikit sebanyak membantu mengekalkan kelembapan lebih lama. 

Ini kerana katanya, kulit yang terdedah pada sinar matahari secara terus bukan saja nampak kering bahkan mudah berkedut dan kusam. 

Menurut Dr. Nazirin, ramai yang tidak mengetahui bahawa merokok juga membuatkan kulit cepat menjadi kering dan nampak tua kerana perjalanan darah ke kulit tersekat.

''Amalkan banyak makan sayur-sayuran dan buah-buahan kerana kedua-duanya mengandungi air, vitamin dan mineral.

''Jika kulit kering, ia boleh dilembapkan semula dengan memakai pelembap kulit. Sebaik-baiknya gunakan dua atau tiga kali sehari,'' ujar Dr. Nazirin lagi.

Sementara itu, Pengurus Aturan Penyelidikan dan Pembangunan, Penjagaan Kediaman dan Diri Unilever (M) Sdn. Bhd., John Goh berkata, mandian baharu Dove merupakan penemuan terkini dalam kategori sabun mandian badan yang mengandungi formula yang telah dipatenkan dengan teknologi pelembap nutrium.
''Mandian baru Dove adalah lebih berkhasiat berbanding susu. Ia mengandungi rumusan yang kaya dengan pelembap dan nutrisi semula jadi bagi menambah nutrien ke dalam kulit.

''Mandian badan biasa yang tidak mengandungi ramuan berkhasiat akan menyebabkan keadaan kulit kering dengan menanggalkan kelembapan semulajadi kulit. Sesetengah mandian badan biasa boleh merosakkan kandungan protein dan lipid di lapisan luar kulit semasa mandi.

''Pelembap dalam cecair mandian biasa akan berada di bahagian atas kulit buat sementara waktu. Namun pelembap nutrium baru akan menembusi permukaan lapisan epidermis kulit untuk memberikan khasiat kepada kulit dan menjadikan kelembapan kulit kekal lebih lama,'' kata Goh.

SALURAN DARAH RETINA MUDAH PECAH



MENURUT Sim Ee, diabetes menjadi punca saluran darah pada retina dan bebola mata menjadi lemah, mudah bocor dan tersumbat



KAJI Selidik Kesihatan dan Morbiditi Nasional (NHMS) menunjukkan kira-kira 2.6 juta rakyat Malaysia menghidap diabetes pada 2012. 

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hasan Abdul Rahman, bilangan pesakit diabetes di Malaysia meningkat sebanyak 31 peratus dalam tempoh lima tahun berbanding pertambahan 11.6 peratus pada 2006 bagi setiap orang dewasa berumur 18 tahun dan ke atas. 

Pada masa ini, dianggarkan terdapat lebih 5.6 juta pesakit diabetes di negara ini dan 25 peratus daripada jumlah itu mengalami komplikasi kaki yang serius dan memerlukan penjagaan luka yang betul. 

“Ramai pesakit diabetes sedar betapa pentingnya penjagaan luka di kaki kerana mahu mengelak ia dipotong. Namun ramai yang tidak menyedari bahawa risiko diabetes bukan sekadar lumpuh kaki. 

“Mereka juga berisiko untuk mendapat retinopati diabetes penyebab buta,” ujar Pakar Optamologi, Pusat Perubatan Tropicana di Petaling Jaya, Dr. Khor Sim Ee. 

Friday, May 24, 2013

KERAJAAN MAHU GUBAL AKTA ANTIOBESITI

 Kementerian Kesihatan bercadang mewujudkan undang-undang antiobesiti menjelang 2020 sebagai usaha membendung peningkatan mendadak kes penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam kalangan rakyat Malaysia.

Timbalan Pengarah Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit Kementerian Kesihatan, Dr Zainal Ariffin Omar berkata, pihaknya kini sedang mendapatkan maklum balas daripada orang ramai dan pihak berkaitan sebelum undang-undang berkenaan boleh dilaksanakan.

“Beberapa hari lalu, Kementerian Kesihatan ada membincangkan mengenai kerangka kerja bagaimana untuk melaksanakan undang-undang antiobesiti.


“Dalam perbincangan tersebut, Jepun dilihat sebagai model terbaik kerana mereka mempunyai ukuran pinggang kebangsaan yang komprehensif,” katanya ketika ditemuramah dalam program ‘Dalam Radar’ terbitan Bernama Radio24 hari ini.

Dr Zainal berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peningkatan mendadak kes NCD dalam kalangan rakyat Malaysia yang kini mencapai tahap membimbangkan.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2011 mendapati, kira-kira 5.8 juta rakyat Malaysia menghidap hipertensi, 2.6 juta orang (kencing manis) dan 2.5 juta penduduk mengalami masalah obesiti. – Bernama

KHATAN UNTUK KESIHATAN

SELEPAS melakukan hubungan seks bersama isteri beberapa minggu lalu, kulit di bawah zakar terkeluar dan berdarah (saya tidak bersunat).

Perdarahan berhenti selepas beberapa ketika, namun apabila melakukan seks baru-baru ini, bahagian kulit yang berdarah kembali terasa sakit. Perlukah saya bersunat dan membuang kulit itu?
 Insan ingin tahun
 
Kuala Lumpur

Kulup atau kulit zakar atau kulit yang menyarung penghujung zakar dipotong ketika prosedur berkhatan. Ia dilakukan sebagai prosedur ‘ritual’ atau mengikut keperluan agama penganut Islam, Yahudi atau Nasrani.

Ia dilakukan sebagai syarat peralihan ke peringkat dewasa di sesetengah kepulauan India Barat dan penjagaan kebersihan alat kelamin lelaki di kebanyakan negara Barat seperti Amerika dan Eropah, kini di kebanyakan negara Afrika dan China bagi mencegah penyakit kelamin.

Selain itu, berkhatan dilakukan jika ada masalah pada kulit kulup zakar seperti ‘phimosis’ yang mana ia mengetat dan menyempit serta menyukarkan penghujung zakar keluar ketika ereksi.

Satu lagi masalah ialah ‘paraphimosis’ yang mana penghujung zakar boleh keluar ketika ereksi, tapi tercekik oleh kulup zakar atau seperti situasi yang anda alami, iaitu ia terkoyak ketika ereksi atau melakukan persetubuhan.

Jika dibiarkan tanpa membuat apa-apa, anda akan dapati setiap kali bersetubuh, kulit di bawah kepala zakar mudah melecet dan bengkak. Jangan melengahkan prosedur berkhatan.

Kini ada pelbagai kaedah berkhatan. Lagipun, kaedah berkhatan diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai inisiatif mustahak untuk penjagaan kesihatan lelaki. Anda boleh menjalani prosedur itu di mana-mana klinik keluarga atau hospital swasta atau kerajaan.

DIABETIK SEBABKAN MATI MENGEJUT

KEMATIAN mengejut wartawan penyiaran NBC News, Tim Russert, 58, dan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, 59, pada tahun 2008 memeranjatkan ramai orang.

Tidak terkecuali Ahli Parlimen Bukit Gantang, Roslan Shaharom, 50, dan penyanyi kumpulan nasyid Rabbani, Mohamad Asri Ibrahim, 40, pada tahun 2009.

Kesemua mereka meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung.

Biarpun begitu, petanda awal kepada serangan jantung itu sudah diduga kerana masing-masing merupakan penghidap diabetes.

 BERAT badan berlebihan menjadi punca utama masalah diabetes di Malaysia.
 
 Perkara tersebut diakui oleh Ketua Endikronologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr. Nor Azmi Kamaruddin.

Jelas Nor Azmi, selain daripada kesan fizikal seperti gangren iaitu anggota tubuh mati atau membusuk akibat diabetes, penyakit itu juga menjadi pencetus kepada pelbagai penyakit kronik yang lain.

“Ramai orang yang hanya mengaitkan diabetes dengan kesan buruk yang berakhir dengan kaki pesakit terpaksa dipotong. Namun, hakikatnya ia boleh menyumbang kepada masalah kesihatan seperti kegagalan fungsi buah pinggang, katarak mata, sakit jantung dan serangan angin ahmar,” kata Nor Azmi.

Menurut kajian di Amerika Syarikat, sakit jantung yang berpunca daripada diabetes merupakan sebab utama kematian di negara itu iaitu sebanyak 55 peratus. Sebanyak 10 peratus pula kematian disebabkan angin ahmar yang berpunca daripada diabetes.


AMALAN pengambilan makanan seimbang boleh mencegah penyakit diabetes.

IBUBAPA PERLU KUAT DEMI ANAK





IBU mana yang tidak sayu dan sedih apabila dikhabarkan buah hati pengarang jantungnya menghidap penyakit leukemia. Itulah hakikat yang perlu diterima oleh Azlina Abdul Aziz, 38, ketika diberitahu doktor bahawa anak sulungnya, Nur Sarah Alia Afizi, sembilan, didiagnosis positif Leukemia Limfoblastik Akut (ALL).

ALL adalah sejenis leukemia atau kanser sel darah putih yang dicirikan oleh limfoblas berlebihan.

Malignan, sel-sel darah putih tidak matang terus berganda dan dihasilkan secara berlebihan di dalam sumsum tulang. 

ALL menyebabkan kerosakan dan kematian akibat jumlahnya lebih banyak daripada sel-sel normal di dalam sumsum tulang dengan sebaran ke organ-organ lain.

“Segalanya bermula apabila anak saya demam berpanjangan lebih daripada seminggu. Suhu badannya tidak terlalu panas iaitu sekitar 37.5 darjah Celcius sahaja dan muncul kesan lebam-lebam di badannya.

“Apabila dibawa ke hospital untuk melakukan ujian darah pengesahan denggi, saya terkejut kerana hasil ujian tersebut negatif denggi tetapi positif leukemia,” kata ibu kepada dua anak itu.

Kemoterapi

Sejak didiagnosis menghidap ALL pada 16 April lalu, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sudah menjadi rumah kedua bagi dua beranak tersebut.

Sudah menjalani kemoterapi sebanyak empat kali, Azlina perlu kuat memberi semangat, sokongan dan sentiasa berada di samping anak perempuannya yang perlu menjalani rawatan selama dua tahun.

Rawatan selama dua tahun itu merangkumi rawatan intensif selama enam bulan dan rawatan tidak intensif dalam tempoh 18 bulan.

“Pada mulanya saya memang terkejut dan semestinya sedih, tetapi jururawat berpesan kepada saya supaya jangan sekali-kali menangis di depan anak.

“Kita perlu tabah depan anak kerana dia memerlukan kekuatan untuk melalui rawatan setiap hari,” ujar Azlina sambil memberitahu, anaknya perlu menjalani pemindahan sumsum tulang selain perlu mengambil ubat setiap hari dengan belanja lebih RM7,000 sebulan.

Ketika ditanya bagaimana penerimaan Nur Sarah Alia apabila mengetahui dirinya menghidap leukemia, Azlina memberitahu seorang doktor telah memberikan sebuah buku cerita mengenai kanser kepada anaknya itu.

Sunday, May 19, 2013

4 LANGKAH GAYA HIDUP SIHAT


Pastikan ada buah-buahan dan sayuran dalam sajian harian anda.

- Gambar hiasan 
 
ADAKAH anda bangun tidur sebelum matahari terbit dan pulang ke rumah setelah terbenamnya matahari? Atau adakah anda sering bergegas dari satu mesyuarat ke mesyuarat yang lain setiap hari? Mungkin anda pernah mengalami situasi tersebut malah sering berulang.

Sebaik-baiknya, pencegahan terhadap penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, penyakit jantung, kanser dan sebagainya, harus dimulakan sejak kecil, namun masih belum terlambat untuk dimulakan sekarang. Jangan lagi bertangguh atau menunggu sehingga anda mengalami sakit dada baru anda mengambil berat tentang kesihatan. Mula amalkan pemakanan sihat dan kehidupan aktif sekarang.

Langkah 1 - Amalkan pemakanan sihat

Sarapan - Kajian saintifik membuktikan jika anda memulakan hari dengan sarapan yang seimbang, anda boleh fokus, meningkatkan tahap tumpuan, kepintaran dan daya ingatan.

Makan tengah hari - Jangan sesekali tinggalkan makan tengahari tidak kira sibuk manapun anda. Namun begitu, elakkan makan terlalu kenyang yang boleh menyebabkan anda berasa kembung, mengantuk dan tidak produktif.

GANGGUAN PROLAPS RAHIM

Soalan

NENEK saya berusia 70 tahun. Dia tidak mengalami penyakit kronik. Dalam beberapa bulan kebelakangan, beliau perasan ada ketulan keluar dari faraj. Mulanya kecil dan jika dia berbaring ketulan tersebut hilang. Ketulan ini lebih ketara semasa mencangkung untuk buang air besar tetapi tidak sakit. Masalahnya, kadang-kala dia berasa tidak selesa atau ngilu pada bahagian belakang. Mulanya, dia berasa amat malu untuk memberitahu kami masalah yang dialaminya. Dalam seminggu dua ini, ketulan tersebut tidak masuk semula ke dalam faraj. Ini membuatkan nenek berasa tidak selesa sebab ketulan itu berada di antara celah peha. Dia perasan ada sedikit tompokan darah di seluar dalam. 

Nenek saya amat risau. Apakah masalah yang dialami oleh nenek saya dan bagaimana untuk merawat? Mohon Doktor bantu kami. Terima kasih

n Intan, Johor

Jawapan

Terima kasih kepada yang bertanya. Usah gusar, masalah ini adalah agak biasa berlaku dalam kalangan warga emas lanjut usia. Ini dikenali sebagai prolaps rahim. 

Prolaps rahim adalah satu keadaan rahim jatuh ke bawah dan kadangkala terkeluar dari saluran faraj. Keadaan ini biasanya disebabkan oleh ligamen dan otot yang memegang rahim pada kedudukan asal menjadi lemah akibat dari kehamilan dan proses kelahiran lepas. Oleh itu, rahim seakan-akan melorot ke bawah melalui saluran faraj.

Keadaan ini merangkumi beberapa peringkat, di peringkat awal hanya jatuh sedikit daripada kedudukan biasa, peringkat kedua di mana pintu rahim (cervical os) jatuh sampai ke permukaan faraj dan peringkat ketiga yang sangat teruk ialah apabila keseluruhan rahim terkeluar daripada saluran dan permukaan faraj (satu keadaan yang biasa digelar 'tombong'). 

HIPNOSIS KURANGKAN STRES DIABETES


 
Presiden Persatuan Diabetes Malaysia, Lennie Soo (kanan) menunjukkan cara menenangi stres kepada ahli Persatuan Diabetes Malaysia.
 
ANDA percaya kepada kuasa minda separa sedar yang mampu mengubah pandangan dan pemikiran seseorang individu dalam tempoh beberapa minit dan jam tertentu melalui kawalan minda yang dilakukan oleh orang lain?

Itulah yang bakal berlaku kepada individu yang sedang menjalani rawatan menggunakan kaedah hipnoterapi.
Namun, itu adalah kaedah konvensional yang dilakukan oleh pengamal hipnosis sejak dahulu lagi.

Berdasarkan kajian, kaedah hipnosis dipercayai telah dimulakan sejak tahun 1743 lagi oleh Dr. Franz Anton Mesmer. 

Menurut Business Forensic Psychologist, Fadzil (Ben) Mohd. Salleh, hipnosis ialah keadaan separa sedar yang membuatkan mental dan fizikal seseorang menjadi tenang hingga membantu dirinya membuat perubahan pada diri seperti yang dikehendaki.

“Semasa minda separa sedar sedang dikawal, manusia sedang berusaha untuk memulihkan diri mereka sendiri. Keadaan ini bergantung kepada tahap ketenangan yang mampu dicapai ketika itu," ujarnya sempena ceramah Hipnoterapi, Stres dan Diabetes anjuran Persatuan Diabetes Malaysia dengan kerjasama Persatuan Pengamal Hipnoterapi Malaysia

Tambahnya lagi, kaedah hipnosis antara rawatan alternatif yang berkesan membantu pesakit menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka dalam tempoh yang singkat.

USIA FAKTOR KESUBURAN

 
Tan Siow Joon (kiri) bersama suami, Wang Kam Kuan (kanan) dan anaknya Wong Wan Jing (tengah) ketika sidang media pada majlis pelancaran suntikan corifollitropin Elonva bagi rawatan kesuburan di Hotel Traders Kuala Lumpur baru-barui ini.
 

KINI anak perempuan comelnya, Wong Wai Jing, mencecah usia lima tahun dan sedang membesar dengan sihat di samping kedua ibu bapanya.

Jun Tan yang mula menggunakan kaedah rawatan IVF sejak tahun 1995, mengakui pengalaman tersebut tidak akan dilupakan sehingga saat ini.

“Pertama kali mencuba rawatan tersebut, kami suami isteri begitu teruja dan meletakkan harapan begitu tinggi.
“Namun, nasib tidak menyebelahi kerana sehingga empat kali cubaan dilakukan saya masih gagal untuk hamil.
“Kegagalan tersebut tidak mematahkan semangat untuk meneruskan usaha kerana kami yakin selagi kita berusaha pasti akan berjaya juga akhirnya," katanya.

Masalah kesuburan

Sementara itu, Pakar Kesuburan, Pusat Kesuburan Kuala Lumpur, Datuk Dr. Prashan Nadkarni berkata, masalah kesuburan didefinisikan sebagai ketidakmampuan lelaki dan wanita untuk mempunyai anak selepas setahun berkahwin.

“Wanita dan lelaki apabila umur mereka semakin meningkat, tahap kesuburan dan peluang untuk hamil turut berkurang. Walaubagaimanapun keadaan ini lebih berisiko kepada wanita.

“Berdasarkan kajian, sebanyak lima hingga 50 peratus masalah kesuburan di kalangan wanita bergantung kepada purata umur individu tersebut. 

“Faktor-faktor lain juga menyumbang antaranya, kekurangan pengeluaran jumlah sperma oleh lelaki dan gaya hidup yang tidak sihat seperti masalah kegemukan, merokok, penggunaan alkohol yang berlebihan dan stres," katanya ketika memperkenalkan Elonva iaitu suntikan corifollitropin alfa untuk rawatan kesuburan oleh syarikat farmasutikal antarabangsa, MSD .

KEMURUNGAN

Soalan:

ASSALAMUALAIKUM Haji Lokman

Anak saya mengalami kemurungan teruk sejak tiga bulan lepas, dia tidak mahu solat, tidak keluar rumah dan selalu marah. Dia tidak mahu jumpa doktor atau ustaz yang kami bawa untuk berubat. Bolehkah tuan haji membantu anak saya? 

Terima kasih. 
- Encik Syahid, Johor Bahru -

Jawapan:
Kami di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah sering bertemu pesakit kemurungan klinikal atau ‘clinical depression. Ada pesakit murung bertahun lamanya dan ada yang baru mendapat tahu perasaan sedih dialami bukan perasaan sedih biasa. 

Terdapat pelbagai punca kemurungan, antaranya faktor luaran yang sangat besar seperti kematian suami atau ahli keluarga tersayang sehingga perkara yang mungkin remeh pada orang lain seperti gagal mendapat semua A dalam peperiksaan. 

Saya pernah berjumpa pesakit murung selepas melahirkan anak sehingga si ibu tidak mahu melihat bayinya kerana merasa tidak mampu menjadi ibu terbaik.

Kita harus tahu membezakan kemurungan klinikal dengan perasaan sedih biasa. Perasaan sedih berpanjangan boleh membawa kepada kemurungan klinikal tetapi bersedih atau murung disebabkan sesuatu tidak semestinya kemurungan klinikal. 

Perasaan sedih adalah normal bagi semua orang. Cuma, kita harus mengawal perasaan tersebut daripada mengawal dan menjejaskan pemikiran serta kehidupan kita. 

Anggaplah perkara yang menyedihkan merupakan ujian Allah, seperti firman-Nya di dalam surah Al-Ankabut ayat 2 hingga 3; “Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: ’Kami telah beriman, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."

MENGAPA LELAKI TIDAK SUBUR???


Sekiranya kepekatan sperma kurang daripada 20 juta per milimeter, peluang untuk hamil berkurangan. 
SOALAN: Saya berumur 24 tahun dan berkahwin sebulan lalu. Suami yang berusia 35 tahun mengalami masalah kekurangan air mani. Mungkinkah ia menyebabkan saya tidak akan hamil? Untuk makluman doktor, kitaran haid saya normal setiap bulan.

Suami saya juga mengalami sakit kaki, terutama ketika cuaca sejuk. Adakah ia mempengaruhi air mani suami dan adakah cara untuk mengubati penyakitnya?
Mohon doktor jelaskan berkenaan masalah air mani ini.

- Aida, Kota Kinabalu

Jawapan

Anda menyatakan air mani suami kurang. Adakah perkara ini disahkan doktor atau hanya tekaan anda? Dalam kebanyakan kes infertiliti atau kesuburan dalam kalangan lelaki, puncanya adalah kurang jelas. Walau bagaimanapun, punca utama adalah disebabkan testis yang tidak normal. Punca yang lain adalah seperti duktul yang tersumbat, masalah kelenjar aksesori yang menghasilkan cairan seminal, gangguan hormon, teknik hubungan seks yang kurang berkesan dan faktor psikologi. Masalah testis tidak normal berlaku apabila testis tidak turun ke skrotum (walaupun telah menjalani pembedahan) dan jangkitan beguk merupakan punca utama infertiliti. 

Punca lain yang dikenal pasti adalah seperti proses inflamasi yang berlaku daripada jangkitan atau kecederaan pada testis. Pengembangan vena varikosel (varicose) dalam skrotum atau dikenal sebagai varikosel boleh mengurangkan bilangan dan motiliti sperma. Sesetengah bahan kimia dan ubat-ubatan boleh mengakibatkan kegagalan fungsi testis. Keadaan ini biasanya terjadi selepas penggunaan ubat yang dipanggil sitotoksik (cytotoxics) untuk rawatan kanser, terutamanya kanser darah atau kanser kelenjar testis. Terapi kesan radiasi atau X-ray ke atas testis juga boleh menyebabkan infertiliti dengan merosakkan tubul seminiferous. Sperma tidak boleh dihasilkan apabila saluran duktus yang tersumbat. Hal ini terjadi akibat jangkitan gonorea, atau sesetengah lelaki memang dilahirkan dengan saluran duktus yang sempit. Kelenjar-kelenjar seperti seminal vesikel, prostat dan bulbouretra dipanggil kelenjar seks aksesori dan menyumbang ke arah pembentukan air mani. Sekiranya kelenjar-kelenjar ini turut dijangkiti, maka sperma tidak normal akan terhasil. Selalunya, masalah kawalan hormon menyebabkan hormon perangsang folikel dan hormon peluteinan yang dihasilkan tidak mencukupi. 

LINDUNGI ANAK DARIPADA PENYAKIT


Pemberian vaksin secara meluas kepada anak dapat melindungi diri mereka daripada penyakit. - Gambar hiasan 
PENYAKIT berjangkit mengancam kesihatan individu di seluruh dunia dan merupakan penyebab utama kematian serta hilang upaya. Melalui langkah pencegahan efektif, sebenarnya beban penyakit- penyakit ini dapat dikurangkan.

Kajian juga menunjukkan setiap tahun, dianggarkan dua hingga tiga juta kematian dapat dielakkan melalui pemvaksinan.

Menyedari kepentingan menjaga kesihatan kanak-kanak, satu inisiatif pendidikan kesihatan yang bertemakan Penjagaan Kanak-kanak Secara Holistik, sebuah buku Mengapa Memberi Vaksin Dan Jenis Vaksin telah dilancarkan baru-baru ini.

Pelancaran buku ini bagi meningkatkan kesedaran terhadap penyakit-penyakit yang lazim dialami kanak-kanak termasuklah rotavirus, penyakit pneumokokus, rubela dan hepatitis B.

Buku ini telah dilancarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dengan kerjasama Positive Parenting dan disokong oleh GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn. Bhd. (GSK).

Inisiatif ini untuk mendidik ibu bapa berkenaan kepentingan perlindungan terhadap penyakit serius yang boleh menyebabkan penderitaan di kalangan kanak-kanak dan keluarga mereka.

FIBROID KETIKA HAMIL

APAKAH itu fibroid dan puncanya? Apakah ia merbahaya kepada bayi dalam kandungan? Apakah rawatan bagi fibroid yang dihidapi semasa hamil?

* RM, Johor.

Jawapan:

Fibroid merupakan ketumbuhan biasa atau ketumbuhan benigna yang mengandungi tisu-tisu otot dan berlaku di dalam rahim. Otot yang membentuk rahim adalah daripada jenis yang dinamai otot licin. Fibroid berasal daripada ketumbuhan yang terjadi pada otot tersebut. Oleh itu, nama lain bagi fibroid ialah leiomioma. Pun begitu, fibroid boleh tumbuh pada organ-organ lain yang mengandungi sel otot licin. 

Ketumbuhan fibroid menyerang lebih seorang daripada setiap lima orang wanita di bawah umur 50 tahun. Kajian menunjukkan bahawa sebanyak 20 peratus wanita dalam lingkungan usia reproduktif, iaitu 30 hingga 40 tahun menghidap fibroid. Pada usia melebihi 35 tahun, kejadian fibroid berlaku secara lebih kerap, iaitu menjangkau sebanyak 40 peratus.

Mereka yang berisiko untuk menghidap fibroid ialah wanita pada usia subur (30 hingga 40 tahun), wanita yang mempunyai berat badan yang berlebihan atau indeks jisim badan melebihi 25kg/m², wanita yang mempunyai ahli keluarga yang pernah mengalami fibroid dan juga dalam kalangan wanita yang tidak pernah melahirkan anak (nulliparous).

BEDAH DALAM SEDAR

Pemedahan Awake Craniotomy dilakukan semasa pesakit dalam sedar.
 
PADA pertengahan bulan Januari lalu, sebelah kiri badan saya terasa kebas. Mula-mula tangan saya tidak boleh menggenggam," kata pesakit yang hanya mahu dikenali sebagai Is yang berjaya menjalani pembedahan otak secara sedar. 

Pembedahan berkenaan dilakukan oleh sekumpulan doktor pakar Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras diketuai oleh Prof. Madya Dr. Ramesh Kumar. 

Kemudian sebelah badannya terasa kebas sehingga ke bahagian pinggang dengan kekerapan tiga kali seminggu. 

“Saya yang merasa tidak sedap hati dengan keadaan kesihatan pergi mendapatkan rawatan di klinik kesihatan yang berhampiran rumah. 

“Doktor menganjurkan saya ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut kerana saya mungkin mengalami minor strok," katanya. 

Pada 23 Januari, Is memilih untuk mendapatkan rawatan di PPUKM kerana berhampiran dengan rumah. 

Di sana doktor melakukan pelbagai jenis pemeriksaan dan dia terus mendapatkan rawatan. 

Selepas berulang-alik ke hospital, akhirnya Is dimasukkan ke wad pada 4 Februari untuk menjalani pembedahan. 

Imbasan MRI menunjukkan Is mempunyai kelainan seperti tumor di bahagian otak kanan dan memerlukan pembedahan segera untuk membuangnya. 

“Tetapi saya rasa terperanjat apabila Pakar Bedah Neurologi Prof Madya Dr. Ramesh Kumar memberikan dua pilihan kepada saya. 

SAWAN BOLEH DISEMBUHKAN

Jangan putus asa mencari penawar penyakit sawan. - Gambar hiasan

Soalan:

ASSALAMUALAIKUM. Anak saya menghidap sawan sejak berusia empat bulan. Kini umurnya enam. Anak saya bergantung pada ubat hospital. Adakah cara lain untuk mengatasinya? Dapatkah perubatan Al-Quran menyembuhkannya?
Terima kasih.
- Kamarul Ariffin
Pekan Pahang

Jawapan:

Waalaikumsalam. Sepanjang saya merawat penyakit sawan, terdapat beberapa jenis sawan. Penyakit sawan ada sementara dan ada mengambil masa untuk sembuh. Ada yang memiliki tanda sawan kronik dan ada di peringkat awal. Biasanya ia bermula dari umur enam bulan hingga lewat dua puluhan.

Bukan saja pesakit mendapat rawatan tetapi juga ibubapa dan ahli keluarga kerana tekanan menjaga pesakit. Sifat sabar ibubapa dan ahli keluarga amat dituntut dalam memberi penjagaan terbaik.

Ingat, Allah sentiasa bersama mereka yang sabar. Seperti firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 153: “Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang sabar."

Sebaiknya, bawa anak ke Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah untuk diagnosis dan rawatan kerana ramai pesakit sawan yang datang berubat dapat banyak perubahan sama ada kekerapan serangan berkurang atau sembuh sepenuhnya dengan izin Allah.

MASAALAH KEGUGURAN BERULANG

Soalan: 
ASSALAMUALAIKUM, saya baru sahaja keguguran seminggu lalu. Kandungan saya mencecah dua bulan setengah. Masalah saya ini keguguran kedua. Keguguran pertama juga kandungan saya masuk dua bulan. Kedua-duanya turun sendiri bersama sarung. Saya juga tidak menggunakan kaedah D&C kerana menurut doktor rahim saya sudah kosong dan bersih. 

Di sini saya ingin bertanya doktor adakah disebabkan janin saya atau rahim saya tidak kuat. Suami saya juga kuat mengambil ubatan seperti ubat asma. Adakah itu juga puncanya?

Saya ingin minta pendapat doktor apa perkara yang sesuai untuk saya lakukan. Adakah saya perlu terus makan asid folik atau buat rawatan selanjutnya. Berapa bulan saya perlu berehat sebelum hamil semula. Saya berharap doktor dapat membantu saya memberi pendapat.

- Azlini, Pantai Permai,
Kuala Lumpur.

Jawapan

PUAN Azlini, keguguran tersebut bukan disebabkan janin tidak kuat atau ubat asma yang diambil oleh suami. Anda boleh teruskan pengambilan folik asid untuk memberi banyak kebaikan kepada ibu dan janin. 

Jika anda mengalami keguguran untuk kali kedua, doktor mungkin menyarankan beberapa ujian untuk mengenalpasti sebab keguguran tersebut. Walau bagaimanapun, biasanya anda tidak akan dirujuk kepada pakar sakit puan, kecuali jika anda mengalami tiga kali keguguran atau lebih berturut-turut. Walaupun setelah menjalani beberapa jenis ujian, pada kebiasaannya penyebab keguguran tidak dapat dipastikan. Masalah-masalah kesihatan biasanya bukan penyebabnya. Kehamilan seterusnya mungkin akan berjaya. 

Hari-hari dan minggu-minggu selepas keguguran boleh jadi sangat sukar, terutama sekali jika ini bukanlah keguguran pertama anda atau jika anda telah merancang kehamilan dengan berhati-hati. Adalah normal bagi anda merasa terkejut, sedih, murung, letih dan berasa seperti mengalami kegagalan. Anda mungkin merasa seperti segala-gala yang anda harapkan hancur berkecai dalam sekelip mata. Anda juga mungkin mengalami kemurungan dan tidak dapat menumpukan perhatian terhadap tugasan harian dan tidak boleh tidur. Ingatlah bahawa anda dan suami tidak dipersalahkan. Keguguran yang berlaku dalam trimester pertama (kurang dari tiga bulan) kehamilan adalah perkara yang sangat biasa berlaku. 

Keguguran tidak memberi kesan ke atas keupayaan anda untuk hamil lagi. Mengalami keguguran tidak semestinya menandakan anda mempunyai masalah kesuburan. Malah, kajian menunjukkan bahawa setengah dan tiga perempat daripada wanita yang pernah mengalami keguguran sebanyak tiga kali atau lebih akhirnya melahirkan bayi yang sihat tanpa memerlukan sebarang rawatan perubatan yang khusus. Selepas keguguran kali pertama, risiko keguguran untuk kali kedua sama dengan sebelumnya, dan walaupun selepas dua kali keguguran, risiko keguguran kali ketiga hanya meningkat sedikit sahaja. 

Kebanyakan doktor mengesyorkan anda tunggu sehingga anda mendapat sekurang-kurangnya satu ke dua kali haid yang normal sebelum mencuba untuk hamil semula. Ini bagi memberi peluang kepada badan anda kembali normal. Tetapi jangan lupa bahawa anda juga perlu sembuh dari segi emosi sebelum anda bersedia untuk cuba hamil lagi. 

Dalam minggu-minggu pertama kehamilan, cubalah berehat sebanyak mungkin dan lapangkan fikiran. Anda juga boleh minta doktor menjalankan imbasan ultrabunyi awal. Setelah anda dapat melihat degupan jantung bayi, anda mungkin berasa lebih tenang dan yakin. Jadi teruslah berusaha, jangan sesekali berputus asa.

PILIH WAKTU SUBUR

Soalan:  

SAYA baru sahaja mendirikan rumah tangga sebulan yang lepas. Kami sudah bersedia untuk memiliki cahaya mata. Tetapi setiap kali bersama saya mendapati air mani suami saya meleleh keluar walaupun saya tidak bergerak. Apabila saya bangun tidur keesokan harinya, saya dapati kain saya terdapat tompokan air mani. Apabila saya membuang air kecil juga, air mani akan meleleh keluar. Saya juga telah meletakkan bantal di bawah punggung ketika bersama. Peluang untuk saya hamil akan tipis sekiranya air mani suami selalu tumpah. Adakah keadaan ini menganggu usaha kami untuk mendapatkan zuriat?

- Rosnah, Johor

Jawapan

Tahniah kepada anda berdua yang baharu memasuki gerbang perkahwinan sebulan yang lepas, Selamat Pengantin Baru! 

Jika diizinkan Allah, peluang anda tidaklah tipis. Janganlah puan gusar. Teruskan usaha seperti biasa. Waktu subur adalah penting bagi wanita. Pada kebiasaannya peluang untuk hamil adalah dalam 80 hingga 90 peratus pada tahun pertama perkahwinan bagi wanita yang tidak mengamalkan kaedah perancang keluarga. 

Semasa hubungan seks, setelah proses ejakulasi, sperma (benih lelaki) akan bergerak sendiri ke saluran pembiakan (salur Fallopio) wanita secara semula jadi. Pada waktu subur wanita, lendiran mukus akan dihasilkan di permukaan serviks untuk membantu pergerakan sperma dan melindungi sperma daripada tindakan persekitaran faraj yang berasid. 

APRIKOT VITAMIN B17 : SINAR BARU PENDERITA KANSER

BAGAIMANA B17 MEMBUNUH SEL KANSER 
 
UMUM mengetahui kanser adalah antara penyakit kronik yang amat digeruni oleh manusia seantero dunia. Terdapat lebih daripada 100 jenis kanser dan lima yang utama antaranya ialah kanser paru-paru, perut, hati, kolorektal dan tidak ketinggalan juga kanser payudara yang kekal sebagai pembunuh utama wanita apabila terdapat 1.05 juta kes setiap tahun di seluruh dunia. Menurut WHO, potensi untuk mendapat kanser boleh dicegah sebanyak 30% jika masyarakat memberhentikan penggunaan tembakau dan alkohol, mengamalkan diet yang seimbang dan menjalani gaya hidup aktif dan sihat. 

Kita sering mendengar pepatah "mencegah lebih baik daripada mengubati." Namun realitinya, seringkali berlaku di mana pesakit kanser hanya menyedari bahawa mereka menghidap kanser apabila sudah berada di tahap 4. Gejala-gejala awal kanser sering diabaikan oleh pesakit kerana menganggap simptom tersebut akan hilang dengan sendirinya. Seharusnya, mereka perlu membuat pemeriksaan awal bagi mendapatkan kepastian seperti menjalani ujian kolonoskopi, mammogram, Prostate-Specific Antigen (PSA) dan sebagainya. 

Friday, May 17, 2013

PENYAKIT BATU KARANG DI HEMPEDU

PUNDI hempedu merupakan organ badan yang terdiri daripada karung kecil berbentuk buah pear yang terletak di bawah bahagian kanan hati. Jus hempedu yang dirembeskan oleh hati disimpan sehingga diperlukan oleh tubuh bagi penghadaman lemak.

Meskipun bahagian ini jarang diberi perhatian, namun kegagalan pundi hempedu berfungsi sebaiknya akan menyebabkan kemudaratan yang cukup berbahaya. Menurut Pakar Pembedahan Hepatobiliari Klinikal Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr. Hairol Othman, kesakitan yang dialami bukan sahaja melibatkan bahagian abdomen malah terasa sehingga ke tulang belikat.Gejala yang sering dihadapi adalah radang pada pundi hempedu berkenaan. Ini berlaku apabila batu terbentuk di dalam pundi hempedu pesakit. Keadaan menjadi kritikal sekiranya batu tersebut tersekat dan menghalang jus hempedu daripada dirembes keluar.

Terdapat dua faktor utama terjadinya batu dalam pundi hempedu iaitu kolesterol dan kalsium bilirubinate yang tinggi dalam badan.

“Batu hempedu terbentuk apabila kolesterol dan garam hempedu menjadi tepu. Ia akan membentuk kristal dan lama-kelamaan akan membesar lalu menjadi batu,” ujarnya.

Kesakitan yang dialami oleh pesakit biasanya disebabkan batu tersebut bergesel pada dinding pundi hempedu. Seringkali terjadi apabila seseorang itu mengambil makanan berlemak, pundi hempedu akan mengecut untuk merembeskan jus hempedu ke dalam usus untuk ‘meleburkan’ lemak tersebut.

Jika batu hempedu tersekat di pangkal pundi hempedu, ini membolehkan berlakunya radang pundi hempedu. Lebih parah jika serpihan batu hempedu tersumbat pada saluran hempedu yang menyambungkan pundi tersebut pada usus. Ia seterusnya akan menyebabkan jaundis.

Mengikut statistik, 15 hingga 20 peratus daripada populasi masyarakat akan mendapat masalah batu hempedu terutama di negara Barat. Faktor diabetes, masalah thyroid(hypothyroidism) dan jangkitan parasit juga menjadi penyebab penyakit ini.

Tanda-Tanda Batu Karang Dalam Hempedu
1. Sakit/kembung dibahagian kanan perut
2. Rasa sakit bila ditekan pada tepi ulu hati
3. Rasa sakit di hempedu ketika menarik nafas
4. Rasa loya & muntah tanpa sebab
5. Badan rasa tidak bermaya
6. Kurang selera makan
7. Demam
* Tanda-tanda ini kerap berlaku selepas beberapa jam makan makanan berminyak
Kesan-Kesan Batu Karang Dalam Hempedu
1. Kerosakan Hati & Pankreas
2. Hepatitis B (demam kuning)
3. Kematian

MERAWAT BATU HEMPEDU

UMUM mengetahui bahawa apa juga jenis penyakit serius yang dihidapi sememangnya ada impak tersendiri terutama kepada penghidapnya.

Selain memberi masalah yang cukup besar sehingga menjejaskan kehidupan harian dan produktiviti penghidapnya termasuklah kaum keluarga, ia juga boleh memberi kesan secara tidak langsung kepada ekonomi negara.

Penyakit batu hempedu, meskipun agak jarang didengari, namun ia juga tidak terkecuali meninggalkan kesan tersendiri.

Pakar Bedah Hati dan Hempedu, Datuk Dr. Haron Ahmad berkata, batu hempedu merupakan sejenis penyakit abdomen yang kronik.

Menurut beliau masalah yang sering dihidapi oleh wanita bertubuh gemuk sebenarnya boleh menimbulkan komplikasi serius jika dibiarkan tanpa rawatan.

``Ini termasuklah radang pundi hempedu, radang saluran hempedu, penyakit kuning, hati bernanah dan yang paling serius boleh menyebabkan kanser pundi hempedu walaupun insidennya kecil,'' jelasnya.

Tambah beliau, meskipun jarang kedengaran penyakit ini dibincangkan secara meluas berbanding diabetes, jantung, hipertensi dan sebagainya, namun ia juga boleh mengganggu keharmonian sesebuah keluarga dan meninggalkan kesan pada ekonomi negara secara tidak langsung.

``Hasil tinjauan mendapati pesakit yang tidak dapat bekerja, selalu berjumpa doktor dan kerap dimasukkan ke hospital untuk dirawat, sekali gus menyebabkan produktiviti mereka menurun.

Saturday, May 11, 2013

KRISIS USIA 40 - 65 TAHUN

PERNAHKAH anda mendengar frasa "life begins at 40?" Ia adalah fasa kehidupan yang menggambarkan tentang perubahan tingkah laku dan emosi manusia apabila berada dalam lingkungan umur 40 ke 65 tahun.
Fenomena berkenaan dikenali sebagai midlife crisis atau krisis pertengahan usia dalam istilah psikologi.

Sesetengah lelaki akan menyedari fenomena ini semasa menyambut hari jadi mereka pada umur tertentu atau pada kelahiran cucu pertama. Ada yang menyedarinya setelah merasakan prestasi seksual mereka semakin menurun akibat penurunan paras hormon testosteron.

Bagi wanita pula, mereka biasanya lebih bersedia kerana mengalami simptom menopause sebagai tanda bermulanya fasa tersebut.

Individu dalam lingkungan umur ini amat mencemburui zaman. Mereka sedar bahawa kecantikan dan kecergasan fizikal yang mereka ada satu ketika dulu semakin pudar.

Tanda-tanda penuaan seperti rambut yang ditumbuhi uban, penambahan saiz pinggang, kedutan pada wajah dan pengurangan daya ingatan mulai ketara. Mereka merasakan masa bergerak terlalu pantas.

Ibu bapa baru tersedar bahawa mereka tidak sempat menikmati saat-saat indah ketika membesarkan anak-anak. Kini anak-anak sudah dewasa, malah ada yang telah berkahwin dan berpindah ke rumah sendiri. Ibu bapa di kampung semakin uzur. Adik-beradik, sahabat handai dan saudara mara pula ada yang telah meninggal dunia.

Bebanan kerja yang meningkat, masalah kewangan dan ketidakharmonian keluarga pula menyebabkan mereka kerap berfikir adakah mereka telah membuat pilihan yang tepat dalam hidup. Tempoh persaraan yang semakin hampir dan kurangnya persediaan memburukkan lagi keadaan.