Soalan:
ASSALAMUALAIKUM Haji Lokman.
Anak saya mengalami kemurungan teruk
sejak tiga bulan lepas, dia tidak mahu solat, tidak keluar rumah dan
selalu marah. Dia tidak mahu jumpa doktor atau ustaz yang kami bawa
untuk berubat. Bolehkah tuan haji membantu anak saya?
Terima kasih.
-
Encik Syahid, Johor Bahru -
Jawapan:
Kami di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah sering bertemu pesakit
kemurungan klinikal atau clinical depression. Ada pesakit murung
bertahun lamanya dan ada yang baru mendapat tahu perasaan sedih dialami
bukan perasaan sedih biasa.
Terdapat pelbagai punca kemurungan, antaranya faktor luaran yang
sangat besar seperti kematian suami atau ahli keluarga tersayang
sehingga perkara yang mungkin remeh pada orang lain seperti gagal
mendapat semua A dalam peperiksaan.
Saya pernah berjumpa pesakit murung selepas melahirkan anak sehingga
si ibu tidak mahu melihat bayinya kerana merasa tidak mampu menjadi ibu
terbaik.
Kita harus tahu membezakan kemurungan klinikal dengan perasaan sedih
biasa. Perasaan sedih berpanjangan boleh membawa kepada kemurungan
klinikal tetapi bersedih atau murung disebabkan sesuatu tidak semestinya
kemurungan klinikal.
Perasaan sedih adalah normal bagi semua orang. Cuma, kita harus
mengawal perasaan tersebut daripada mengawal dan menjejaskan pemikiran
serta kehidupan kita.
Anggaplah perkara yang menyedihkan merupakan ujian Allah, seperti
firman-Nya di dalam surah Al-Ankabut ayat 2 hingga 3; Apakah manusia
itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: Kami telah
beriman, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah
menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah
mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui
orang-orang yang dusta."
Kemurungan tidak mengenal usia, jantina, bangsa, agama dan status sosioekonomi dan boleh menyerang sesiapa sahaja.
Menurut Kajian Morbiditi dan Mortaliti Kebangsaan 2006, daripada
14,000 peserta yang mengalami masalah kesihatan mental, didapati 20
peratus adalah kanak-kanak dan hanya 11 peratus dewasa.
Anggaran kasar Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati daripada 10
orang penduduk Malaysia, seorang mempunyai penyakit mental. Majoriti
pesakit mental di Malaysia terdiri daripada kemurungan klinikal.
Dari segi pecahan jantina, penyakit kemurungan adalah ketiga
tertinggi di kalangan wanita manakala bagi lelaki, kemurungan adalah
kesepuluh tertinggi daripada semua jenis penyakit.
Penyakit kemurungan klinikal kerap berlaku di seluruh dunia dan
menurut World Health Organization (WHO), jumlah pesakit kemurungan
klinikal akan bertambah dari tahun ke tahun, tidak kira sama ada negara
maju dan membangun seperti Malaysia.
WHO mendakwa penyakit mental lebih banyak menimpa manusia berbanding
hipertensi dan kencing manis! Kemurungan juga punca utama kes bunuh diri
seluruh dunia. Apa yang merisaukan WHO, jumlah kematian akibat bunuh
diri jauh lebih tinggi daripada jumlah kematian akibat batuk kering
(Tuberculosis) di rantau Asia Pasifik.
Punca kemurungan
Antara punca kemurungan:
1Masalah keluarga kronik menyebabkan ahli keluarga tertekan, tersisih dan kurang mendapat kasih sayang secukupnya.
2Masalah rumah tangga contohnya suami curang terhadap isteri atau penceraian.
3Faktor genetik atau keturunan di mana ada ahli keluarga mengalami masalah kesihatan mental.
4Kehilangan sesuatu atau seseorang yang sangat rapat dan disayangi
hingga pesakit sentiasa teringat atau terbayang. Selalunya kehilangan
terjadi tanpa disangka.
5Perubahan keadaan sekeliling yang drastik dan sangat berbeza dengan
cara hidup dahulu, terutama perubahan berlaku tanpa sokongan ahli
keluarga atau rakan rapat.
6Perasaan rendah diri keterlaluan hingga mereka tidak yakin untuk melakukan sesuatu.
7Masalah yang terlalu berat untuk dipikul dan diselesaikan boleh
menyebabkan seseorang terjerumus ke masalah kemurungan seperti bankrup
atau muflis.
Aspek biologi
Kajian mendapati ada beza pada otak mereka yang disahkan mengalami
kemurungan klinikal dengan mereka yang tidak. Perbezaan utama adalah
saiz hippocampus, iaitu satu bahagian kecil otak manusia yang sangat
penting untuk menyimpan memori.
Saiz hippocampus pada pesakit didapati lebih kecil berbanding mereka
yang tidak pernah murung. 'Hippocampus' kecil bermakna kurang reseptor
hormon serotonin - hormon yang diperlukan sebagai 'ubat penenang'
semulajadi. Kebanyakan ubat kemurungan klinikal bertindak meninggikan
jumlah serotonin di dalam otak.
Tanda kemurungan
Selalunya, tanda kemurungan disedari apabila masalahnya sudah lama
dan menjejaskan kehidupan. Hampir semua pesakit mengalami masalah mood
rendah hampir setiap masa.
Pesakit hilang minat atau tidak seronok melakukan hobi atau perkara
digemari. Mereka lebih suka menyendiri tanpa melakukan apa-apa dan tidur
sepanjang hari.
Ahli keluarga mendapati pesakit tidak mahu menguruskan diri, selalu
cemas tanpa sebab (anxiety), tidak selesa di khalayak ramai, mudah
marah, rasa bersalah tidak bertempat, gelisah dan tidak berupaya
mengubah keadaan diri. Mereka mengalami penurunan (atau penambahan)
berat badan, selalu sakit, selera makan meningkat (atau menurun) dan
sentiasa penat.
Jika tidak mendapat bantuan, dikhuatiri pesakit mula mempunyai
perasaan mencederakan diri atau lebih serius, mempunyai rancangan
membunuh diri.
Rawatan moden
Menurut Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), rawatan sewajarnya membantu hampir 85 peratus pesakit kemurungan klinikal.
Setelah pesakit disahkan kemurungan klinikal, mereka diberi rawatan
seperti kaunseling, terapi atau pengambilan ubat anti-kemurungan
berterusan.
Selalunya pesakit bergantung kepada ubat anti-kemurungan sepanjang
hayat. Malah, ramai pesakit memerlukan gabungan rawatan kaunseling,
terapi dan ubat anti-kemurungan untuk hidup normal.
Rawatan tidak berkesan jika ahli keluarga dan sahabat tidak memberi
sokongan. Ahli keluarga dan sahabat harus memantau keadaan pesakit bagi
menunjukkan pesakit disayangi dan diperlukan.
Di dalam Al-Quran ada suruhan Allah untuk menyayangi insan lain.
Firman Allah dalam surah Al-Qashash ayat 77; Dan sayangilah manusia
sebagaimana Allah sayang kepadamu. Dan janganlah kamu berbuat bencana di
muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat
bencana."
Rawat guna Al-Quran
Daripada pengalaman saya, ramai pesakit kemurungan di Pusat Rawatan
Islam Al-Hidayah mengalami perubahan positif ketara selepas menerapkan
rawatan menggunakan ayat suci Al-Quran.
Firman Allah dalam surah Al-Araaf ayat 204; Dan apabila dibacakan
al-Quran, maka dengarkanlah baik-baik dan perhatikanlah dengan tenang
agar kamu mendapat rahmat."
Pesakit yang mengamalkan pembacaan ayat Al-Quran secara konsisten
setiap hari mendapati pemikiran dan perasan mereka lebih positif dan
tenang. Dengan izin Allah ramai pesakit telah dikurangkan dos ubat dan
ada yang tidak perlu mengambil ubat.
Selain itu, ada kemurungan disebabkan gangguan makhluk halus sama ada
saka atau melalui sihir. Gangguan ini seringkali mempengaruhi pemikiran
dan perasaan pesakit hingga mereka sangat tertekan, sedih dan merasakan
diri tidak berguna dan menyusahkan orang lain.
Apabila pesakit terpengaruh dengan gangguan makhluk halus, berlaku
kemurungan teruk dan perubahan personaliti. Setiap pesakit yang datang,
akan diperiksa terlebih dahulu jika ada gangguan makhluk halus.
Perawat akan mengeluarkan gangguan jika ada dan memberikan ayat untuk
diamalkan disertai doa kepada Allah memohon penyembuhan. Ayat tersebut
adalah:
Surah Muhammad ayat 21 hingga 32
Surah Thahaa ayat 120 hingga 135
Surah Az Zumaar ayat 59 hingga 75
Surah An Nahli ayat 81 hingga 89
Kaedahnya, pesakit hendaklah membaca surah pertama tiga kali pada malam dan surah kedua tiga kali pada siang.
Pembacaan hendaklah diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat
minggu. Selepas itu, pesakit perlu memohon doa kepada Allah untuk
penyembuhan. Selepas membaca dua surah pertama tadi, pesakit hendaklah
mengulang amalan dengan surah seterusnya.
Pesakit harus ingat bahawa penyembuhan hanya dengan izin Allah. Oleh
itu, kita jangan berputus asa dan sentiasa berdoa kepada Allah.
Seperti di dalam surah Yusuf ayat 12, Allah berfirman;
.dan
janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada
berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir."
Kesimpulannya, jika rakan atau ahli keluarga menghadapi kemurungan, jangan pandang remeh. Jangan buat persepsi negatif.
Mereka yang merasa dirinya mungkin mengalami kemurungan, carilah
bantuan dan ingat akan firman Allah dalam surah Al-Imran ayat 139:
Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati,
padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu
orang-orang yang beriman"
2 comments:
Orang yang menderita dengan penyakit kemurungan amat perlu sokongan daripada ahli keluarga. Jadi untuk menyembuhkan seseorang yang dapat kemurungan, kasih sayang yang diberikan boleh menambahkan peluang kesembuhan.
Yer..betul
Post a Comment