Saturday, December 8, 2012

CARA URUS PENYAKIT KANSER

Cara urus penyakit kanser


Leah Goodman (tengah), Dr. Mohamad Ibrahim Wahid (kiri) dan Dr. Ahmad Kamal menunjukan DVD kesedaran mengenai Kanser dalam Majlis pelancaran Project Life di KL Sentral, baru-baru ini. 
GOOGLE saja tentang penyakit anda? Jangan sebarangan kerana anda mungkin mendapat maklumat yang salah. Sekali gus membuatkan anda menjadi 'mangsa pembohongan' sendiri.

Sebagai alternatif daripada sumber pembacaan, anda kini boleh mendapatkan DVD Project Lifen - projek pertama di Malaysia yang memaparkan dua bahagian dokumentari dalam tiga bahasa tentang pengurusan kanser.

Inisiatif itu dihasilkan oleh Sanofi Oncology dan Persatuan Onkologi Malaysia (MOS) untuk menyelamatkan nyawa melalui maklumat tepat dan melenyapkan tanggapan salah tentang pengurusan kanser.

Project Life membantu pesakit kanser mengatasi cabaran apabila dikesan menghidap penyakit tersebut.
Selain berhadapan dengan emosi yang tidak menentu, pesakit dan keluarga mereka berhadapan dengan cabaran besar untuk mendapatkan jawapan sebenarnya atas kemusykilan berkaitan kanser dan juga pilihan rawatan.

DVD Project Life berkonsep memberi semangat kepada pesakit kanser dan penjaga mereka menerusi maklumat penting bagi membantu mereka membuat keputusan tentang pilihan terbaik berdasarkan bukti saintifik kukuh untuk keputusan yang terbaik.

DVD itu diberikan percuma kepada semua pesakit kanser dan memaparkan tentang temu ramah dengan pakar onkologi terbaik di Malaysia yang memberi maklumat penuh tentang penyakit itu bermula dengan diagnosis, rawatan hinggalah kepada penjagaan.

Yang paling utama ialah kisah pesakit yang berjaya melawan penyakit tersebut sekali gus memberikan semangat dan keyakinan kepada pesakit dan keluarga mereka apabila melalui proses rawatan dan pemulihan.

Sehingga kini, bilangan rakyat Malaysia yang menghidap kanser meningkat daripada 31,998 pada tahun 2008 kepada 34,386 pada tahun 2010. 

Bilangan ini dianggarkan akan terus meningkat kepada 40,939 pada tahun 2015 berdasarkan statistik Agensi Antarabangsa Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk Kajian Mengenai Kanser GLOBCAN.

Pengurus Besar Sanofi Malaysia, Singapura dan Brunei, Leah Goodman berkata, kerjasama itu untuk meningkatkan kualiti hidup pesakit kanser serta memberi kuasa kepada mereka melalui maklumat yang mereka perlukan. Menerusi itu mereka boleh menguruskan penyakit mereka dengan lebih baik dan fikiran yang tenang.

"Selain daripada memberi manfaat kepada pesakit, DVD ini dikongsi bersama penjaga untuk mendapat maklumat yang tepat dari pakar dalam bidang ini," kata Leah yang memberitahu bahasa yang digunakan dalam DVD ini mudah untuk difahami pesakit.

Sementara itu, Presiden Persatuan Onkologi Malaysia, Dr. Ahmad Kamal berkata, walaupun terdapat peralatan canggih dan ubat-ubatan terbaru ramai pesakit kanser di Malaysia tidak mendapat rawatan yang optimum.

"Apa yang menyedihkan semuanya berpunca daripada tanggapan yang salah tentang pengurusan kanser dan maklumat yang tidak tepat diperolehi daripada pelbagai saluran.

"Itu juga menjadi sebab pesakit pergi mendapatkan terapi alternatif atau tradisional dan bukannya berdasarkan bukti. Keengganan atau kelewatan mendapatkan rawatan klinikal akan menjejaskan peluang mereka untuk pulih dan terus hidup" jelas beliau.

Datuk Dr. Mohamad Ibrahim A. Wahid selaku Ahli Majlis Kehormat MOS pula berkata, pesakit sering merasa hampa dan trauma psikologi yang mereka alami boleh menyebabkan mereka sukar memahami atau mengingati nasihat doktor atau perunding. 

"Melalui DVD ini pesakit dan penjaga akan mendapat maklumat tepat daripada sumber yang boleh dipercayai dan mereka juga boleh menontonnya berulang kali," ujar beliau.

Perkongsian

"Kalaulah dahulu saya tahu apa yang perlu diketahui tentang penyakit ini dan proses rawatannya, perjalanan hidup saya mungkin kurang menakutkan. 

"Saya juga mungkin menjadi lebih yakin dan tidak membuang masa menjadi seorang yang pemurung tanpa sebab hanya berdasarkan cerita-cerita menakutkan yang saya dengar dari pihak ketiga," ujar pesakit kanser Hasmat Zakaria.

DVD ini dipersembahkan dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia dan Mandarin. Untuk permulaan, 5,000 keping DVD akan disediakan untuk pesakit kanser dan mereka boleh mendapatkannya dengan meminta daripada doktor mereka semasa temu janji.

No comments: