Saturday, December 15, 2012

KUALITI ATAU KUANTITI?





IBU bapa memainkan peranan penting dalam mendidik anak selepas mereka pulang daripada program cuti sekolah memandangkan tugas itu adalah amanah Allah. 
 
PENGANJUR program musim cuti semuanya bersepakat menyatakan tujuan utama mereka menganjurkan aktiviti tersebut adalah untuk mengisi masa lapang para remaja dengan aktiviti bermanfaat, selain mencegah mereka daripada terjebak dalam aktiviti tidak berfaedah dan bukannya aspek wang ringgit semata-mata.
Mereka senada mengatakan kesedaran yang terlahir selepas program itu yang lebih diutamakan. Ini petanda bahawa para peserta telah mengambil input daripada modul program yang dijalankan.

Bagi pengasas The Little Khalifah Shop, Roslinah Daud berkata, beliau menganjurkan program berkenaan untuk meneruskan legasi dakwah Rasullullah dengan mendidik kanak-kanak menerusi kefahaman Islam. 


Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa penekanan kualiti dititikberatkan oleh pihaknya.

The Little Khalifah Shop yang hanya dijalankan sepanjang cuti sekolah menurut Roslinah menerima maklum balas positif daripada ibu bapa dan bekas peserta sejak 2003. Mereka berterima masih kepadanya memandangkan modul yang diadakan itu mampu mendidik anak-anak untuk menjiwai agama Islam.

"Setelah beberapa tahun diadakan, saya tidak berhasrat untuk membuka tadika atau sekolah dengan memperkenalkan modul Little Khalifah, sebaliknya ingin membuka cawangan lain di sekitar Lembah Klang seperti mana yang dibuka sekarang," katanya yang ditemui di pusat pembelajaran itu di Hulu Klang, Selangor.

Penerapan al-Quran

Sementara itu, pembimbing Tahsin al-Quran Training Centre (TQTC), Asni Mansor sependapat dengan Roslinah dan menyatakan bahawa penerapan al-Quran dalam program anjurannya bakal memberi kesan mendalam yang berpanjangan walaupun pada mulanya terdapat antara para peserta tidak tahu membaca al-Quran.

Pendakwah terkenal tanah air itu kemudian berkata, kemungkinan para peserta berubah, sama ada disebabkan oleh beliau atau suaminya, Mohd. Nasir atau mana-mana para pembimbing TQTC tetapi bagi Asni perubahan itu mungkin berlaku sementara sahaja.

"Tetapi jika mereka berubah kerana al-Quran, itu berlaku berpanjangan dan selamanya kerana saya dan ustaz tidak boleh pulang ke rumah, tetapi dengan mukjizat al-Quran, kitab suci itu mampu melunakkan hati mereka," ujar beliau.

Didik generasi muda

Seterusnya bagi Ketua Jurulatih Pusat Pengajian Al-Quran Sistem Individu (Pupaqsi), Mohd. Amir Syazwan mengaut keuntungan daripada hasil yuran para peserta bukan matlamat pihaknya menganjurkan program cuti sekolah.

Beliau menjelaskan, tugas mendidik generasi muda hari ini adalah satu-satunya tujuan perkhemahan seumpama itu diadakan.

Katanya, pernah sekali pihaknya mendapat peserta seramai lima orang tetapi itu bukan penghalang untuk tidak meneruskan program berkenaan. 

Tambah beliau, sedikit mana pun peserta, program tetap diteruskan.

"Oleh demikian, kami di Pupaqsi mementingkan kesan terhadap peserta selepas program. Adakah modul yang dirangka itu dapat memberi kesan positif kepada mereka," ujar beliau ketika ditemui di Kem Naim, Batu 14, Hulu Langat, Selangor iaitu tempat program anjuran Pupaqsi berlangsung.

No comments: