GAYA hidup masyarakat semakin berubah. Remaja
hari ini lebih banyak menghabiskan masa bermain komputer dan berinternet
berbanding di padang bersama rakan-rakan. Mereka lebih seronok
menghabiskan masa dengan aktiviti yang tidak mengeluarkan peluh. Dari
segi pemakanan pula, anak-anak kita hari ini terdedah kepada pelbagai
makanan yang siap diproses berbanding makanan segar hinggakan
buah-buahan dan sayur-sayuran tidak digemari oleh mereka. Mereka lebih
suka makan makanan segera dan minuman berkarbonat. Maka tidak hairanlah
jika masalah obesiti atau lebihan berat badan banyak melibatkan remaja
dan anak-anak moden terutamanya yang hidup di bandar-bandar besar. Bukan
sahaja anak-anak, malah orang dewasa juga kurang melakukan senaman
rutin. Meskipun sudah hampir lewat malam atau sudah awal pagi masih
berada di kedai makan lagi. Sedangkan esok perlu bangun awal dan
bekerja. Akhirnya, produktiviti kerja menurun dan kualiti hidup
terjejas.
Usia yang panjang itu boleh didoa dan diusahakan. Cuba fikirkan
apakah penyebab kepada kematian? Memanglah jawapannya takdir dan
ketentuan Allah. Tetapi dalam masa yang sama manusia boleh berdoa untuk
meminta dipanjangkan usia. Kalau diperhatikan penyebab utama kepada
kematian adalah kemalangan, pembunuhan (termasuk bunuh diri), penyakit
kronik (termasuk jantung) dan usia tua. Ini bermakna mati itu pada
kebiasaannya bersebab. Oleh itu jika kita meminta panjang umur tetapi
dalam masa sama tidak mengamalkan gaya hidup sihat dan sengaja
mendedahkan diri pada aktiviti berisiko seperti memandu laju dan cuai,
maka kemungkinan doa kita untuk panjang umur tidak dimakbulkan oleh
Allah. Kerana setiap doa itu perlu diiringi dengan usaha.
Rahsia kepada usia panjang dan bahagia adalah kehidupan yang
seimbang. Terdapat empat perkara yang utama dan perlu diberikan
perhatian jika mahu hidup lebih lama dan bahagia.
Fikir sebelum makan
Ada orang kata makanan sayang mahu dibuang sebab itu adalah rezeki.
Betul, tapi mereka lupa kesihatan tubuh badan juga adalah satu rezeki.
Kalau sudah tahu tidak mahu membazir, usah ambil makanan terlalu banyak.
Kalau diberikan oleh orang kepada kita, agih-agihkanlah pula kepada
orang lain agar tidak membazir. Fikirkan juga sama ada apa yang dimakan
itu berkhasiat atau tidak. Budaya terlalu banyak makan makanan yang
berlemak, berminyak, bersantan dan bergula hanya memudaratkan kesihatan
sendiri.
Lakukan senaman secara rutin
Seharian bekerja memang meletihkan. Namun penat bekerja yang tidak
mengeluarkan peluh tidak sama dengan penat bersenam yang mengeluarkan
peluh. Senaman yang dilakukan secara rutin memastikan badan dalam
keadaan baik sehingga ke usia tua. Kalau sudah tidak larat untuk
bersukan, cukuplah dengan berlari-lari anak. Kalau berlari-lari anak
juga sudah tidak mampu maka usahakanlah untuk berjalan laju beberapa
kilometer sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Sedikit senaman yang
dilakukan secara konsisten boleh mencegah tubuh badan daripada pelbagai
masalah penyakit kesan daripada lebihan kalori dan kolestrol.
Senaman yang berterusan juga menguatkan otot-otot serta sendi dan ini
penting dalam proses pembakaran lemak. Mereka yang mengalami masalah
berat badan biasanya malas bersenam. Sebaliknya mereka menjadi kuat
makan dan kuat tidur. Gejala ini memburukkan lagi keadaan hingga membawa
kepada pelbagai masalah penyakit serta keyakinan diri yang rendah.
Sentiasa positif
Ada ketikanya berfikiran positif itu tidak menyelesaikan masalah yang
ada, tetapi tanggapan ini mengubah cara kita melihat masalah itu dan
ini secara tidak langsung mengurangkan tekanan emosi pada diri. Malah
berfikiran positif juga ada ketikanya membolehkan kita memecah kebuntuan
terhadap sesuatu masalah yang selama ini terasa begitu rumit. Apa yang
menariknya, berfikiran positif mampu mendorong orang yang positif kepada
kita untuk membantu menyelesaikan masalah. Mereka yang positif percaya
setiap yang berlaku ada sebab-sebabnya dan mereka belajar sesuatu
daripadanya. Dari segi hubungan sosial, mereka yang positif sentiasa
bersangka baik, berusaha memperbaiki hubungan, berlapang dada dan suka
memaafkan orang lain.
Menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah
Mereka yang mencari bahagia, menyerahkan sepenuh jiwa raganya kepada
Allah. Hidupnya untuk beribadah kepada Allah. Apa juga yang dilakukan
diniatkan kerana Allah. Mereka ini menjaga ibadah wajib dan menambah
ibadah sunat. Mereka sentiasa mencari ruang untuk membuat kebajikan,
pemurah, suka menolong orang dan hatinya sentiasa mengingati Allah dalam
apa juga keadaan dan perbuatan. Mereka percaya tidak ada satu pun
musibah yang boleh berlaku melainkan dengan izin Allah. Tahap keyakinan
dan tawakalnya terhadap qada' dan qadar Allah cukup tinggi. Hidupnya
tidak dalam keluh kesah, apa lagi merintih atau merungut. Sebaliknya
hatinya dididik untuk sentiasa reda dan syukur dengan apa yang
diperolehi setelah segalanya diusahakan dengan baik dan
bersungguh-sungguh. Hidup mereka berpaksikan akidah yang mantap,
melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang oleh
Allah.
No comments:
Post a Comment