Dalam hal ini, tidak terkecuali bagi ibu-ibu yang mengandung malah
golongan ini bukan sahaja perlu memastikan janin yang dikandung sihat,
mereka juga disaran agar menjaga kesihatan diri masing-masing sepanjang
tempoh sembilan bulan tersebut.
Ini kerana ketika inilah pelbagai jenis penyakit mudah 'melekat' tatkala perubahan hormon di dalam badan berlaku.
Tidak dinafikan kehamilan adalah suatu pengalaman unik bagi wanita,
begitupun ia pastinya menjadi satu igauan ngeri apabila diri disahkan
menghidap kencing manis ataupun darah tinggi ketika mengandung.
Menurut Naib Presiden Kanan, Operasi Antarabangsa Serantau, Novo
Nordisk, Jesper Hoiland, di Malaysia angka yang ditunjukkan di kalangan
ibu mengandung menghidap kencing manis semakin meningkat malah angka
tersebut merupakan satu angka yang tinggi.
Tambah beliau, ditambah pula dengan rutin hidup yang tidak sihat,
tiada senaman dan kurang pengambilan buah-buahan serta sayur-sayuran
menjadi antara risiko penyebab penyakit ini di kalangan ibu-ibu
mengandung.
"Di Malaysia, angka penghidap kencing manis atau diabetes di kalangan ibu mengandung boleh dikatakan semakin kritikal.
"Ini merupakan satu masalah besar di kalangan masyarakat hari ini dan
ibu mengandung yang menghidap diabetes berisiko tinggi mempunyai berat
badan yang berlebihan.
"Kesan gaya hidup tidak sihat ini sememangnya tidak dapat dilihat
pada jangka masa pendek malah diabetes hanya diketahui apabila seseorang
itu menjalani pemeriksaan kesihatan dan disahkan oleh doktor," ujarnya
ketika ditemui baru-baru ini.
Oleh yang demikian bagi mengurangkan masalah tersebut, pihaknya
(syarikat farmaseutikal dan peneraju penyakit diabetes, Novo Nordisk)
kini dalam perancangan untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa atau
kerajaan untuk meningkatkan kesedaran mengenai penyakit ini di kalangan
penduduk Malaysia terutama sekali ibu-ibu mengandung.
Melalui perancangan tersebut, pihaknya akan mengadakan beberapa siri
program dalam usaha memberi kesedaran di samping meningkatkan ilmu
pengetahuan mengenai penyakit diabetes ini.
Berbalik kepada peningkatan jumlah penghidap diabetes ketika
mengandung ulas Jesper, semasa mengandung, hormon yang dikeluarkan oleh
uri (plasenta) mengganggu keberkesanan insulin dan hasilnya
hiperglisemia mungkin berlaku.
Katanya lagi, lazimnya diabetes yang berlaku semasa mengandung akan
hilang selepas kelahiran, namun risiko untuk mendapat kencing manis pada
masa hadapan adalah tinggi.
Untuk itu sekiranya mereka (ibu mengandung) pernah mendapat rawatan
kencing manis semasa mengandung maklumkan kepada doktor atau jururawat
untuk tindakan selanjutnya.
Harus diingat bahawa risiko kencing manis meningkat dengan peningkatan umur semasa mengandung.
Bagaimanapun Jesper menjelaskan, diabetes ketika mengandungi tidak
semestinya hanya akan dihidapi oleh mereka yang mempunyai sejarah
keluarga malah penyakit ini turut 'menyerang' mereka yang tidak
mempunyai sejarah keluarga yang menghidap diabetes.
Ulasnya lagi, semasa mengandung, sekiranya pesakit memerlukan
perawatan untuk kencing manis, ubat suntikan insulin boleh diberikan dan
ia tidak membahayakan kandungan dan juga kesihatan.
Begitupun, beliau menasihatkan agar pesakit mengubah corak pemakanan dan gaya hidup juga perlu diberi perhatian.
"Amalkan senaman kerana ia amat bermanfaat untuk individu yang belum atau pun sudah menghidap diabetes.
"Senaman itu penting untuk mereka yang berpenyakit kencing manis dan
bagi ibu mengandung mereka boleh juga bersenam seperti berjalan-jalan
serta melakukan senaman ringan lain.
"Selain itu pemakanan seimbang juga penting kerana tumbesaran janin
bergantung pada pemakanan ibu dan perlu ditegaskan pemakanan yang
diambil perlu diimbangkan supaya paras gula tidak naik melebihi normal,"
katanya. - MARIATUL QATIAH ZAKARIA
No comments:
Post a Comment