Saturday, December 8, 2012

PEMANDULAN LELAKI

Saya berusia 45 tahun dan sudah memiliki lima orang anak, tiga orang perempuan dan dua orang lelaki. Anak bongsu saya sudah pun berusia lapan tahun.

Saya fikir, keluarga saya sudah lengkap dan isteri saya pun sudah tidak mahu mengandung lagi. Saya ada terbaca mengenai pembedahan pemandulan lelaki. Boleh kiranya doktor jelaskan mengenai pembedahan ini?

* Ayah anak lima


JAWAPAN:

Saudara, pembedahan pemandulan lelaki dikenali sebagai vasektomi. Pembedahan ini adalah teknik pemandulan kekal. Selepas pembedahan ini, seseorang lelaki tidak akan mempunyai sperma dalam air mani selepas ejakulasi.

Ketika pembedahan ini, saluran vas deferens iaitu saluran yang membawa sperma dari buah zakar akan dipotong dan diikat. Ini akan menghalang sperma dari bercampur dengan air mani yang akan keluar semasa ejakulasi.

Tanpa kehadiran sperma, telur wanita (ovum) tidak akan dipersenyawakan walaupun pancutan air mani dilakukan ke dalam faraj. Selepas pembedahan ini, kedua-dua buah zakar akan terus menghasilkan sperma tetapi oleh kerana ia tidak boleh dikeluarkan, ia akan diserap kembali ke dalam badan.

Kaedah perancang keluarga Secara lazimnya, beberapa bulan selepas pembedahan, saudara perlu menggunakan kaedah perancang keluarga seperti kondom ketika mengadakan hubungan seks bersama isteri. Ujian air mani kemudian akan dilakukan untuk memastikan tiada sperma dalam air mani saudara. 

Bagaimanapun, saudara perlu faham bahawa walaupun salur vas deferen sudah diikat, saudara masih lagi mempunyai ejakulasi air mani yang normal kuantitinya. Ini adalah kerana sebahagian besar dari air mani datang dari kelenjar prostat dan kelenjar seminal.

Pembedahan vasektomi ini boleh dilakukan secara pesakit luar. Kaedah ini merupakan pembedahan ringkas dan menggunakan bius setempat sahaja. Pembedahan ini mengambil masa selama 20 ke 30 minit.

Ketika pembedahan ini kedua dua kerandut buah zakar akan dibersihkan, saluran vas deferen akan diidentifikasi dengan menggunakan jari, ubat bius akan disuntik di kawasan pangkal kerandut zakar, dua hirisan kecil akan dibuat di kedua-dua belah pangkal kerandut zakar, saluran vas derefens akan dikenal pasti, dipotong dan diikat dan akhir sekali kulit akan dijahit dan ditutup.

Pakar bedahUntuk makluman saudara, pembedahan vasektomi ini boleh dilakukan oleh pakar bedah dan pakar urologi. Selepas pembedahan, saudara akan merasa sedikit kebas pada bahagian kerandut zakar selama sejam hingga dua jam. Saudara dinasihatkan supaya berehat untuk keseluruhan hari. Seluar dalam yang ketat dapat menyokong kerandut zakar perlu dipakai untuk membantu melegakan kesakitan. Saudara juga mungkin dapat melihat sedikit bengkak pada kerandut zakar. Namun, bengkak ini akan hilang dalam masa beberapa hari.

Saudara boleh mula bekerja selepas sehari atau dua hari. Namun, kerja-kerja berat tidak boleh dilakukan sehingga seminggu. Hubungan seks boleh dimulakan selepas seminggu tetapi seperti yang saya terangkan, saudara mungkin masih boleh menyebabkan isteri saudara hamil, oleh itu pakailah kondom buat sementara waktu.

PemeriksaanJadi, saudara perlu membuat pemeriksaan air mani terlebih dulu sebelum melakukan hubungan seks dengan tidak memakai kondom. Pemeriksaan air mani ini selalunya akan dilakukan dua bulan selepas pembedahan (atau saudara boleh melakukan ejakulasi sebanyak 10 hingga 20 kali untuk membuang sperma yang sedia ada dari air mani)

Pembedahan ini tidak akan menjejaskan libido atau nafsu seks saudara. Ia juga tidak akan menjejaskan ereksi atau orgasma saudara. Prosedur ini juga tidak akan menjejaskan pancutan air mani.

Vasektomi adalah cara perancang keluarga yang kekal. Keberkesanannya adalah sebanyak 99.85 peratus. Risiko mengandung hanya akan berlaku sekiranya hubungan seks dilakukan tanpa pemeriksaan air mani untuk memastikan air mani tidak mengandungi sperma. Ianya mudah dilakukan, murah dan tidak mempunyai komplikasi yang besar jika dibandingkan dengan pembedahan sterilisasi pada wanita. Ianya lebih kos efektif jika dibandingkan dengan penggunaan kondom atau pil perancang.

Saudara perlu pastikan yang anda betul-betul tidak mahu lagi mendapatkan zuriat sebelum menjalani pembedahan ini. Ini kerana walaupun terdapat pembedahan yang boleh dilakukan untuk menyambung kembali salur vas deferens yang diikat, pembedahan penyambungan ini amat sukar dilakukan. Peratusan kejayaan untuk mencantumkan semula salur vas deferens adalah sangat rendah.

Saya harap saudara sudah mendapat sedikit gambaran mengenai pembedahan vasektomi. Fikir masak-masak dan berbincang dulu dengan isteri sebelum saudara mengambil keputusan menjalani pembedahan ini.

No comments: