RADANG apendiks bukanlah perkara asing didengari
kerana rata-rata kita atau orang yang rapat dengan dengan kita pernah
melalui masalah tersebut.
Berdasarkan statistik, sebanyak 16 peratus populasi dunia Barat
mengalami radang apendiks dan menjalani pembedahan membuang apendiks
iaitu apendisektomi.
Sehingga kini, tiada kajian yang dapat menunjukkan fungsi sebenar
apendiks. Ada yang berpendapat menyatakan ia berfungsi sebagai pencegah
kuman bagi kanak-kanak.
Membetulkan pemahaman umum, apendiks bukanlah penyakit. Ia merupakan
bahagian pada usus besar yang berbentuk tiub bersaiz jari dan
kedudukannya adalah di bahagian bawah abdomen kanan iaitu berdekatan
dengan pinggang.
Sakit pada bahagian apendiks dipanggil radang apendiks yang juga dikenali sebagai apendisitis.
Radang apendiks adalah satu keadaan di mana apendiks menjadi bengkak
dan bernanah berkemungkinan kerana tersumbat lalu menyebabkan berlakunya
jangkitan kuman.
Tanda-tanda nyata yang sering dihadapi pesakit ialah sakit yang
keterlaluan pada bahagian kanan abdomen malah sehingga demam dan muntah.
Pakar Runding Pembedahan Am, Pusat Perubatan Kelana Jaya, Petaling
Jaya, Dr. Jonah Azariah berkata, masalah radang apendiks menjadi semakin
parah jika apendiks bocor dimana kuman akan merebak ke
bahagian-bahagian lain.
"Apendiks merupakan bahagian usus besar dan sedia maklum usus besar
merupakan bahagian pencernaan yang terkandung kuman yang paling teruk.
"Jika apendiks bocor, najis, nanah dan kuman yang terkandung di dalam
apendiks akan merebak ke organ berdekatan malah mereka yang mempunyai
masalah kencing manis akan membuatkan kuman lebih cepat merebak.
"Sebab itu pentingnya mereka yang mengesyaki menghidap radang
apendiks untuk segera bertemu dengan doktor bagi menjalani rawatan
susulan sama ada melalui pembedahan ataupun penggunaan antibiotik untuk
mematikan kuman.
"Walaupun peratusan mereka yang meninggal dunia akibat apendisitis
adalah rendah, tetapi ia masih mampu membawa maut jika lambat mengambil
tindakan," ujarnya.
Terangnya, terdapat satu sahaja salur darah pada bahagian apendiks
dan jika ia tersumbat, darah tidak dapat mengalir secara normal
membuatkan ia bengkak, bernanah dan akhirnya bocor.
Ia sering menyerang golongan muda sekitar usia 10 hingga 30 tahun. Malah bayi juga tidak terkecuali daripada masalah tersebut.
Apendisitis penyakit bandar? Walaupun tiada punca
nyata menyatakan bagaimana masalah apendiks berlaku, Dr. Jonah
berpendapat ia diakibatkan daripada corak pemakanan yang tidak sihat dan
kuman daripada makanan serta minuman.
Ini kerana, apendiks berada pada usus besar dan semestinya ia merupakan kawasan pemprosesan makanan dan pencernaan.
"Orang di bandar banyak yang makan di luar di mana kita tidak tahu tahap kebersihan makanan yang dimasak.
"Malah, apendiks turut sering menyerang pelajar yang tinggal di asrama.
"Ketika saya bertugas di kawasan luar bandar, jumlah kes masalah
apendiks amat kurang daripada di bandar besar," ujarnya yang pernah
bertugas di batu Pahat, Johor.
Selain itu, corak pemakanan yang tidak teratur dan tidak seimbang berkemungkinan menjadi punca radang apendiks.
Mereka yang kurang mengambil air putih, sayur-sayuran dan mengalami masalah penghadaman lebih mudah mengalami masalah tersebut.
Simptom apendisitisSimptom radang apendiks pada
awalnya sering disalah tafsir sebagai sakit perut biasa atau angin
memandangkan ia sering menyerang di bahagian perut di sekitar pusat.
Selalunya, sakit tersebut semakin kuat satu hingga dua hari kemudian dan ia berpindah dari perut ke bahagian kanan abdomen.
Keadaan bertambah buruk jika pesakit turut mengalami simptom lain
seperti demam, cirit-birit tetapi najis tidak banyak, muntah, tiada
selera makan dan semestinya badan lemah.
Jika apendiks sudah bocor, pesakit akan berasa sakit di seluruh badan terutamanya perut dan demam kuat.
"Kadang-kadang pesakit menyangka ia hanyalah sakit perut biasa lalu
pergi mengurut di mana ia akan lebih memburukkan keadaan kerana apendiks
yang bengkak mampu pecah jika ditekan kuat.
"Apa yang penting jangan memandang remah sakit di perut terutamanya
di bahagian kanan dengan segera bertemu dengan doktor," ujarnya.
Namun ujar Dr. Jonah, ada kes di mana kanak-kanak mendapat simptom
seperti radang apendiks tetapi sebenarnya ia adalah demam virus.
Ini kerana apendiks turut mempunyai kelenjar yang akan membengkak apabila demam teruk dan rawatannya berbeza dengan apendisitis.