Sunday, October 23, 2011

Beza kanser lelaki dan wanita

Soalan:

Golongan lelaki diingatkan supaya tidak pandang remeh kanser payu dara kerana mereka juga berisiko diserang penyakit itu bahkan implikasinya lebih teruk berbanding wanita. Benarkah perkara ini doktor?

Jejaka L.

Saudara Jejaka L,

Benar seperti kata saudara bahawa kaum lelaki tidak boleh memandang remeh kanser payu dara kerana ia juga boleh berlaku kepada mereka. Elok di kesempatan ini dapat saya ceritakan sedikit berkenaan dengan kanser payu dara lelaki. Lebih kurang satu peratus daripada kanser payu dara berlaku di kalangan lelaki walaupun insiden dilihat meningkat dari tahun ke tahun.

Kanser ini berlaku dalam julat umur yang besar tetapi secara tipikalnya timbul di kalangan lelaki berumur 60-an atau 70-an. Antara faktor-faktor risiko termasuklah terdedah kepada radiasi atau hormon wanita iaitu estrogen. Ia juga boleh disebabkan oleh faktor keturunan atau genetik.

Pendedahan kepada hormon estrogen boleh disebabkan oleh ubat-ubatan, kegemukan atau penyakit hati manakala faktor genetik berlaku di kalangan saudara-mara wanita terdekat yang mengidap kanser payu dara. Pengambilan alkohol berlebihan juga dikaitkan dengan kanser payu dara lelaki. Bagaimanapun risiko paling tinggi bagi kanser payu dara lelaki adalah di kalangan lelaki yang mengidap sindrom klinefelter iaitu suatu keadaan di mana seseorang lelaki itu mempunyai lebihan kromosom X.

Ada perbezaan ketara antara kanser payu dara lelaki dan wanita. Kanser (atau ketumbuhan) di kalangan lelaki lebih mudah dikesan kerana saiz payu dara lelaki adalah kecil berbanding wanita. Bagaimanapun mungkin disebabkan kurang kesedaran, biasanya mereka sering menangguhkan dari menjalani pemeriksaan lebih-lebih lagi jika lelaki tersebut juga ada ginekomastia iaitu perkembangan kelenjar payu dara yang tidak normal dan menyebabkan pembesaran payu dara.

Kanser payu dara lelaki lebih mudah merebak dan mereka kerap datang pada tahap yang agak lewat untuk dirawati. Sama ada implikasinya lebih buruk berbanding dengan wanita lebih bergantung kepada tahap mana mereka datang mendapatkan rawatan. Jika di peringkat awal, InsyaAllah boleh dirawat sepenuhnya.

No comments: