HAIRAN betul tengok Laila. Dia makan banyak tapi badannya kecil dan langsing. ''Kadang-kadang tengok dia makan tak berhenti. Mulutnya asyik mengunyah namun berat badannya tak pernah berganjak,'' kata Naemah kepada saya.
Naemah berasa hairan kerana setelah tiga bulan mengamalkan diet yang ketat dia masih belum mampu menurunkan berat badannya. Sedangkan sahabatnya Laila yang makan banyak tidak pula menjadi gemuk.
Jelaslah bagi kita bahawa faktor makan bukannya sebab yang tepat mengapa seseorang menjadi gemuk. Seseorang menjadi gemuk disebabkan tubuhnya tidak mampu menukar makanan kepada tenaga untuk digunakan. Sebaliknya makanan disimpan menjadi lemak. Orang yang mengalami masalah ini tentu akan berasa letih dan kekurangan tenaga.
Apabila dia makan lebih banyak untuk meningkatkan tenaganya, makanan tersebut terus menjadi lemak pada badan dan dia akan bertambah gemuk.
Adakah berat badan satu masalah bagi anda? Adakah anda sedang mencari-cari panduan yang berkesan untuk menurunkan berat badan? Adakah anda sering mencuba untuk kurus tetapi gagal? Adakah anda berasa kecewa apabila doktor dan para pakar tidak mampu membantu anda menurunkan berat badan?
Sebenarnya anda tidak bersendirian dalam menghadapi masalah ini.
Ramai yang bermasalah dan mencari-cari jalan jalan keluar masalah berat badan. Kerana itulah wujudnya pelbagai perniagaan pelangsingan yang rata rata mengambil peluang ke atas anda. Apabila anda mengunjungi pusat-pusat sebegini dan gagal mereka mempersalahkan anda semata mata. Anda akan dituduh makan banyak dan tidak berdisiplin, atau mereka sekali lagi cuba mengosongkan kocek anda dengan menawarkan sesuatu program yang lebih mahal.
Hakikatnya, anda tidak perlu berbelanja mahal untuk kurus. Anda hanya memerlukan pengetahuan yang baik mengenai jenis makanan yang mampu meningkatkan kadar metabolik dan senaman yang berkesan untuk mencapai berat badan idaman anda.
Bila enzim dan hormon pembakar lemak tidak ada dalam badan kita, sudah tentu badan tidak mampu membakar lemak. Akibatnya berat badan tidak berganjak meskipun berpuasa dan berdiet dengan bersungguh-sungguh. Jadi diet dan kaedah meningkatkan enzim dan hormon badan perlulah seiring.
Perubahan dalam hidup anda
Anda adalah apa yang anda makan. Makan adalah satu daripada nikmat anugerah Tuhan dalam hidup kita. Makanan yang sedap mengghairahkan selera sehingga apabila kenyang kita masih mahu makan. Oleh kerana makanan kita mengandungi banyak lemak dan gula, kita berhadapan dengan masalah pengambilan lebihan gula dan lemak. Kesilapan memilih makanan menjadikan ramai rakyat Malaysia menjadi gemuk. Keadaan ini disebut sebagai klinikal obesiti.
Di negara kita terdapat beraneka jenis makanan hasil integrasi budaya antara penduduk berbilang bangsa. Tidak kurang juga makanan segera dari negara luar. Hampir semua jenis makanan menggoda selera makan kita.
Lebihan berat badan dan obesiti
Mengikut istilah ada perbezaan di antara overweight dan obesiti. Overweight adalah lebihan berat badan daripada yang sepatutnya dari segi saiz kerangka badan.
Misalnya seorang ahli bina badan atau ahli sukan tertentu mungkin mempunyai berat badan yang lebih. Ini kerana kelebihan pada otot berat tulang badan dan kandungan air berbanding orang biasa namun dia tidak mengalami obesiti. Jadi yang dimaksudkan dengan obesiti ialah kelebihan lemak badan.
Jelaslah bagi kita bahawa menimbang berat sahaja bukan satu ukuran yang tepat bagi mengukur tahap obesiti.
Cara yang tepat adalah mengukur ketebalan lemak. Anda boleh mengambil ukur lilit lengan paha dan perut sebelum memulakan program melangsingkan badan. Jadikan ukuran sebagai rujukan anda menentukan keberkesanan program
BMI yang sering di jadikan rujukan ukuran berat adalah tidak tepat dijadikan takat rujukan kerana ia mengambil kira keseluruhan berat kita (berat tulang, otot dan lemak) tanpa mengambil kira amaun lemak dalam badan.
Jadi, apabila anda bersedia untuk memulakan program menurunkan berat badan anda perlu mengambil ukuran ukur lilit pinggang, lengan, dada, leher. Ini lebih tepat berbanding berat semata mata.
Persediaan mental untuk kurus
1) Sudahkah anda memikir dengan teliti mengapa anda mahu mengurang berat badan? Keazaman dan kekuatan minda sangat perlu kerana tanpa keazaman yang kukuh anda tidak mungkin mampu menghadapi cabaran yang hebat sewaktu menjalani proses menurunkan berat badan.
2) Adakah anda ingin mengurangkan berat badan untuk diri sendiri atau untuk orang lain? Mereka yang mahu kurus atas desakan naluri sendiri lebih berjaya pada amnya.
3) Adakah anda bersedia untuk memberi tumpuan dan kesungguhan menukar tabiat, jenis makanan dan aktiviti anda bagi menjayakan rancangan pengurangan berat badan?
Jawapan ya kepada soalan-soalan di atas memberi erti anda bersedia untuk memasuki era baru dalam hidup anda. Semestinya hadiah yang menunggu anda sangat besar ertinya dalam kehidupan anda dan keluarga.
Makanan yang perlu dalam diet
Banyak kalori boleh dikurangkan dengan mengelak makanan berlemak dan bergula. Kalau membeli makanan pilihlah makanan yang labelnya menunjukkan kandungan kalori atau kandungan gula yang rendah. Makan daging merah, daging ayam dan ikan. Makan makanan yang kandungan gula sedikit. Perlu diingat jus buahan juga mengandungi gula yang tinggi. Minuman beralkohol mengandungi kalori yang tinggi.
Makanan yang berkanji dan jenis tenusu patut ada dalam diet harian kerana ia membantu badan kita mendapat zat dan vitamin untuk keperluan kesihatan. Kita juga perlu mengambil bahan dan bijirin sayuran tiap-tiap hari. Dadih, susu kurang lemak, keju dan apa-apa makanan yang mengandungi susu rendah lemak. Kaum wanita perlu mengambil kalsium untuk mengelak reput tulang.
Kaunseling pil diet
Pil diet boleh menyebabkan tekanan darah meningkat ke paras bahaya. Janganlah sekali-kali ambil pil diet tanpa preskripsi doktor kerana tidak berbaloi untuk mendedahkan diri kepada bahaya semata-mata kerana ingin badan yang cantik.
Saya tidak bersetuju dengan pil diet kerana ia hanya boleh menurunkan berat badan buat sementara sahaja. Jika kita tidak berubah sikap dan aktiviti kita, kita akan tetap berhadapan dengan permasalahan sebegini. Pengambilan pil diet tidak harus jadi amalan secara rutin kerana kesan sampingan yang tidak baik.
Jalan utama mengurangkan berat badan adalah mengurangkan pengambilan kalori dan mengambil hanya makanan yang mempunyai glycemic indeks rendah serta bersenam.
Inilah jalan utama untuk membakar kalori dalam badan. Ia cara yang penting untuk mengurangkan berat badan dan mengekalkan berat badan yang dikehendaki.
Senaman dapat menghalang berbagai penyakit dan meningkatkan kesihatan secara keseluruhan. Tidak menjadi hal untuk kita memilih apa sahaja senaman asalkan ia dapat membakar kalori dalam badan kita. Untuk menjadikannya berkesan, senaman hendaklah diikuti dengan amalan pemakanan yang sihat dan seimbang.
Sekurang-kurangnya sehari kita perlu membuat senaman selama 30 minit. Kita perlu tukar gaya hidup pasif kepada gaya hidup aktif. Bila ada peluang untuk berjalan kaki kita berjalan. Bila ada peluang untuk naik tangga kita naik dengan kaki bukan dengan lif atau eskalator.
Kaunseling dalam pemilihan diet selalunya diadakan untuk mengurangkan berat badan. Terdapat dua jenis terapi diet iaitu diet berkalori rendah (800-1500 kalori) harian dan diet yang kalori sangat rendah bawah daripada 800 kalori dengan mengguna cecair protein.
Hentikan memakan makanan yang kaya dengan karbohidrat, pada peringkat permulaan anda akan berasa lapar, cuba alihkan perhatian anda dengan aktiviti yang menyibukkan. Ambil hanya makanan berprotein seperti telur ikan dan berfiber seperti sayur dan buah. Selepas seminggu tubuh anda akan segar dan kembali bertenaga dan lemak akan mula pecah.
No comments:
Post a Comment