Soalan
SAYA ingin meminta pandangan dan nasihat doktor mengenai kesihatan saya. Saya mempunyai masalah gatal pada bahagian luar faraj sejak tiga tahun lalu. Akibat daripada menggaru, kawasan tersebut menjadi pedih apatah lagi ketika saya ingin membuang air.
Masalah ini hanya berlaku pada waktu malam sahaja iaitu ketika saya tidur, namun ada kalanya, ia berlarutan sehingga siang dan saya berasa amat tidak selesa. Saya telah mendirikan rumah tangga sejak setahun yang lalu. Masalah saya masih tidak berkurang malah bertambah teruk. Dan kebelakangan ini, saya menyedari terdapat beberapa lagi masalah timbul iaitu saya sukar untuk membuang air kecil atau besar.
Ketika saya bersama dengan suami pula, tiada cecair yang keluar dari faraj saya dan ini menyebabkan saya berasa sakit . Saya ingin mengetahui apakah sebenarnya masalah yang saya hadapi ini dan bagaimana saya perlu mengatasinya.
Untuk pengetahuan doktor, saya tidak pernah berjumpa mana-mana doktor kerana malu. Saya amat berharap doktor dapat membantu saya dalam masalah saya ini.
- Sofia, Lembah Klang.
JAWAPAN
Saya tahu kebanyakan wanita malu untuk berjumpa doktor apabila menghadapi masalah pada kemaluan atau faraj (vagina). Keadaan seperti rasa gatal, keluar lendir, sering membuang air kecil dan alat sulit berbau bukan perkara biasa yang dialami dan anda sebenarnya boleh mendapatkan rawatan bagi menangani masalah berkenaan.
Malangnya ramai wanita menganggap keadaan berkenaan berlaku seiring dengan usia atau masalah biasa selepas kedatangan haid. Ada kalanya, keadaan itu boleh menjejaskan mutu kehidupan termasuk aktiviti harian tidak berjalan dengan lancar berikutan rasa kurang selesa.
Masalah jangkitan pada faraj sering kali berlaku pada wanita tanpa mengira latar belakang dan usia, sama ada bagi yang sudah mendirikan rumah tangga dan juga yang masih remaja. Bagaimanapun masih ramai lagi wanita pada masa kini, kurang berpengetahuan mengenai punca gejala masalah itu dan sering mengabaikan cara rawatan yang betul.
Infeksi
Ada juga penyebab lain yang menimbulkan masalah yang sama seperti mana yang dihadapi oleh puan. Salah satunya adalah, infeksi cacing kremi (Oksiuriasis, Enterobiasis). Ia adalah suatu infeksi parasit yang terutama menyerang anak-anak, dimana cacing Enterobius vermicularis berkembang biak di dalam usus. Kebiasaannya ia menyebabkan rasa gatal yang hebat di sekitar anus, kurang tidur (biasanya kerana rasa gatal yang timbul pada malam hari ketika cacing betina dewasa bergerak ke kawasan anus (dubur) dan menyimpan telurnya di sana), rasa gatal atau iritasi pada bahagian faraj (jika cacing dewasa masuk ke dalam faraj) dan di sekitar anus menjadi melecet, kasar, atau terjadi infeksi (akibat kerap menggaru).
Infeksi cacing kremi dapat disembuhkan melalui pemberian ubat anti-parasit seperti mebendazole, albendazole atau pirantel pamoat. Seluruh anggota keluarga dalam satu rumah harus mengambil ubat tersebut kerana infeksi berulang boleh menyebar dari satu orang kepada yang lainnya. Untuk mengurangi rasa gatal, boleh dioleskan krim anti gatal ke kawasan sekitar anus sebanyak dua hingga tiga kali/hari.
Kudis buta
Penyakit lain yang boleh menimbulkan gejala gatal pada luar faraj adalah penyakit scabies atau dikenali juga sebagai kudis buta. Scabies adalah penyakit kulit yang disebabkan oleh infestasi hama anthropod yang dikenali sebagai Sarcoptes scabie. Penyakit ini disebarkan melalui pendedahan yang berpanjangan kepada mereka yang mengidap scabies ini.
Organ utama yang terlibat adalah kulit di mana hama scabies betina akan masuk ke dalam kulit dan meninggalkan bahan-bahan buangannya (debris), telur dan najis hama ini. Keadaan ini menyebabkan tindakbalas alergi berlaku dan menyebabkan kesan gatal-gatal dan reaksi imunologi pada kulit. Kesan utama apabila terkena scabies adalah gatal pada badan terutamanya pada waktu malam.
Rawatan
Rawatan adalah dengan memberi ubat sapu (untuk membunuh scabies dewasa, larva dan telur) pada seluruh anggota badan (leher ke bawah) yang perlu disapu pada waktu malam untuk tiga malam berturut-turut dan dibiarkan sehingga esok pagi baru dicuci.
Adalah penting untuk merawat anggota keluarga yang tinggal serumah bagi mengelakkan jangkitan ini daripada berulang. Pakaian, selimut, sarung bantal serta apa-apa yang dipakai perlulah dicuci dan direndam dalam air panas mendidih untuk membunuh scabies, larva atau telur yang melekat pada pakaian tersebut.
Hanya dengan cara meniadakan penyebab gatal-gatalnya, keluhan yang biasa mengganggu tidur malam itu, boleh diredakan. Kebersihan kemaluan ditingkatkan dengan membersihkan menggunakan air bersih, pemakaian pakaian dalam yang tidak ketat dan dibuat dari bahan kain kapas. Hindarkan pemakaian sabun, pengharum pada faraj (vagina), serta jenis ubat-ubatan yang dapat mengiritasi permukaan kemaluan. Pilihlah sabun bayi dan bukan sabun wangi apalagi deterjen.
Bagi Puan Sofia, usah malu dan janganlah melengah-lengahkan untuk mendapat perawatan. Berjumpalah dengan doktor dan rawatan yang terbaik dapat diberikan.
No comments:
Post a Comment