APABILA membincangkan tentang aspek kesihatan, wanita memang diakui mempunyai lebih 'kesedaran' berbanding lelaki. Ini kerana lelaki mungkin dihalang oleh 'keegoan' yang agak tinggi untuk membicarakan soal penyakit apatah lagi yang melibatkan kesihatan reproduktif.
Mengambil iktibar daripada senario itu, Persatuan Urologikal Malaysia (MUA) dan Yayasan Kontinens Malaysia (CFM) telah berganding usaha untuk mewujudkan kesedaran tentang kesihatan prostat yang menjejaskan kehidupan ramai golongan lelaki di negara ini.
Sebagai memenuhi langkah awal usaha tersebut, satu laman web pengguna, www.men5050.com dan talian bantuan bebas tol (1800-88-5050) beserta buku panduan pesakit mengenai kesihatan prostat telah diwujudkan.
Laman web dan buku panduan tersebut boleh diakses dalam Bahasa Inggeris dengan adaptasi Bahasa Melayu dan Cina bakal diterbitkan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Kerjasama ini mendapat sokongan syarikat pembuat dan pembekal ubat terkemuka, GlaxoSmithKline (GSK).
Presiden MUA, Professor Dr. Azad Hassan Abdul Razack berkata, adalah diharapkan agar dengan adanya bantuan seperti laman web, talian bebas tol dan buku panduan tersebut meningkatkan lagi kesedaran dan pemahaman tentang kesihatan prostat.
Umur meningkat
Di samping itu, ia akan membantu orang ramai untuk mendapatkan rawatan segera apabila mengalami simptom berkenaan sekali gus memperbaiki kualiti hidup mereka.
"Apabila umur meningkat ke separuh abad, sepatutnya mereka boleh melalui hidup yang bebas daripada tanggungjawab kerja dan anak-anak," kata Azad Hassan
Malangnya, ramai daripada mereka mendapati diri dibelenggu masalah prostat seperti benign prostatic hyperplasia (BPH) yang menyebabkan masalah pembuangan air kencing yang amat menyusahkan.
"BPH adalah sejenis penyakit di mana kelenjar prostat membengkak dan menghalang saluran urin yang menyebabkan simptom seperti aliran air kencing yang lemah dan terhenti-henti atau tersekat semasa membuang air kecil atau rasa terdesak dan kerap membuang air kecil.
"Simptom-simptom ini memberi kesan yang ketara terhadap keyakinan, mobiliti dan kebebasan diri seseorang.
" Ini tidak termasuk bagaimana ia juga menjejaskan kehidupan individu lain yang terdekat dengan pesakit seperti isteri, anak-anak dan sebagainya," ujarnya.
Sementara itu, Presiden CFM, Dr. Peter Ng, berkata, berdasarkan penelitian kemungkinan lelaki yang berumur lebih daripada 50 tahun akan mengalami pembesaran prostat adalah sebanyak 50 peratus.
"Kemungkinan tersebut akan meningkat menjadi 90 peratus pada usia 80-85 tahun," katanya ketika memberi ceramah penerangan tentang penyakit tersebut di Tropicana City Mall, Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Ceramah tersebut adalah salah satu aktiviti bersempena Karnival Utamakan Keluarga: Sehati Sejiwa Untuk Keluarga yang dianjurkan oleh Persatuan Kemajuan Wanita Selangor, baru-baru ini.
"Bayangkan kesukaran yang dihadapi jika anda terpaksa membuang air kecil hampir di setiap kawasan rehat di sepanjang lebuh raya atau mencari tandas dalam kompleks beli-belah yang penuh sesak.
"Malangnya bagi kebanyakan kaum lelaki ini adalah satu kenyataan yang perlu dihadapi, di mana tidur juga sering terganggu kerana kerap rasa hendak terkencing pada waktu malam," terang Ng.
Kajian menunjukkan, BPH menjejaskan kehidupan kira-kira 50 peratus lelaki yang berusia 50 tahun dan ia lebih lazim dengan meningkatnya usia.
Apabila umur sudah mencecah 85 tahun, ia akan menjejaskan kehidupan kira-kira 90 peratus daripada jumlah lelaki.
"Penyakit ini jelas sekali bersangkutan dengan usia, tetapi ini tidak bermakna kita perlu menerimanya sahaja tanpa sebarang ikhtiar kerana terdapat cara untuk mengubatinya.
Pilihan rawatan
"BPH ialah sejenis penyakit yang boleh dan patut dirawat supaya simptomnya boleh dikurangkan kesannya dan tidak perlu menjadi tumpuan utama dalam kehidupan kaum lelaki," ujarnya.
Mereka yang merana akibat BPH mempunyai banyak pilihan rawatan untuk membantu melegakan simptom-simptom, mengelakkan komplikasi dan mengurangkan keperluan untuk pembedahan.
Jika penyakit dikesan pada peringkat awal, pembedahan adalah cara rawatan yang biasa.
Begitupun terdapat juga kaedah terapi perubatan yang terbukti berkesan seperti penghalang alfa dan penghalang 5 alpha reductase.
"Ini adalah matlamat utama dalam rawatan iaitu untuk mengelakkan komplikasi dan memperbaiki kualiti hidup," katanya.
Walaupun tidak ada cara untuk meramalkan siapa yang akan mengalami risiko lebih tinggi dalam pembentukan komplikasi, data sedia ada menunjukkan bahawa satu pertiga daripada mereka yang merana akibat BPH akan mengalami simptom yang lebih buruk.
Oleh itu, salah satu cabaran besar dalam menangani beban BPH ialah perlunya kaum lelaki mendapatkan diagnosis dan rawatan awal sebelum berlakunya sebarang komplikasi
No comments:
Post a Comment