Saturday, October 15, 2011

PEMAKANAN PESAKIT GOUT

Anda ada masaalah GOUT? ikuti kisah dibawah ini dari article yang telah difwdkan kepada saya …

Dr. Pakar,

SAYA Hafis, berumur 24 tahun dan disahkan menghidapi penyakit gout. Saya ingin mendapatkan maklumat tentang pemakanan yang boleh dimakan dan tidak boleh dimakan oleh pesakit gout. Seperti yang saya tahu, pesakit gout tidak boleh mengambil makanan berdaging dan sayuran hijau.

Saya pernah diberitahu oleh doktor bahawa saya boleh memakan telur ayam dan ikan. Tapi, seperti yang saya tahu kedua-duanya adalah sumber protein kepada badan. Jadi adakah ini bermakna kedua-dua makanan tersebut juga akan turut meningkatkan paras asid urik dalam badan saya?

Saya juga diberitahu bahawa saya tidak lagi boleh memakan sayur-sayuran hijau seperti bayam dan kekacang. Jadi saya ingin tahu, makanan apakah yang saya patut ambil untuk menggantikan nutrien yang terdapat di dalam sayuran tersebut kerana saya tidak boleh lagi memakan sayuran.


Oleh itu, saya ingin mengetahui lebih lanjut tentang diet pemakanan yang harus saya ambil agar saya dapat mengurangkan paras asid urik dan mengatasi masalah gout. Bagaimana pula dengan ulam-ulaman seperti petai dan sebagainya? Adakah ulam-ulaman juga termasuk di dalam kategori sayur-sayuran yang tidak boleh dimakan oleh pesakit gout?

Adakah saya tidak boleh langsung memakan makanan tersebut? Bagaimana pula dengan makanan seperti buah-buahan dan makanan berasaskan bijirin serta yang berasaskan susu? Adakah ia juga boleh memberi sebarang kesan kepada penyakit gout? Terima kasih.
– Hafis

Hafis,

Penyakit gout ditakrifkan sebagai penghasilan asid urik secara berlebihan di dalam badan dan ini berlaku dalam keadaan yang mana produksinya bertambah dengan pengambilan secara berlebihan makanan purin berprotein tinggi.

Contohnya, makanan laut (udang, ketam, sotong, dan sebagainya) dan daging merah seperti daging lembu dan kambing disertakan juga dengan gangguan pada perkumuhan asid urik dari badan, mengakibatkan penyakit gout atau berlebihan asid urik dalam badan.

Tidak kesemua makanan yang berprotein meninggikan risiko gout seperti ikan dan telur ayam, akan tetapi harus diingat bahawa gout menyerang seseorang yang mengambil protein secara berlebihan.

Terdapat kajian yang menunjukkan seseorang yang makan daging merah secara berlebihan meninggikan risiko mendapat gout pada kadar 40 peratus dan bagi mereka yang mengambil makanan laut berlebihan (selain ikan) risikonya meningkat kepada 50 peratus untuk mendapat gout.

Dalam kajian yang sama juga menunjukkan pengambilan sayur-sayuran seperti kekacang termasuk kacang pis, bunga kubis, bayam dan cendawan tiada kaitan dengan risiko mendapat gout dan tiada kontraindikasi untuk mengambil susu rendah lemak oleh pesakit gout.

Secara lanjut berkenaan diet gout, berjumpalah dengan pakar dietetik yang berdekatan untuk mendapatkan nasihat yang sewajarnya.

Selain mengawal pemakanan dengan tidak mengambil purin berprotein tinggi seperti yang telah disebutkan di atas secara berlebihan, terdapat ubat-ubatan tertentu yang dapat membantu mengurangkan asid urik dalam badan dan pesakit juga dinasihatkan agar meminum air yang banyak setiap hari bagi membantu perkumuhan asid urik asid dari badan dan mengurangkan risiko mendapat batu karang.

Ringkasnya, pemakanan yang harus dikurangkan/dielakkan adalah protein yang menghasilkan kandungan purin yang banyak, dan purin adalah penyumbang terbesar kepada pembentukan asid urik.

Untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang rawatan gout, silalah berjumpa dengan pakar perubatan anda dan berbincang dengan pakar dietetik mengenai diet yang sesuai untuk pesakit gout.

- Jawapan disediakan oleh Pakar Bedah Ortopedik dan Sukan, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMSC), Selangor, Dr. Khaizatul Ezam Abu Bakar

No comments: