SETIAP manusia secara fitrahnya ingin menjaga maruah dan nama baiknya. Sebab itu manusia tidak suka perbuatan keji dan maksiat yang dilakukannya diketahui orang ramai.
Oleh itu, perbuatan keji dan maksiat biasanya dibuat secara sembunyi. Oleh kerana maruah diri adalah salah satu perkara yang menjadi keutamaan atau daruriyat, maka Islam mengharamkan zina dan semua bentuk perlakuan yang boleh menjejaskan maruah diri.
Zina adalah satu perbuatan yang sangat keji dan hina dalam Islam. Ia dikategorikan sebagai dosa besar atau al-kaba'ir.
Larangan terhadap zina dalam Islam bukan setakat melakukan zina tetapi termasuk semua perbuatan yang boleh membawa kepada zina. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu suatu perbuatan yang sangat keji dan seburuk-buruk jalan. (al-Israk: 32)
Menurut Imam Al-Qurtubi, zina dikatakan seburuk-buruk jalan kerana ia perbuatan yang membawa pelakunya ke neraka jahanam.
Ini menunjukkan kejinya perbuatan zina dalam pandangan Islam. Oleh kerana kejinya perbuatan itu, maka Islam telah menetapkan hukuman yang amat berat kepada penzina.
Firman Allah yang bermaksud: Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum Allah, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman. (an-Nur: 2)
Ayat di atas merujuk kepada penzina lelaki atau perempuan yang belum berkahwin (ghayr muhson). Adapun, hukuman bagi penzina yang telah berkahwin (muhson) adalah rejam dengan batu seperti yang telah dijatuhkan oleh Rasulullah SAW ke atas Ma'iz al-Aslami dan wanita daripada kabilah al-Ghamidiyah.
Sekali imbas, hukuman ke atas penzina baik yang belum berkahwin atau telah berkahwin kelihatan keras dan berat. Hukuman ke atas penzina yang telah berkahwin misalnya adalah direjam sampai mati di khalayak ramai, seolah-olah penzina sama seperti pembunuh.
Hukuman ini dikritik oleh Barat dan tidak kurang juga orang Islam yang tidak faham dan tidak mengerti tujuan hukuman tersebut dijatuhkan.
Jika diteliti dengan penuh insaf akan kesan dan akibat jenayah zina kepada diri wanita, anak luar nikah yang dilahirkan dan masyarakat umum, memang ada kaitan rapat antara perzinaan dan pembunuhan.
Dengan lain perkataan penzina adalah pembunuh yang kejam. Jenayah zina adalah perbuatan membunuh keturunan. Ia menghilangkan garis keturunan dan mencampurkan hubungan darah (nasab).
Kebanyakan penzina akan membunuh dengan menggugurkan anak-anak luar nikah yang dikandung sebelum dilahirkan bagi menutup perbuatan keji yang mereka lakukan.
Jika anak-anak zina itu tidak berjaya dibunuh sejak dalam kandungan dan lahir, maka anak-anak itu akan ditanam hidup-hidup, ditinggalkan di atas tangga masjid, dicampak ke dalam tong sampah atau dibuang di tepi jalan yang kadang-kadang menjadi makanan anjing.
Jika anak-anak yang tidak bersalah itu masih juga terselamat daripada pembunuhan kejam itu dan hidup seperti manusia lain, pada hakikatnya perasaan dan maruah anak itu dibunuh secara tidak sedar.
Dia akan terseksa sepanjang hayat apabila mengetahui dia sebenarnya adalah anak zina. Pihak kerajaan atau persendirian pula perlu menyediakan pusat-pusat pemulihan bagi menjaga anak-anak yang terbuang ini. Itulah akibat dan kesan perbuatan zina.
Dengan itu, wajarlah hukuman berat yang setimpal dengan pembunuhan dikenakan ke atas penzina.
No comments:
Post a Comment