Wednesday, October 19, 2011

Penjagaan luka kencing manis

leh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH

Perawat The Golden Steps membersihkan luka kencing manis Zaharah.


ZAHARAH SENAWI, 77 kini gembira dengan perubahan positif kesihatannya. Ketika mula-mula disahkan menghidap kencing manis, dia reda. Baginya, peningkatan usia dan kesihatan yang kian uzur mungkin menjadi faktor utama. Segalanya berubah apabila doktor membuat keputusan untuk memotong kakinya. Pada peringkat awal, ibu jari kakinya terpaksa dipotong. Kemudian doktor mahu memotong jari kakinya yang lain. Dia segera menolak keputusan itu. 

Seorang jiran memperkenalkan Zaharah tentang perkhidmatan mencuci luka kencing manis oleh Pusat Rawatan Alternatif, The Golden Steps. 

Pada awalnya, dia sendiri seperti tidak yakin dengan keberkesanan rawatan di pusat tersebut. Kemudian pihak pengurusan The Golden Steps mengunjungi Zaharah di rumah dan mencuci luka kaki Zaharah.
Bermula pada 2 Mei 2011, Zaharah dirawat menggunakan cara alternatif atau perubatan tradisional dan selang tujuh hari luka di kakinya menunjukkan perubahan.

Menggunakan gamat dan suplemen herba, Zaharah menunjukkan peningkatan yang positif.

Hampir lima bulan menjalani rawatan di sini, dia kini ibarat nenek angkat yang menceriakan suasana di pusat rawatan ini. Lukanya kini hampir sembuh sepenuhnya.

Walaupun lukanya kini sudah mencapai tahap minimum, Zaharah masih melakukan pemeriksaan kesihatan di hospital.

"Nenek sebenarnya sudah lima tahun disahkan kencing manis. Nenek sedar keputusan yang diambil pihak doktor mempunyai alasan yang kukuh. Tetapi nenek tidak dapat membayangkan kehilangan anggota badan. Alhamdulillah mereka di pusat rawatan ini melayan nenek seperti keluarga di sini dan rawatan tidak menyakitkan," ujar Zaharah yang membahasakan dirinya dengan panggilan nenek.

Membantu

Pengasas The Golden Steps, Aminah Yem memberitahu, pusat ini ditubuhkan untuk membantu pesakit-pesakit kencing manis untuk mendapatkan kehidupan yang optimum dan lebih baik.

"Kami telah bersepakat menubuhkan sebuah pusat rawatan yang memberikan rawatan profesional kepada pesakit yang menghidapi luka kencing manis untuk mengelakkan amputasi serta memberi penjagaan dan pendidikan kesihatan kepada pesakit untuk mengelak daripada luka kencing manis," ujar Aminah.

Oleh sebab kesibukan penjaga, ramai pesakit yang terabai penjagaan lukanya hingga menyebabkan keadaan luka yang dihadapi menjadi lebih kronik dan risiko kehilangan nyawa. Justeru itu, pusat rawatan ini telah mewujudkan satu perkhidmatan yang pastinya memberi penyelesaian dan memberi harapan kepada pesakit dan penjaga.

Antara perkhidmatan yang disediakan di seni ialah rawatan di rumah, penjagaan harian, rawatan pembersihan luka kencing manis, rawatan kaki diabetes dan rawatan lintah.

Dalam pada itu, ketua perawat The Golden Steps, Liz See memberitahu memotong kaki atau bahagian yang luka bukan satu jalan penyelesaian kepada pesakit luka kencing manis. Menurutnya, sekiranya doktor memutuskan untuk melakukannya, pesakit perlu mendapatkan nasihat doktor sebelum melakukan rawatan alternatif lain.

"Kebiasaannya, rawatan mencuci dan membersihkan luka ini hendaklah di lakukan oleh mereka yang berkemahiran, seperti jururawat atau perawat yang berpengalaman dan biasa mengendalikan pesakit luka kencing manis. Di sini kami mencuci luka pesakit sekali sehari. Kami menggunakan gamat terpilih. Orang ramai sering salah faham tentang penyapuan gamat pada luka. Jika teknik yang salah digunakan, daging berlebihan akan tumbuh pada kaki.

Sekiranya luka yang kecil segera dirawat dan dibersihkan menggunakan ubatan dan peralatan yang sesuai serta di lakukan oleh mereka yang berkepakaran dan berkemahiran, tentu sekali luka dapat disembuhkan atau menjadi minimum. 

Malahan dengan cara ini dan dengan penjagaan kebersihan diutamakan, luka yang agak serius boleh pulih sehingga berkulit semula," ujarnya.

Berbeza dengan pusat rawatan lain, The Golden Steps mengambil satu pendekatan menyediakan perkhidmatan rawatan di rumah pesakit itu sendiri. 

Selain membantu pesakit yang kurang berupaya untuk bergerak dan perlukan bantuan ahli keluarga untuk membawa mereka ke pusat rawatan, klinik atau hospital, kakitangan The Golden Steps dapat mengenali lebih dekat keluarga pesakit. Justeru itu, mereka mudah memberi panduan atau memantau keadaan kesihatan pesakit.

No comments: