Saturday, October 1, 2011

Kesesakan cetus serang jantung?

KESESAKAN lalu lintas sememangnya tidak dapat dielakkan apatah lagi dengan pertambahan bilangan kenderaan di atas jalan raya.

Berhadapan dengan keadaan ini boleh membuatkan tahap tekanan atau stres anda melonjak.

Selain degupan jantung yang cepat dan badan banyak berpeluh, lain-lain tanda amaran stres termasuklah loya, bernafas kencang, cirit-birit dan terasa hendak membuang air kecil, sejuk kaki dan tangan, berubah selera makan (tidak lalu makan atau makin bertambah), keinginan seks menurun, sakit-sakit badan yang tidak diketahui puncanya, tidak dapat menumpukan perhatian dan gangguan tidur.

Cuba bayangkan setiap hari kita berhadapan dengan kesesakan lalu lintas, tanpa disedari anda mula stres dan simptom-simptom tersebut muncul.

Anda juga bakal berhadapan dengan pembunuh senyap atau kematian mengejut akibat serangan jantung.

Risiko

Kesesakan lalu lintas mengakibatkan kepekatan karbon monoksida meningkat di udara dan ini menyebabkan otot jantung kekurangan oksigen. Stres atau tekanan perasaan juga menyebabkan kadar denyutan jantung meningkat. Pemandu pula hilang kawalan emosi hingga tercetusnya perasaan marah dan ‘mengamuk’.

Satu kajian baru-baru ini menunjukkan kesesakan lalu lintas mempunyai kaitan dengan risiko serangan jantung.

Penyelidikan yang melibatkan 1,500 kes serangan jantung itu dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari Jerman dan Amerika Syarikat (AS).

Menurut kajian itu, mereka yang berdepan dengan kesesakan trafik tidak kira sama ada pemandu, penumpang, penunggang motosikal atau pengguna pengangkutan awam akan mengalami risiko serangan jantung tiga kali ganda lebih daripada keadaan biasa.

Kebanyakan kes yang diteliti menunjukkan tempoh satu jam pertama kesesakan trafik sudah cukup untuk meningkatkan risiko itu.

Kajian oleh Institut Epidemologi Helmholtz dan Sekolah Kesihatan Awam Universiti Havard itu juga mendapati suku daripada kes yang dipantau melibatkan wanita berusia sekitar 60-an.

Pemandu kereta yang terperangkap dalam kesesakan merupakan kelompok utama yang terdedah kepada serangan jantung.

Merangsang

Dalam konteks ini, keadaan stres sama ada akut atau kronik meningkatkan risiko penyakit jantung. Pada seseorang yang menghidapi penyakit jantung, stres akut boleh mencetuskan serangan jantung (infarksi miokardium).

Stres yang berlarutan atau kronik akan meningkatkan risiko penyakit jantung. Ia merangsang penyakit tekanan darah, dinding saluran darah menebal, merangsang mendapan lemak dan sel darah beku pada dinding saluran darah.

Selain itu, hormon adrenalin yang meningkat menyebabkan kadar degupan jantung turut bertambah, dinding jantung menebal serta merangsang peningkatan insulin yang boleh menebalkan dinding saluran darah.

Tidak ketinggalan peningkatan hormon CRP dan homosistein semasa stres turut menyumbang kepada risiko sakit jantung koronari dan serangan jantung.

“Apabila seseorang stres, ia boleh memberi kesan kepada saluran darah dan meningkatkan aras gula dalam badan. Keadaan ini merupakan risiko kepada serangan jantung hingga boleh menyebabkan kematian mengejut dan kemalangan jalan raya.

Secara amnya, kita melihat ramai yang stres akibat kesesakan lalu lintas. Pendek kata, kita harungi kehidupan moden ini bersama stres, kebimbangan dan kekecewaan yang mana adunannya cukup menekan, menjadi sebahagian daripada rutin seharian.

Bagaimanapun, tekanan luar biasa yang berpanjangan mempunyai kesan-kesan psikologi negatif dan menjejaskan fungsi jantung , sistem penghadaman dan rangka otot.

Justeru itu, setiap orang perlu bijak mengawal perasaan setiap kali berhadapan dengan keadaan yang boleh menyebabkan stres. ‘‘Ia bukan sahaja berpunca daripada keadaan jalan raya, malah masalah kewangan, tempat kerja, keluarga dan sebagainya boleh menyumbang stres,” jelas Pakar Kardiologi Pusat Pakar Perubatan KPJ Tawakkal, Dr. Zul Hilmi Yaakob.

Rokok punca utama

Bercerita lanjut, Dr. Zul Hilmi memberitahu, serangan jantung bukanlah punca utama kemalangan di jalan raya. Secara kebetulan, banyak kes serangan jantung ketika memandu menyebabkan kematian dan kemalangan.

“85 peratus kemalangan jalan raya disebabkan alkohol, pemanduan individu itu sendiri dan menggunakan telefon atau khidmat pesanan ringkas (sms) ketika memandu. Namun, orang ramai perlu bersedia dan berhati-hati sekiranya serangan jantung berlaku sama ada ketika kesesakan lalu lintas atau jalan raya tenang kerana ia bukan sahaja membahayakan diri pemandu tetapi turut membahayakan penumpang lain,” ujarnya.

Kebiasaannya, seseorang yang mendapat serangan jantung tidak akan dibenarkan memandu selama empat minggu.

Berbeza pula kes mereka yang merokok ketika memandu terutamanya untuk bagi perjalanan jarak jauh.

“Keadaan ini banyak berlaku. Ramai pemandu merokok untuk hilangkan mengantuk ketika memandu balik kampung pada musim perayaan atau berhadapan dengan kesesakan lalu lintas. Tidak kurang pula yang merokok kerana stres apabila jalan raya mulai sesak.

‘‘Dalam diam, rokok sebenarnya meningkatkan kolestrol dan serangan jantung mengejut. Justeru itu, amalan ini sebenarnya perlu diubah kerana ia membahayakan pemandu dan penumpangnya,” katanya.

Panduan

Jika berasa sakit dada ketika memandu, Dr. Zul Hilmi menyarankan berhenti memandu dan segera meminta bantuan penumpang yang lain untuk membawa anda ke hospital. Sebaliknya, sekiranya anda memandu sendiri, segera berhenti daripada memandu kereta.

Di Malaysia, 15 hingga 20 peratus pesakit meninggal dunia selepas mendapat serangan jantung. Berbeza dengan negara maju, kematian hanya lima hingga sembilan peratus.

“Statistik ini disebabkan ramai pesakit lewat datang ke hospital, lewat didiagnosis dan lambat mendapatkan rawatan selepas mendapat serangan jantung secara tiba-tiba.

‘‘Justeru itu, orang ramai yang mendapat sakit dada ketika memandu tidak kira dalam apa jua keadaan lalu lintas, perlu bertindak segera iaitu berjumpa doktor dan membuat pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Menyentuh tentang pemandu kenderaan komersial seperti bas, Dr. Zul Hilmi menyaran agar individu yang ingin mendapatkan lesen tersebut perlu menjalani pemeriksaan kesihatan.

Setakat ini katanya, belum ada undang-undang dikuatkuasa untuk memastikan pemandu bas perlu bebas daripada penyakit jantung.

Dalam pada itu, Pusat Pakar Perubatan KPJ Tawakkal yang terletak di Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur mengadakan program khusus sempena Hari Jantung Sedunia 2011 yang berlangsung semalam. Antara aktiviti yang dilakukan adalah ceramah kesihatan berkaitan jantung dan pemeriksaan asas kesihatan secara percuma.

Mengapa kemaruk makan?

"SAYA memang kuat makanlah doktor, saya sukar menghilangkan tabiat kuat makan ini. Saya pasti inilah sebabkan maka saya gagal untuk kurus. ‘‘Entah mengapa apabila saya melihat makanan manis seperti kek, kuih dan pasteri hati saya tidak dapat tahan, saya pasti mencubanya,’’ kata Puan Rozi.

Wanita itu menyambung keluhannya bahawa dia sudah puas mengekang nafsu makan namun apabila terjumpa saja makanan kegemaran maka dia akan tewas. Pada musim durian yang lalu, setiap hari dia membeli durian padahal dia tahu durian tinggi gula dan karbohidrat.

‘‘Namun selera saya bagaikan tidak dapat ditahan-tahan. Saya tidak kisah tak makan nasi seminggu namun kalau tak dapat makan roti, kek dan kuih hati saya rasa meronta-ronta,’’ katanya.

Perasaan ingin makan yang memuncak merupakan satu fenomena yang hadir dalam tubuh manusia. Oleh itu ia menjadi satu masalah kepada mereka yang mahu menurunkan berat badan. Dalam bahasa Inggeris ia disebut food cravings. Dalam bahasa Melayu pula dipanggil kemaruk makan manakala bahasa perubatan mengenalinya sebagai pica. Bagi ibu yang hamil fenomena bahasa yang sering dipakai adalah mengidam. Mengidam, pica, kemaruk atau cravings merupakan keinginan naluri yang kuat sehinggakan dalam sejarah Melayu turut menerangkan bahawa ibu yang hamil keinginan makannya harus dipenuhi. Ia dikaitkan pula dengan keinginan bayi dalam kandungan seperti di dalam legenda Sultan Mahmud mangkat dijulang.

Mengapa fenomena ini terjadi?

Menurut kajian sains hal ini disebabkan oleh keperluan nutrisi tubuh yang tidak mencukupi. Sekiranya kurang zat besi, seseorang itu inginkan makanan yang kaya dengan zat besi. Sekiranya kurang kalsium seseorang itu inginkan makanan yang kaya dengan kalsium pula. Dengan kata lain makanan yang memenuhi keperluan tubuh seseorang itu akan terasa lebih enak ditekaknya.

Namun adakah seseorang yang obes yang amat menyukai makanan manis berkarbohidrat tinggi bermakna tubuhnya tidak cukup karbohidrat? Mengapakah seseorang yang obes mengadu sering pening dan mempunyai paras gula rendah meski pun dia makan banyak karbohidrat .

Apakah yang terjadi sebenarnya?

Pakar anti penuaan mengkaji fenomena ini dan mengakui ia disebabkan kegagalan fungsi hormon atau kerosakan signal hormon tubuh.

Terdapat dua jenis hormon yang mengawal paras gula dalam darah iaitu hormon insulin dan glucagon. Kedua-dua hormon ini saling berinteraksi antara sama satu lain untuk memastikan paras gula stabil. Hormon insulin akan keluar dengan banyak apabila paras gula tinggi selepas makan. Kegunaan hormon ini bertujuan membolehkan gula digunakan oleh sel-sel dalam badan kita sebagai tenaga.

Insulin bolehlah dianggap sebagai pintu masuk gula ke dalam sel. Tanpa insulin gula hanya kekal di dalam darah dan tidak dapat masuk ke dalam sel. Gula yang ada di dalam darah tiada gunanya. Ia langsung tidak dapat digunakan oleh sel-sel bagi diproses kepada tenaga. Seseorang itu akan mengidap diabetes atau kencing manis apabila hal ini berlaku.

Hormon insulin yang keluar dikenal pasti oleh sel tubuh dan sel-sel ini akan membuka pintunya bagi membolehkan glukosa diambil ke dalam sel. Apabila hormon insulin rosak, sel menjadi tidak sensitif kepadanya. Dengan kata lain sel-sel kita tidak akan membuka pintunya. Hal ini akan menyebabkan lebih banyak insulin keluar dan akhirnya mencetuskan fenomena gula terlalu rendah di dalam darah. Apabila gula sering naik dan turun secara mendadak, seseorang akan berasa tidak selesa dan sering sakit kepala. Badan pula akan berasa letih dan lesu manakala keinginan untuk makan makanan manis akan memuncak. Inilah penyebab utama kemaruk makan.

Fenomena ini harus ditangani segera untuk mengelakkan kerosakan sistem insulin yang boleh membawa kepada kencing manis dan obesiti tegar.

Untuk mengatasi masalah ini disarankan seseorang minum air yang banyak selepas mengambil makanan manis. Air kosong akan melarutkan kepekatan gula dan mendorong kepada kurangnya rembesan insulin.

Pengambilan protein berkualiti boleh mengurangkan masalah ini. Protein yang berkualiti meningkatkan paras glukargon dalam darah dan membolehkan glukargon menukarkan lemak kepada gula semula yang kemudiannya digunakan sebagai tenaga. Proses ini membolehkan seseorang langsing.

Di zaman serba mewah ini masalah kerosakan insulin semakin menjadi-jadi sehinggakan dikhuatiri kadar obesiti akan terus meningkat di kalangan kanak kanak dan juga dewasa. Langkah yang wajar ialah membaiki faktor pemakanan secara perlahan-lahan.

Kempen gaya hidup sihat, pemeriksaan paras darah dan insulin perlu diteruskan bagi meningkatkan kesedaran kepada kita. Pembacaan mengenai hormon dan tanda kerosakan hormon perlu pasti bagi menangani obesiti yang resistant.

PENULIS boleh dihubungi di 03-87234808 dan 0132448484.

Kembali dara

Dr. Alice semasa sidang media memperkenalkan rawatab V2LR yang pertama di Malaysia baru-baru ini.

PROSES melahirkan anak serta penuaan semula jadi sememangnya akan memberi kesan kepada otot dan ligamen sekitar vagina atau faraj wanita.

Pengalaman yang begitu istimewa itu walaupun sentiasa dinanti-nantikan oleh pasangan suami isteri tetapi ia sedikit sebanyak memberi kesan kurang baik kepada mereka yang sentiasa mementingkan hubungan intim.

Vagina yang semakin lemah dan longgar dengan kekenduran otot serta ligamen di sekeliling lantai pelvik sememangnya boleh memberi kesan kepada kepuasan ketika menjalin hubungan seksual. Keadaan ini dipanggil vagina relaxation dan menyebabkan wanita tidak lagi mendapat kepuasan seks seperti dulu.

Antara simptom lain yang turut dialami akibat masalah ini ialah stress urinary incontinence (SUI) iaitu keadaan di mana seseorang itu tidak dapat mengawal pengeluaran air kencing, hilang fungsi kawalan dan penurunan keinginan seksual.

Lazimnya, wanita pada usia muda memiliki struktur tubuh yang ketat dan kemas.

Namun, perubahan akan berlaku selepas melahirkan anak kerana otot dan ligamen sekitar vagina atau faraj akan mengendur.

Situasi ini yang menghantui segelintir wanita kerana takut tidak mendapatkan kepuasan seks terutamanya ketika usia semakin meningkat dan bakal menempuh alam menopaus.

Mungkin disebabkan itu, ramai wanita yang ingin berusaha mengembalikan ' dara ' dengan pelbagai kaedah rawatan tradisional atau moden.

Rawatan Vulvo & Vafinal Laser Reshaping (V2LR) misalnya dikatakan mampu memulih keadaan otot serta kekuatan faraj wanita.

Pakar Sakit Puan dan Kecantikan Klini Dr. Alice, Dr. Alice Prethima berkata, teknologi V2LR boleh membantu wanita yang mengalami masalah kekenduran otot vagina terutama selepas bersalin atau akibat peningkatan usia.

“Rawatan ini boleh meningkatkan tahap kesihatan seksual di kalangan wanita. Ia dapat mengatasi dilema wanita dalam mendapatkan kepuasan seks,” katanya.

Dr. Alice memberitahu, pembedahan ini menggunakan laser dan tidak mengakibatkan pendarahan. Ia mengambil masa satu hingga dua jam.

Katanya, umumnya, pesakit yang bekerja boleh kembali ke pejabat pada hari sama melakukan rawatan bergantung kepada keadaan pesakit.

Secara tidak langsung ia mampu mengurangkan diameter luar dalam vagina, sekali gus meningkatkan rangsangan vagina.

Bagi mereka yang ingin mengetahui tentang rawatan V2LR boleh melayari www.aliceantiaging.com atau menghubungi 1 300 88 3234.

Gigi kembali putih

Skala warna gigi. Rawatan pemutihan gigi biasanya mampu mencapai sehingga lima atau enam bayangan kecerahan.

EEE, gigi kuning.” Pasti ayat itu pernah terlintas di fikiran kita tatkala melihat individu dengan sebaris gigi berwarna kekuningan. Atau mungkin kita sendiri mengalaminya dan merasa sangat tidak selesa.

Mempunyai sebaris gigi yang putih memang menjadi idaman sesiapa saja, namun bagaimana untuk mendapatkannya?

Pakar Pergigian dari Pusat Perubatan iHeal Kuala Lumpur, Dr. Nazli Haffiz berkata, rata-rata masyarakat negara ini terutama yang berbangsa Melayu dan Cina mempunyai gigi yang sedikit kekuningan.

Namun seandainya warnanya terlalu ketara kuning dan ditambah dengan sedikit warna seakan lebam, ia pasti membuatkan pemiliknya berasa tidak selesa serta kurang berkeyakinan.

Menurut beliau, masalah gigi kuning berpunca daripada beberapa sebab.

“Punca utama adalah faktor usia dan pengambilan makanan yang menyebabkan terhasil kekotoran pada gigi seperti kopi, teh dan minuman kola. Selain itu, tabiat merokok juga menyebabkan gigi mengumpul kekotoran dan berubah warna,” kata beliau.

Jelas beliau, ketika proses pembentukan gigi kekal, pengambilan sesetengah antibiotik atau florida yang berlebihan juga menyebabkan gigi berubah warna.

Rawatan pemutihan gigi

Dr. Nazli berkata, rawatan pemutihan gigi adalah satu prosedur kosmetik pergigian bagi mengembalikan warna asal gigi secara selamat.

Sesiapa saja boleh melakukan rawatan pemutihan gigi, namun begitu, mereka perlu melalui satu ujian terlebih dahulu.

Mereka yang mengalami sensitiviti, gigi berlubang dan sebagainya perlu melakukan rawatan bagi menangani masalah tersebut terlebih dahulu sebelum memulakan program pemutihan gigi.

Menurutnya, prosedur tersebut menggunakan asid cair dengan kepekatan sekitar 22 hingga 27 peratus bagi menghilangkan kesan kotoran pada gigi.

“Pengguna boleh memilih dua cara iaitu membeli kit rawatan dan melakukan sendiri di rumah atau menggunakan khidmat pakar bagi sepanjang rawatan di klinik gigi,” katanya.

Menurutnya, rawatan yang dijalankan oleh pakar lebih terbukti keberkesanannya kerana ia dilakukan dengan betul mengikut prosedur khusus.

Jelasnya, keputusan yang akan dicapai tidaklah terlalu menakjubkan dan biasanya gigi akan menjadi lebih cerah sehingga lima atau enam bayangan pada skala warna gigi.

Menurutnya, warna putih yang biasa kita lihat pada gigi selebriti bukan disebabkan rawatan pemutihan tetapi veneers iaitu menggunakan satu lapisan seperti topeng yang membalut dan memperbaiki struktur luar gigi.

Berbeza dengan rawatan pemutihan gigi biasa, proses ini hanya mengembalikan warna asal gigi. Mungkin ada yang beranggapan prosedur ini berbahaya dan boleh menyebabkan lapisan luar gigi menipis.

Bagaimanapun kata Dr. Nazli, perkara itu tidak benar kerana ia hanya menghakis kekotoran yang melekap pada permukaan gigi kerana asid yang digunakan cair.

Risiko

Ditanya mengenai risiko ketika rawatan dijalankan kata beliau ia sangat rendah seperti rasa pedih dan tidak selesa pada bahagian gusi jika seseorang itu mengalami masalah gigi sensitif.

“Ini disebabkan cecair pemutih terkena pada bahagian yang sensitif. Namun rasa itu biasanya tidak lama. Bahagian gusi juga ditutup sepanjang rawatan dijalankan,” kata beliau.

Menurutnya, keputusan prosedur adalah berbeza bagi setiap individu bergantung kepada warna asal gigi mereka.

Rawatan pemutihan gigi juga katanya, tidak sesuai untuk mereka yang berusia 16 tahun ke bawah serta wanita yang mengandung atau menyusukan bayi mereka.

Prosedur hanya mengambil masa sekitar 45 minit dan ia

sesuai buat mereka yang ingin mengubah penampilan untuk sesuatu acara.

Dr. Nazli berkata, disebabkan pemutihan gigi menggunakan asid maka ia hanya dicadangkan dilakukan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh setahun.

No comments: