Golongan muda yang tidak mengambil berat penjagaan kesihatan badan berisiko tinggi menghidap penyakit berbahaya seperti jantung koronari, iaitu antara penyakit pembunuh utama di seluruh dunia.
Di Malaysia, penyakit berkaitan peredaran darah seperti serangan jantung adalah antara punca utama kematian di hospital kerajaan dan swasta ini sejak puluhan tahun lalu.
Berdasarkan statistik di laman web rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia, penyakit berkaitan peredaran darah merekodkan 24.71 peratus kematian di hospital kerajaan dan swasta di negara ini diikuti penyakit berkaitan sistem pernafasan, 21.70 peratus.
Penyakit berkaitan jangkitan kuman pula berada di tempat ketiga punca utama kematian di negara ini dengan 13.66 peratus manakala di kedudukan keempat adalah kanser, 13.62 peratus.
Katanya, penyakit paling utama adalah penyakit serangan jantung yang disebabkan oleh saluran darah ke jantung tersumbat. Ini adalah satu penyebab berlakunya kes kematian mengejut.
“Masalah ini boleh berlaku kepada sesiapa saja terutama individu yang berusia 50 tahun ke atas, namun sejak akhir-akhir ini golongan muda berusia 40 tahun ke bawah turut berisiko tinggi mengalaminya.
“Malah, berdasarkan rekod IJN, pesakit serangan jantung paling muda dirujuk ke institut perubatan ini adalah berusia 21 tahun,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan data daripada National Cardiovascular Disease Database (NCVD) 2011-2013 yang membabitkan 18 hospital di seluruh negara, mendapati sebanyak 4,047 kes serangan jantung dilaporkan berlaku pada 2011, manakala pada 2012, jumlahnya meningkat kepada 4,589 kes dan pada 2013 pula keseluruhan kes serangan jantung yang direkodkan adalah sebanyak 6,127 kes. Daripada keseluruhan pesakit ini, 20 peratus adalah berusia bawah 40 tahun.
“Di IJN pula, pada 2014 sahaja sebanyak 562 kes berkaitan serangan jantung dirujuk kepada kami dan jumlah itu meningkat kepada 711 kes tahun lalu. Bagi 2016, sehingga Ogos lalu sebanyak 681 kes dirujuk kepada IJN,” katanya.
Menurut Dr Beni lagi, ada dua kategori utama penyakit arteri koronari iaitu penyebab tidak boleh ubah seperti umur, jantina (lelaki lebih berisiko berbanding wanita) dan genetik membabitkan sejarah keluarga.
Katanya, penyebab boleh ubah pula banyak berpunca daripada amalan merokok, menghidap penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi, mempunyai tahap kolesterol tinggi serta obesiti.
Katanya, banyak kes yang dirujuk kepada IJN berpunca daripada individu itu sendiri yang bukan saja tidak mengamalkan gaya hidup sihat malah tidak mengambil pemakanan yang betul.
“Pengambilan makanan yang tidak dikawal boleh menyebabkan obesiti dan ia turut menyumbang risiko tinggi kepada CAD. Jadi, untuk mengurangkan risiko mendapat serangan jantung, kita perlu menjalani gaya hidup aktif dan mengambil makanan yang sihat,” katanya.
Jelas Dr Beni lagi, golongan muda juga perlu menyedari bahaya kolesterol kepada kesihatan jantung mereka. Ini kerana, masalah tahap kolesterol yang tinggi boleh berlaku pada sesiapa saja tanpa mengira tua atau muda, kurus mahu pun mempunyai masalah berat badan.
“Kolesterol inilah yang menyebabkan saluran darah (menuju ke jantung) tersumbat dan jika ia tidak dirawat, boleh membawa maut kerana bekalan oksigen dan darah tidak dapat sampai ke jantung.
“Jadi, untuk memastikan tahap kolesterol di dalam badan tidak berlebihan, amalkan pemakanan sihat dengan mengurangkan pengambilan makanan berlemak atau bergoreng, lebihkan sayur-sayuran dan bersenamlah secara konsisten,” katanya.
Katanya, kes kematian mengejut juga banyak berlaku kepada ahli sukan atau individu yang bersukan secara aktif dan ia sebenarnya bukan serangan jantung tetapi lebih kepada masalah genetik terutama berkaitan gangguan denyutan jantung secara tiba-tiba menjadi tidak stabil.
“Dalam istilah perubatan ia adalah ventricular fibrillation, namun 90 peratus kes kematian serangan jantung adalah diakibatkan oleh saluran darah tersumbat,” katanya.
Sementara itu, seorang pegawai perubatan di sebuah hospital di Perak yang mahu dikenali sebagai Ravi, 35, berkata beliau mendapat serangan jantung secara tiba-tiba pada awal Ogos lalu dan ketika kejadian sedang bekerja serta dibantu rakan setugas yang segera membawanya ke bahagian kecemasan hospital.
Menurut Ravi, dia tidak menyangka akan mendapat serangan jantung kerana memikirkan usianya yang masih muda serta tiada sejarah keluarga mempunyai penyakit berkaitan jantung. Malah, kerjayanya sebagai pegawai perubatan turut menjadikan dia mengambil mudah aspek kesihatan kerana beranggapan ‘doktor mestilah sihat’.
Bagaimanapun, Ravi terlupa bahawa amalan pemakanan dan gaya hidup tidak sihat yang diamalkan selama ini adalah faktor utama mengapa dia boleh terkena serangan jantung pada usia semuda itu.
“Memang jadual makan tidak menentu dan saya tidak teragak-agak untuk menikmati apa saja makanan apabila lapar termasuk ketika lewat malam. Selain itu, saya juga gemarkan makanan bergoreng serta berlemak dan semua faktor itu menyebabkan saluran darah saya tersumbat tanpa disedari.
“Bayangkan jika serangan itu berlaku ketika saya tidur atau berada jauh dari hospital dan lambat bertindak, kemungkinan besar tidak dapat diselamatkan lagi,” katanya ketika ditemui.
Ravi berkata, kesibukan kerja juga menyebabkan dia tidak dapat melakukan riadah secara tetap setiap minggu dan senamannya hanya sekadar berjalan ke sana-sini melawat pesakit di wad hospital.
“Saya menjalani rawatan Elektro Cardiogram (ECG) dan mendapati kadar denyutan jantung tidak normal seperti biasa. Ketika itu, denyutan jantung saya adalah 130 dan ia jauh lebih tinggi berbanding kadar denyutan biasa iaitu sekitar 90 hingga 100.
“Saya segera diberikan ubat untuk mencairkan darah dan kemudian dirujuk ke IJN untuk rawatan lanjut,” katanya yang diberikan cuti sakit selama dua minggu dan segera menjalani angiogram serta perlu memasangkan satu stent.
Kata Ravi, dia bersyukur kerana dapat mengesan penyakit ini lebih awal berikutan ia adalah penyakit pembunuh utama di seluruh dunia dan kelihatan seperti Tuhan memberinya peluang kedua untuk hidup.
Ini membuatkan beliau lebih menghargai kehidupan kerana ia boleh berlaku pada sesiapa saja termasuk golongan muda dan berharap ia dapat membuka mata masyarakat supaya tidak mengambil mudah aspek kesihatan masing-masing.
No comments:
Post a Comment