LAGI 22 tahun, Malaysia dijangka
mencapai Status Negara Penduduk Tua dengan sebanyak 15 peratus atau lebih
penduduk akan berusia 60 tahun dan ke atas. Kajian terkini menunjukkan purata
jangka hayat lelaki Malaysia mencecah sehingga 75 tahun manakala perempuan 77
tahun.
Berbanding beberapa tahun dahulu,
jangka hayat penduduk negara ini sekitar 60 tahun. Oleh itu, 50 tahun sudah
dianggap tua dan tergolong dalam kelompok warga emas.
Tetapi sekarang tidak lagi. Usia 50
tahun tidak lagi dianggap tua. Bahkan kerajaan Malaysia baru-baru ini menaikkan
had umur persaraan wajib daripada 55 kepada 60 tahun. Semuanya dipercayai ada
kaitannya dengan peningkatan jangka hayat rakyat, kecergasan dan keupayaan
mereka untuk terus bekerja.
Perkembangan ini secara tidak
langsung menunjukkan kualiti kesihatan rakyat kini jauh lebih baik berbanding
dahulu. Ini berikutan komitmen yang ditunjukkan kerajaan menerusi dasar
kesihatan dan pembangunan prasarana berkaitan termasuk hospital.
Cuma agak membimbangkan kerana kesedaran
terhadap penjagaan kesihatan masih belum cukup tinggi di kalangan rakyat
sehingga dibimbangi akan membentuk populasi warga emas yang tidak sihat.
Seramai dua daripada lima orang
dewasa mempunyai berat badan berlebihan atau obes dan Malaysia berada di tangga
keenam negara yang paling tertekan.
Gaya hidup yang dipilih oleh
majoriti rakyat Malaysia menyebabkan peningkatan penyakit tidak berjangkit
seperti diabetes, hipertensi dan kanser.
Pilihan untuk menghadapi masa tua
sebenarnya terpulang kepada kita.
Mungkin ada yang memilih untuk
berbelanja besar mendapatkan produk-produk antipenuaan. Namun, pilihan terbaik
sebenarnya adalah dengan mengawal mental dan fizikal sejak dari awal bagi
berdepan dengan episod yang tidak dapat dielakkan dalam hidup itu - iaitu
penuaan.
Pakar runding kesihatan dan
kecergasan serta Duta Friends to Mankind Kanada, Dr. Rico Ricketts
berkata, proses penuaan sememangnya tidak dapat dielak, tetapi tua dalam
keadaan gembira dan sihat adalah satu pilihan.
"Malaysia mempunyai segmen
penduduk muda yang besar dan ramai akan berusia 60 tahun ke atas. Mereka
mempunyai pilihan mengubah gaya hidup dari awal bagi menghadapi masa tua dengan
lebih mudah dan berdikari.
"Masalah yang saya lihat
kebanyakan rakyat Malaysia suka mengamalkan sikap berlengah, lebih gemar
mengubati daripada mencegah. Gaya hidup mereka bakal memberikan kesan negatif,
tidak sekarang, mungkin masa tua.
"Lihat saja cara pemakanan
rakyat Malaysia. Tidak dinafikan Malaysia antara negara mempunyai hidangan
terlazat tetapi kita perlu tahu cara untuk mengawal pengambilan makanan demi
masa depan.
"Ramai yang beranggapan mereka
akan mewarisi proses penuaan dan masalah sama seperti orang tua mereka dan
kepercayaan itu perlu diubah segera.
"Kenapa memilih untuk merana di
hari tua dan menjadi beban kepada orang tersayang kalau kita boleh mengubahnya
dari awal," ujar Dr. Ricketts yang akan memberi ceramah percuma tentang
mitos penuaan di Pusat Perubatan Tropicana, Kota Damansara, Petaling Jaya pada
19 Januari ini.
No comments:
Post a Comment