ASSALAMUALAIKUM doktor, saya berumur 37 tahun dan
awal tahun ini melahirkan bayi down sindrom Trisomy 21. Ini anak
ketiga, anak-anak sebelumnya normal. Saya teringin mempunyai anak lagi
sebelum mencapai usia 40 tahun dan tidak mengalami sebarang masalah
semasa mengandung dan melahirkan.
Adakah saya masih berpeluang mendapat anak normal dan apakah
risiko-risiko yang bakal dihadapi? Saya amat berharap agar doktor dapat
memberikan jawapan. Terima kasih.
Sindrom Down adalah penyakit
keturunan akibat kecacatan kromosom bercirikan kehadiran bahan genetik
salinan tambahan pada kromosom 21 manusia sama ada keseluruhan atau
sebahagiannya.
Riana, Ampang Selangor.
JAWAPAN:
Saya dapat memahami akan impian puan untuk mengandung lagi. Saya juga
faham yang puan reda dengan kehadiran anak ketiga yang istimewa ini.
Harap puan dapat menjaganya dengan penuh kasih sayang. Anak istimewa ini
jika diberikan rangsangan dan bimbingan yang sempurna, insya-Allah
mereka dapat membesar dan hidup berdikari. Saya juga dapat bayangkan,
bukan senang tanggungjawab yang puan sekeluarga pikul, bak kata pepatah
'berat mata memandang apatah lagi bahu yang memikulnya'. Saya amat
mengagumi ibu bapa yang dapat membesarkan anak istimewa dengan penuh
tanggungjawab. Ingat! Akan ada hikmah di sebalik takdir ini.
Makna Sindrom DownSebelum saya menjawab soalan puan,
eloklah saya berikan penjelasan berkenaan sindrom ini terlebih dahulu.
Sindrom Down adalah penyakit keturunan disebabkan oleh kromosom tambahan
pada kromosom nombor 21 yang terdapat pada seseorang kanak-kanak. Itu
antara ciri penyakit Sindrom Down iaitu kecacatan kromosom bercirikan
kehadiran bahan genetik salinan tambahan pada kromosom 21 manusia, sama
ada keseluruhan (trisomi 21) atau sebahagian (disebabkan translokasi
kromosom).
Sebenarnya, perkara tidak normal yang berlaku pada kromosom 21
berasal daripada telur ibu. Disebabkan itu, wanita tidak digalakkan
mengandung selepas berumur 40 tahun kerana risiko meningkat seandainya
ibu berusia lebih 40 tahun berbanding yang lebih muda.
RisikoSecara amnya, wanita berusia 20 hingga 24 tahun mempunyai risiko 1:1500 untuk mendapat anak Sindrom Down.
Bakal ibu berusia 40 tahun pula mempunyai risiko 1:60 dan akan terus
meningkat kepada 1:11 bagi yang berusia 49 tahun. Sungguhpun risiko
meningkat dengan usia ibu, 80 peratus kanak-kanak dengan Sindrom Down
dilahirkan wanita bawah usia 35 tahun. Risiko mendapat anak berikutnya
yang juga penghidap Sindrom Down bergantung kepada jenis kecacatan
kromosom anak dan umur ibunya. Selain usia ibu, tiada faktor risiko lain
diketahui. Tidak terdapat bukti kesan usia pada bapa.
SimptomSindrom ini dinamakan sempena nama Dr. John
Langdown Down, orang yang pertama menggambarkan keadaan sindrom ini pada
tahun 1866. Sering kali Sindrom Down dikaitkan dengan kelemahan
keupayaan berfikir atau kognitif dan tumbesaran kanak-kanak dan juga
perwatakan muka, iaitu muka yang mempunyai mirip wajah Mongoloid.
Sindrom Down biasanya dapat dikenal pasti semasa kelahiran. Mereka yang
mempunyai Sindrom Down berkemungkinan mempunyai keupayaan kognitif lebih
rendah berbanding purata, sering kali antara sedikit kepada sederhana
terencat akal. Kelemahan perkembangan sering kali ditonjolkan sebagai
kecenderungan terhadap pemikiran konkrit. Sejumlah kecil berhadapan
dengan kecacatan akal yang jelas atau teruk. Mereka juga mengalami
pertumbuhan lambat, kesukaran belajar dan bertutur, berkeadaan lembik
ketika lahir serta tumbesaran terbantut pada peringkat bayi dan
kanak-kanak.
No comments:
Post a Comment