Sunday, January 13, 2013

DASS BERJAYA MELAWAN KANSER

SEMUANYA bermula kira-kira 12 tahun lalu apabila salah seorang rakannya membawa kupon pemeriksaan ujian darah daripada sebuah akhbar.

Dua minggu selepas itu, Dass Santhanam mengambil keputusan mengambil ujian darah di pusat kesihatan. Kakitangan pusat berkenaan menyarankan Dass menjalani ujian tambahan iaitu Prostate Spesific Antigen (PSA). 

Beliau dikesan menghidap kanser prostat.

Itu kisah Dass ketika menghidap kanser yang paling digeruni lelaki.

Kini dia bersyukur kerana pada usia 73 tahun, Dass masih kelihatan sihat dan bergaya.

Rakan-rakan dan keluarganya tidak menyangka Dass masih mampu hidup normal. Dass sendiri bersyukur kerana masih diberi peluang hidup bersama keluarga tersayang.

"Saya dikesan menghidap kanser prostat secara kebetulan ketika menjalani pemeriksaan kesihatan menerusi kupon diskaun. Pada awalnya saya enggan membuat pemeriksaan kesihatan tetapi rakan saya itu berjaya memujuk saya. 

Saya juga berterima kasih kepada seorang kakitangan makmal di situ yang menyarankan menjalani ujian PSA," katanya pada majlis pelancaran ubat oral kanser prostat yang dikenali sebagai ZYTIGA (abiraterone acetate).

Ujian PSA yang dilakukan Dass menunjukkan ada tanda menghidap kanser prostat. Ketika itu, dia berusia 63 tahun dan merasakan perjalanan hidupnya masih jauh. 

Dass mahu menghabiskan usia emasnya bermain dengan cucu dan melancong. Malangnya, beliau perlu melawan kanser prostat kerana penyakit ini menjadi cabaran baru dalam hidupnya.

Pada peringkat awal rawatan, Dass perlu menjalani ujian rektum secara digital, selain biopsi dan pelbagai rawatan lain. 

RawatanSetelah menjalani peringkat ujian kanser, Dass diberi tiga pilihan rawatan dan beliau memilih rawatan radiasi dan hormon.

Dass menjalani rawatan di pusat perubatan swasta dengan mengambil sejenis ubat dan suntikan hormon sekali setiap tiga bulan.

Seperti mendapat kehidupan baru, Dass mendapati kesihatannya beransur pulih selepas tiga tahun menjalani rawatan.

"Saya menasihati orang ramai lakukan pemeriksaan kesihatan untuk mengetahui tahap kesihatan. Jika anda berumur 45 tahun ke atas, lakukanlah ujian PSA.

Orang selalu cakap, biasalah sakit sana-sini, sebab usia semakin meningkat, tetapi itu bukan alasan membiarkan penyakit 'membunuh' kita lebih awal, dengan tidak mengendahkan kesihatan diri. Hakikatnya, pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa anda. Anda juga tidak boleh mengabaikan simptom awal seperti kesukaran membuang air kencing atau sukar mengawal pembuangan air kencing ," katanya yang aktif sebagai ahli Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia ( NCSM ).

Lebih membanggakan, Dass ahli pertama Kumpulan Sokongan Kanser Prostat untuk lelaki. Di sebalik ketabahan Dass melawan kanser prostat, beliau disahkan menghidap sakit jantung pada 2005 dan perlu menjalani pembedahan pintasan jantung. 

Dalam masa yang sama, Dass masih menjalani rawatan kanser. Beliau berjaya melawan kedua-dua penyakit ini dengan satu prinsip, 'lalui segala cabaran dengan sikap positif'.

Sementara itu, Perunding Onkologi dan ahli majlis Persatuan Onkologi Malaysia, Dr. Albert Lim KokHooi berkata, rawatan semasa yang ada untuk kanser prostat adalah kemoterapi dengan menggunakan kaedah standard berasaskan docetaxel. Namun pesakit yang gagal pulih daripada rawatan standard ini akan mengalami kekecewaan dan putus harapan.

Jadi kehadiran ubat oral, ZYTIGA mengubah keadaan ini. ZYTIGA adalah ubat oral sekali sehari yang pertama untuk merawat lelaki yang menghidap kanser prostat tahan pengasian metastatik yang penyakit ini telah merebak selepas rawatan kemoterapi berasaskan docetaxel.

No comments: