"APABILA melakukan sesuatu, jangan sesekali mengharapkan balasan.
Selain itu, setiap apa yang kita lakukan perlu ikhlas dari hati.
Percayalah, ia antara faktor kita mampu menjalani hidup dengan penuh
kebahagiaan."
Demikian pesanan yang terucap dari bibir seniwati Datuk Sarimah Ahmad
ketika ditemui selepas pelancaran produk kesihatannya yang diberi nama
Primadona.
Menurut Sarimah yang kini mencecah usia 70 tahun, jika dua perkara
itu dapat dilakukan dengan penuh istiqamah, hidup akan menjadi lebih
tenang walaupun ada orang yang berniat jahat terhadap kita.
Mengakui pernah ditipu dalam hidupnya oleh orang yang cuba mengambil
kesempatan terhadap kelemahan diri, Sarimah bagaimanapun akur semua itu
merupakan ketentuan Ilahi untuk menguji keimanan setiap hamba-Nya.
Apa yang penting katanya, hidup mesti diteruskan terutamanya dalam
mencari bekalan untuk dibawa ke alam akhirat yang kekal abadi.
Justeru, bagi berkongsi rahsia kecantikan dan kesihatan dalam hidup,
Sarimah tampil dengan produk kesihatan Primadona yang dikeluarkan oleh
syarikatnya, Primadona Worldwide Sdn. Bhd.
"Sebenarnya sudah lama saya mengimpikan untuk buat sesuatu yang boleh
memberi manfaat kepada diri sendiri dan masyarakat. Alhamdulillah, ia
menjadi kenyataan dengan penghasilan produk ini yang saya anggap sebagai
hadiah buat mereka yang sentiasa mengutamakan kesihatan dalam
kehidupan.
"Secara tidak langsung, ia juga sebagai bekal buat diri apabila sudah
tiada lagi di dunia ini," ungkap Sarimah yang masih lagi sihat dan
anggun.
Sarimah (tengah) diapit oleh Mohd Nizar (kiri) dan President Primadona Worldwide Sdn Bhd, Musharuddin Mohd ketika melancarkan produk terbaru Primadona di Petaling Jaya baru-baru ini.
Tampil dengan persalinan blouse hitam paras lutut yang dipadankan bersama skirt merah serta tudung rona serupa, Sarimah memberitahu, produk yang dinamakan Sari AgeGard dan Sari StemShape itu dihasilkan dengan kerjasama pakar perubatan profesional.
Pengarah Perubatan Primadona Worldwide Sdn. Bhd., Dr. Mohd. Nizar
Zakaria berkata, rangkaian produk kesihatan tersebut dicipta melalui
teknologi dwisel induk yang diperkuat dengan terapi ozon.
"Sari AgeGard menjurus kepada kecergasan dan kesihatan diri, manakala
Sari StemShape pula dikhususkan bagi individu yang mahu tampil langsing
secara semula jadi.
"Adunan ekstrak bahan-bahan semula jadi terbaik yang kemudian
disempurnakan dengan terapi ozon mampu memberi kesan yang pantas kepada
pengguna," ujar Mohd. Nizar yang berpengalaman sebagai pakar ortopedik
atau pakar tulang hampir dua dekad.
Tambah Sarimah pula, pengambilan kedua-dua produk itu telah menjadi
kelaziman diri pada setiap hari iaitu Sari AgeGard dimakan sebelum
sarapan manakala Sari StemShape pada sebelah malam.
"Melalui pengambilan Sari StemShape, anda bukan sahaja mampu
kelihatan langsing, tetapi tidak perlu bersusah payah untuk kerap ke
tandas seperti mana produk langsing yang lain.
"Bagi amalan mengambil Sari AgeGard, ia menjadikan tubuh lebih cergas
di samping memperoleh waktu tidur berkualiti yang diperlukan oleh
manusia," kata ibu, nenek dan moyang kepada enam anak, 32 cucu dan empat
cicit itu.
No comments:
Post a Comment