SAYA pernah terdengar, ada pihak menyatakan jika kita menunaikan
zakat bermakna kita membersihkan harta daripada perkara yang haram.
Misalnya, jika kita seorang pekerja dan ada kalanya kita mengambil harta
pejabat, membuat tuntutan yang palsu atau melebihkan daripada yang
sepatutnya dan termasuklah mencuri masa dengan melakukan pekerjaan
peribadi, maka dengan zakat itulah ia membersihkan harta atau pendapatan
kita daripada yang haram. Adakah benar pandangan ini?
Jawapan
Alhamdulillah, mudah-mudahan pertanyaan dan jawapan ini mampu
mencerahkan ramai pihak mengenai konsep dan maksud ibadah zakat yang
sebenar. Secara umumnya, zakat memang difardukan oleh Allah SWT sebagai
jalan untuk membersihkan harta daripada percampuran yang haram dan juga
menyucikan jiwa daripada sifat-sifat kotor. (rujuk at-Taubah: 102-103)
Daripada ayat di atas, jelas bahawa pensyariatan zakat mempunyai
konotasi yang berkait rapat dengan elemen pembersihan dan penyucian.
Jika kita merujuk kepada asbabun nuzul (sebab-sebab turunnya sesuatu ayat al-Quran), maka disebutkan oleh mufassirin
(ulama tafsir) misalnya Imam Ibnu Katsir bahawa, sebelum ayat tersebut
diturunkan telah berlakunya kes beberapa orang sahabat nabi di Madinah
yang dengan sengaja (tanpa uzur syarie) tidak turut sama pergi berperang
dalam Peperangan Tabuk.
Mereka ini telah mengikat diri di salah satu tiang di masjid nabi dan
berikrar tidak akan melepaskan diri mereka sehinggalah nabi sendiri
yang membebaskan. Nabi Muhammad SAW pula tidak akan membebaskan mereka
sehinggalah turunnya izin atau perintah daripada Allah SWT.
Akhirnya turunlah ayat di atas, yang mengizinkan pembebasan mereka
dan seiring itu, Allah SWT memerintahkan agar Nabi Muhammad SAW
mengambil sebahagian harta mereka sebagai sedekah, yang bertujuan
menyucikan diri mereka daripada dosa. (rujuk Terjemah Singkat Tafsir Ibnu Katsir, Jilid IV, hal. 130)
Merujuk kepada persoalan di atas, adakah seseorang yang telah jelas
melakukan pelbagai kesalahan yang bersifat sengaja, kemudian mereka
memberikan zakat dan ia dapat membersihkan hartanya daripada anasir yang
haram?
Suka dinyatakan, apa yang dimaksudkan zakat atau sedekah itu mampu
membersihkan harta daripada percampuran yang haram, adalah dengan
mengeluarkan sebahagian kecil harta yang hakikatnya sudah menjadi hak
milik lapan asnaf zakat. Jumlahnya tidaklah sebesar mana, hanya 2.5
peratus atau lima peratus bagi zakat pertanian dan 20 peratus bagi zakat
galian.
Ini kerana, apabila sesuatu harta yang sudah wajib dizakat tetapi
enggan dikeluarkan zakatnya, maka bercampurlah di dalam harta itu
milikan orang lain. Maka, menjadilah harta itu harta yang tidak bersih
atau kotor. Apabila harta yang bercampur-campur di antara yang haram dan
halal, maka pastilah ia akan menjadi haram.
Kaedah fiqh menyatakan: "Apabila bercampur di antara yang halal dan haram, maka menanglah yang haram."
Apabila dibawa pulang, dibelikan makanan, maka makanan itu berstatus
haram atau halal? Jika sudah bercampur hak orang lain, maka pastilah
tidak halal. Maka, apabila makanan itu masuk ke dalam tubuh badan,
menjadilah ia darah daging yang tumbuh daripada elemen yang haram.
(rujuk an-Nisa': 29)
Nabi Muhammad SAW pula menegaskan: "Setiap daging yang tumbuh
daripada sesuatu haram, maka api neraka baginya adalah lebih utama."
(riwayat Tirmizi).
No comments:
Post a Comment