Sunday, January 27, 2013

IBU....JANGAN TINGGALKAN ADIK!!!!


SETIAP kanak-kanak menunjukkan tindak balas berbeza pada hari pertama persekolahan. Inilah masanya kanak-kanak mula melangkah keluar dari rumah dan masuk ke persekitaran baru persekolahan.

Ibu bapa melambai tangan meninggalkan anak-anak mereka di dalam kelas. Ada ibu bapa yang kelihatan cemas, apatah lagi anak-anak mereka. Ada yang menangis dan ada juga yang memberontak.

Bagi ibu bapa berpengalaman, mereka biasanya kelihatan tenang. Mereka tahu anak mereka mengalami keadaan yang dipanggil separation anxiety. Ia adalah sebahagian daripada perkembangan normal psikologi kanak-kanak.

Agak menarik untuk dikaji mengapa separation anxiety berlaku. Ia proses pembelajaran semulajadi manusia. Bermula daripada bayi yang sentiasa bergantung erat dengan ibunya kepada seorang kanak-kanak dan orang dewasa yang mampu berdikari meneroka kehidupan di dunia.

Separation anxiety muncul seawal usia bayi 10 bulan. Pada peringkat ini, otak bayi belum mampu memahami konsep pemikiran abstrak. Mereka belum dapat memahami wujudnya bola yang disorok di sebalik pintu.

Ini bermakna, jika seseorang bayi tidak dapat melihat ibunya secara “live" di depan mata, mereka beranggapan yang ibu mereka seolah-olah telah tiada atau mati. Ini menyebabkan perasaan cemas dan bayi ini kemudiannya akan menangis.

Secara praktikalnya, jika anda berhasrat mengambil anak angkat disarankan hendaklah sebelum bayi tersebut mencapai usia 10 bulan.

Separation anxiety akan hilang secara beransur-ansur selepas kanak-kanak berumur tiga tahun. Apabila mereka meningkat dewasa, separation anxiety akan berlaku lagi tetapi hanya dalam situasi tertentu sahaja seperti pada hari pertama persekolahan atau jika berlaku perubahan ibu bapa penjaga.

Bagaimanapun, ia sepatutnya berlaku untuk sementara waktu sahaja bergantung kepada persediaan ibu bapa dan daya penyesuaian diri kanak-kanak.

Ibu bapa perlu bersedia menghadapi situasi ini. Berikut adalah beberapa panduan menghadapi hari pertama persekolahan:
Seorang ibu memujuk anak-anaknya semasa hari pertama sesi persekolahan. - Gambar hiasan

 

Menghadapi hari pertama persekolahan

BERBICARA dengan anak tentang apa yang akan mereka temui nanti di sekolah. Ini untuk merangsang mereka bertanya dan anda pula akan berpeluang mengetahui sebarang perkara yang mereka takutkan.

BERI perhatian tentang sebarang perkara yang diutarakan. Ia mungkin berkaitan sesuatu seperti guru yang garang, ketiadaan kawan atau tidak tahu berbahasa inggeris. Berikanlah keyakinan perkara tersebut tidak seburuk yang disangka.

BIASAKAN anak anda tentang rupa bentuk sekolah dan perkara-perkara berkaitan dengannya. 

Bawa mereka menghadiri hari orientasi. Selalu bawa anak melawat sekolah atau sekurang-kurangnya lalu di hadapan sekolah. 

Bagi yang menaiki bas sekolah, berjalan bersama mereka ke tempat menunggu bas beberapa kali sebelum hari pertama persekolahan. 

Jika berjalan kaki, berjalan bersama mereka mengikut laluan yang sama. Jika perlu, kenalkan mereka dengan rakan sebaya yang akan berjalan kaki bersama-sama nanti.

BAWA anak anda membeli-belah pakaian dan barang keperluan sekolah. Galakkan mereka membuat pilihan sendiri contohnya seperti warna beg dan jenis kasut sekolah.

BETULKAN jadual tidur anak anda. Mulakan dengan menyuruh mereka masuk tidur seawalnya dan kemudian bangunkan lebih awal di waktu pagi. Cuba aturkan waktu tidur yang bersesuaian dengan waktu minggu persekolahan. Jadikan sebagai rutin harian di rumah.

HANTAR anak anda ke prasekolah atau tadika sebelum memasuki pendidikan formal darjah satu. Di sini mereka boleh belajar mengalih pemikiran terhadap rumah atau ibu bapa kepada kawan atau permainan baru. Apabila mereka kelihatan sudah pun leka eloklah anda pula yang beransur.

Cut off point

Tidak semua kanak-kanak berupaya melalui keadaan ini dengan baik. Separation anxiety menjadi tidak lagi normal jika ibu bapa masih perlu menemani anak mereka di sekolah selepas tempoh empat minggu.

Ini adalah cut off point kerana sekiranya dibiarkan ia boleh mengganggu proses pembelajaran anak anda. Tanda-tanda lain adalah keengganan ke sekolah, sakit perut atau kencing malam sewaktu tidur.
Dapatkan rawatan kerana kanak-kanak ini boleh dibantu untuk dibawa semula ke sekolah.

No comments: