SEMAKIN ramai ibu bapa di Malaysia mempunyai anak yang disahkan mempunyai masalah autisme.
Hampir setiap hari pasti ada yang membawa anak bermasalah autisme ke Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah bagi mendapatkan rawatan.
Menurut Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM), setiap seorang
daripada 150 kanak-kanak yang dilahirkan di seluruh dunia memiliki
autisme dan dianggarkan 47,000 orang kanak-kanak di Malaysia
menghidapnya.
Ada antara mereka memiliki tanda-tanda masalah autisme kronik dan ada yang baru sahaja di peringkat awal.
Umur anak-anak tersebut turut berbeza; dari berumur 6 bulan hingga lewat 20-an.
Kadangkala, bukan sahaja pesakit autisme mendapatkan rawatan bahkan
ibu bapa dan ahli keluarga mereka juga ekoran tekanan yang kuat
gara-gara menjaga pesakit tersebut.
Sifat sabar ibu bapa dan ahli keluarga amat dituntut dalam memberi penjagaan terbaik buat pesakit autisme.
Ingatlah bahawasanya Allah SWT sentiasa bersama mereka yang sabar. Firman Allah dalam surah
Al-Baqarah ayat 153:
"Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang sabar."
Pengenalan & ciri-ciri umumAutisme adalah satu
bentuk kecacatan atau masalah kurang upaya sistem perkembangan saraf
otak dan minda yang boleh berlaku seawal usia 6 bulan dan satu sindrom
ketidakupayaan yang boleh kekal sepanjang hayat jika tidak dirawat.
Penyakit autisme mengakibatkan fungsi memproses maklumat di dalam
otak seseorang terjejas. Pesakit menunjukkan tiga jenis ketidakupayaan
umum iaitu:
Masalah tidak mampu bersosial
Ini simptom utama penyakit autisme. Pesakit tidak tahu bergaul dengan
orang sekeliling secara normal. Mereka selalunya tidak mempunyai sifat
empati terhadap orang lain.Mereka tidak mengendahkan orang lain dan
seperti termenung seorang diri.
Ada pesakit yang menunjukkan sikap tidak sepatutnya di depan orang
ramai seperti menjerit sekuat hati atau membaling barang ke arah orang
sekeliling. Malah, pesakit autisme lebih gemar menyendiri dan bermain
seorang diri walaupun dikelilingi oleh rakan sebaya yang sedang bermain.
Kesukaran berkomunikasi secara berkesan dengan insan lain
Mereka selalunya lambat bercakap dan apabila cuba untuk berkomunikasi
dengan orang lain, orang lain sukar memahami apa yang mereka cuba
sampaikan.
Mereka kadangkala bercakap dalam nada pelik seperti menyanyi. Malah,
ada di antara pesakit autisme lebih gemar menggunakan bahasa isyarat
tangan untuk menyampaikan hasrat di hati kepada ibu bapa.
Masalah tingkah laku dan pemikiran
Ada di antara mereka yang gemar melakukan satu-satu perkara berulang kali (compulsive behaviour).
Ada juga yang mempunyai minat pelik dan berlaku agresif sekiranya ada sesiapa cuba menghalang minat tersebut.
Sebagai contoh, ada pesakit kami yang hobinya membawa ranting pokok
ke mana dia pergi dan akan memarahi sesiapa sahaja yang cuba mengambil
ranting tersebut dari tangannya.
Tanda-tanda penyakit ini selalunya muncul secara beransur-ansur dan
terus bertambah kronik (jikalau tidak mendapatkan sebarang rawatan)
sehingga ke umur dewasa.
Punca-puncaMasalah autisme berlaku tanpa mengira kira bangsa, latar belakang pendidikan, kedudukan status sosial ekonomi dan gaya hidup.
Sehingga hari ini, dunia perubatan moden masih belum dapat mengesan
secara pasti punca sebenar penyakit ini. Mengikut perubatan moden,
pengaruh genetik boleh meningkatkan risiko seseorang mendapat anak
autisme.
Selain itu, sangat penting buat semua ibu bapa yang mempunyai anak
autisme untuk memahami bahawa penyakit tersebut tidak berpunca daripada
asuhan atau penjagaan yang tidak baik semasa anak masih bayi.
Dalam pengalaman kami di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah merawat
anak-anak autisme, terdapat kes melibatkan elemen gangguan makhluk halus
terutamanya saka yang menyebabkan masalah autisme.
Gangguan saka selalunya diwarisi melalui keturunan keluarga terdahulu
di mana makhluk halus ini merosakkan saraf dan minda pesakit
menyebabkan berlakunya autisme.
Sukar untuk perubatan moden membuktikan wujudnya pengaruh makhluk
halus dalam anak-anak autisme ini tetapi sudah ramai pesakit menunjukkan
perubahan positif selepas makhluk halus ini dikeluarkan daripada tubuh
badan mereka.
Tanda-tanda awal autismeAntara tanda awal masalah autisme yang boleh berlaku seperti;
n Anak yang tidak mengeluarkan sebarang perkataan yang boleh difahami sehingga umur 16 bulan.
n Tidak menunjukkan minat untuk bermain atau berinteraksi dengan kanak-kanak lain.
n Tidak menggunakan jari telunjuk untuk menunjuk sebarang objek
n Gagal memberi respons apabila nama dipanggil.
n Suka menyendiri.
n Suka menyusun objek mengikut susunan tersendiri.
Senarai di atas hanyalah sebahagian daripada tanda awal masalah
autisme dan sebarang diagnosis akhir haruslah dirujuk kepada pakar
perubatan kanak-kanak.
Rawatan modenRawatan untuk penyakit autisme pada masa kini melibatkan banyak aspek terutamanya dari segi pendidikan khas sejak usia awal.
Objektif utama rawatan adalah untuk mengurangkan tekanan dalam
keluarga, meningkatkan kualiti hidup pesakit dan melatih pesakit agar
mampu berdikari dalam hampir semua aspek kehidupan.
Buat masa ini, tiada rawatan tunggal yang mampu merawat autisme.
Selalunya beberapa jenis rawatan perlu diolah mengikut keperluan setiap
kanak-kanak autisme.
Contoh rawatan yang selalu diguna pakai adalah senaman fisioterapi,
terapi kognitif dan sikap, terapi pertuturan dan kaunseling keluarga.
Ahli keluarga terutama ibu bapa selalunya diberi kaunseling dan latihan dalam menghadapi kerenah anak autisme.
Selain itu, guru yang terlatih dalam bidang Pendidikan Khas turut
memainkan peranan penting memastikan kanak-kanak autisme mendapat
pendidikan mengikut cara sesuai dengan keperluan masalah mereka.
Di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, keluarga pesakit autisme akan
diberi ayat-ayat berikut untuk diamalkan, disertai doa untuk memohon
penyembuhan.
Ayat-ayat tersebut adalah:
1. Surah Az-Zumar ayat 24 hingga 37
2. Surah Al-Hijr ayat 66 hingga 99
3. Surah Yaasin ayat 43 hingga 58
4. Surah Al-Hajj ayat 40 hingga 55
5. Surah Al-Hajj ayat 73 hingga 78
Cara mengamalkan ayat al-Quran tersebut ialah keluarga pesakit
hendaklah membaca surah pertama iaitu surah Az-Zumar tiga kali pada
malam dan surah kedua iaitu surah Al-Hijr tiga kali waktu siang.
Amalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas membaca
tiga kali, keluarga pesakit perlu berdoa kepada Allah untuk penyembuhan.
Selepas membaca dua surah pertama tadi, keluarga pesakit hendaklah
mengulang dengan surah berikutnya.
PenutupIbu bapa yang mempunyai anak autisme, jangan berputus asa berikhtiar untuk merawat anak masing-masing.
Jangan anggap anak autisme tidak dapat ditolong lalu hanya berserah
kepada takdir. Yakinlah bahawa pertolongan pasti akan datang bagi mereka
yang mencarinya.
Hasil pengalaman kami merawat anak autisme, ada yang menunjukkan
perubahan positif dari segi sikap, kecekapan, pertuturan dan keupayaan
untuk berdikari.
Yang penting, kita haruslah yakin bahawa segala sesuatu yang berlaku hanya boleh berlaku dengan izin Allah.
Kita harus reda akan ketentuan Ilahi. Maka, jika ada masanya kita
merasakan sudah tidak dapat lagi bertahan dan perasaan putus asa mula
menguasai, cepat-cepatlah kita ingat bahawa apa yang berlaku adalah
ujian daripada Allah SWT.
No comments:
Post a Comment