MEMANDU di jalan raya bukan hanya tertakluk
kepada peraturan lalu lintas yang ditetapkan oleh pihak kerajaan melalui
undang-undang jalan raya.
Cara pemanduan berhemah sekurang-kurangnya akan menjamin semua pihak yang menggunakan jalan raya mengurangkan risiko kemalangan.
Selain kegagalan mematuhi undang-undang di jalan raya, terdapat satu
sikap buruk pemandu terutamanya di bandar-bandar besar seperti Kuala
Lumpur yang perlu dibendung, iaitu sikap suka membuang sampah
merata-rata keluar dari kenderaan masing-masing.
Apabila memandu sekitar jalan raya utama bandar raya seperti Kuala
Lumpur, kita pasti akan terpandang kotak rokok, puntung rokok, bungkusan
plastik makanan ringan mahu pun botol air mineral yang bersepah-sepah
sepanjang jalan.
Jika berhenti di persimpangan lampu isyarat atau susur keluar
mana-mana lebuh raya, pemandangan buruk sampah-sarap yang bersepah di
kawasan berumput atau di celah-celah pokok hiasan pasti kelihatan.
Pemandu yang mempunyai sikap sebegini gemar menjadikan jalan raya sebagai 'tong sampah' mereka.
Mereka lebih rela mencemarkan alam sekitar daripada menyimpan dahulu
sampah yang dihasilkan oleh mereka sendiri di dalam kereta dan
kemudiannya sampah tersebut boleh dibuang ke dalam tong sampah ataupun
mengitar semula botol plastik atau kotak minuman.
Betapa kita masih jahil tentang kepentingan menjaga kebersihan. Ramai
yang berpendapat bahawa tanggungjawab mengutip sampah tersebut adalah
tugas pihak kerajaan yang perlu memastikan pihak yang dilantik
menjalankan tugas mereka.
Tetapi, sedarkah kita, sebagai rakyat negara ini dan juga sebagai
seorang manusia berfikiran waras, tugas untuk memastikan alam sekitar
yang kita huni ini adalah tanggungjawab kita semua. Jika kita
berpendapat, sampah yang dibuang perlu dibersihkan oleh pihak
kontraktor, di mana nilai kemanusiaan kita terhadap penjagaan alam
sekitar. Bagaimana kita hendak mendidik anak-anak pewaris generasi kini
untuk menjaga kebersihan dan menghargai apa yang kita ada sekarang.
Jika ibu bapa sendiri membuang sampah ke luar kenderaan di depan
anak-anak, adakah ia akan menjadi contoh baik kepada anak-anak supaya
mereka tidak membuang sampah di merata-rata tempat? Ramai dalam kalangan
kita melarang anak-anak membuang sampah sesuka hati terutama di tempat
awam seperti taman permainan dan juga halaman rumah sendiri.
Tetapi kita gagal menunjukkan contoh baik apabila dengan mudah kita
mencampakkan sepuntung rokok ke luar kenderaan di depan anak-anak.
Secara tidak langsung, kita sebenarnya gagal mendidik mereka untuk menjaga kebersihan apabila mempunyai sikap buruk seperti ini.
Kebanyakan masa kita terutama pada waktu pagi dan petang adalah di
dalam kereta apabila menghantar anak ke sekolah sebelum masuk pejabat
mahupun di sebelah petang selepas pulang dari pejabat. Pada masa ini,
kita akan bersama anak-anak di dalam kenderaan. Didiklah mereka supaya
tidak membuang sampah sesuka hati dari kenderaan supaya tidak
mengotorkan alam sekitar, sekali gus memastikan persekitaran sentiasa
bersih.
Statistik menunjukkan, janaan sampah domestik bagi penduduk bandar
raya Kuala Lumpur adalah sekitar 2,200 tan sehari. Sampah ini tidak
termasuk sampah yang dibersihkan di jalan-jalan raya dan juga sampah
haram yang dibuang pihak tidak bertanggungjawab.
Sekiranya amalan kitar semula disemai dalam kalangan rakyat negara
ini, maka isu sampah boleh dikitar semula yang dibuang sesuka hati di
jalan raya pastinya dapat diatasi.
No comments:
Post a Comment