SAYA berusia 19 tahun. Saya mempunyai masalah
lemah pundi kencing. Ketika kanak-kanak saya kerap kencing malam dan
tiada rasa ingin buang air pada waktu malam. Tetapi sekarang masalah
kencing malam tiada lagi, cuma apabila terasa ingin ke tandas, lelehan
air kencing tiba-tiba keluar dengan sendiri. Saya berasa malu apabila
keluar dengan kawan-kawan dan situasi sebegini berlaku. Pernah juga saya
pergi berubat kampung tetapi tidak berjaya.
Ieza, Klebang, Melaka.
Jawapan:
Simptom yang dialami bukanlah asing bagi wanita. Rasa hendak buang
air kencing yang datang secara tiba-tiba atau masalah lemah pundi
kencing dan tidak boleh 'berkompromi' walau sesaat membuatkan individu
itu menjadi kelam-kabut dan tidak sempat hendak ke tandas. Jika anda
sering berdepan masalah sukar mengawal pengeluaran air kencing, ia
petanda anda menghadapi Lemah Kawalan Kencing. Masalah itu yang juga
dikenali sebagai 'inkontinens urinari' atau lemah pundi kencing. Dalam
bahasa harian ia dipanggil juga sebagai 'kebocoran kencing'.
'Inkontinens urinari' turut berlaku ketika ketawa, batuk, bersin,
bersenam dan mengangkat barangan berat. Menurut kaji selidik Inkontinens
Sedunia 2010 yang dijalankan oleh Syarikat Poise, 30 peratus golongan
dewasa di negara ini mengalami 'inkontinens urinari' dan 70 peratus
daripada mereka ialah wanita. Kebanyakan mereka malu untuk berbincang
masalah 'inkontinens urinari' yang mereka hadapi.
'Inkontinens urinari' bukan penyakit, sebaliknya simptom ini
disebabkan masalah kesihatan atau kadangkala kesan pengambilan ubatan.
Masalah ini boleh menjejaskan keadaan fizikal, emosi dan psikologi
seseorang wanita. Wanita mengalami 'inkontinens urinari' lapan hingga
sembilan kali lebih kerap berbanding lelaki. Ada yang menganggap
'inkontinens urinari' tidak akan menjadi lebih teruk dan akan pulih
dengan sendiri. Namun, tanggapan itu salah kerana gejala ini boleh
bertambah teruk jika tidak dirawat dan dibiarkan begitu sahaja.
Untuk pengetahuan Ieza, 'inkontinens urinari' ada beberapa jenis
iaitu inkontinen jenis tekanan (stres), inkontinen jenis desakan,
inkontinen jenis campuran, inkontinen jenis melimpah dan juga inkontinen
disebabkan penggunaan ubat.
Wanita yang menghadapi masalah 'inkontinens urinari' tidak harus
terlalu malu kerana ada cara untuk menanganinya seperti menjaga diet,
mengekalkan berat badan sihat dan melakukan senaman kegel.
Wanita juga perlu elak minum air batu yang mudah menyebabkan batuk
serta mengambil minuman berkarbonat dan mengandungi kafein yang
menyebabkan radang atau kerengsaan pada pundi kencing.
Saya nasihatkan Ieza mengamalkan senaman kegel secara regular untuk
membantu menguatkan otot lantai pelvik (otot di bawah pundi kencing) dan
membantu menghalang kebocoran. Senaman kegel adalah rawatan berkesan
untuk wanita dewasa yang mengalami lemah kawalan kencing dan tidak
mendatangkan risiko kesan sampingan. Senaman ini perlu dilakukan dengan
betul. Pastikan anda selesa dan bernafas secara normal. Kemudian,
kemutkan otot pelvik anda seakan cuba untuk menahan kencing. Tahan otot
itu selama 10 saat ketika bernafas normal, kemudian relaks. Ulangi
sebanyak 10 kali, tiga kali sehari.
Ada beberapa perkara lain yang boleh anda lakukan, iaitu mengekalkan
berat badan yang sesuai untuk mengurangkan bebanan pada otot lantai
pelvik, berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat dan rawatan yang
sepatutnya dan anda boleh juga menggunakan pelapik seluar (panty liner) yang direka khas untuk masalah 'inkontinens urinari'.
No comments:
Post a Comment