WALAUPUN stres dikatakan ada baiknya, namun jika
ia berpanjangan pasti mengundang kemudaratan. Banyak kajian membuktikan
bahawa tekanan minda serta bebanan tanggung jawab yang banyak dan
berterusan mempertingkatkan risiko penyakit dari aspek kardiovaskular,
muskular dan yang paling membimbangkan adalah penyakit mental.
Kekuatan mental amat penting malah minda yang sihat mampu menjana
tenaga yang maksimum. Pernahkah anda terfikir mengapa jiwa anda stres
dan tidak tenang? Cuba anda pejamkan mata, tarik nafas dan fikirkan apa
yang belum anda lakukan. Mungkinkah anda kurang memberi, bersedekah atau
terlupa menunaikan zakat.
Beberapa hari lalu seorang pakcik keluar dari pintu bank dengan wajah
ceria dan tersenyum lebar. Saya berkata, "Wah, seronoknya pakcik!".
Lantas dia menjawab, "Mestilah seronok sebab menerima bonus daripada
pelaburan ASB". Ternyata beliau kelihatan sangat gembira. Pasti sudah
ada perancangan tertentu dengan duit yang diperolehi oleh beliau kali
ini. Ketika itu terdetik di hati saya, berapa ramaikah mereka yang
menerima habuan daripada bonus, yang cukup haul dan nisab, terfikir
untuk mengeluarkan zakat?
Sebahagian daripada rezeki yang Allah berikan pada kita itu, ada hak
orang lain. Cuma ia diberikan melalui kita sebagai satu amanah dan
tanggungjawab yang wajib dilaksanakan.
Bagi mereka yang biasa berzakat dan pernah merasai nikmat serta
kelebihannya, mereka ini sanggup membelanjakan harta bendanya pada jalan
Allah lebih daripada apa yang dituntut oleh agama. Bagi mereka yang
terlupa menunaikan kewajipan ini, cuba laksanakan, siapa tahu inilah
rahsia jiwa tenang yang sebenar.
Antara hikmah berzakat ialah:Jiwa tenang - Orang
yang berzakat jiwanya tenang kerana dia tidak lagi merasakan yang
dirinya berhutang dengan Allah. Ramai orang yang berduit tetapi hidupnya
dalam keadaan yang keluh-kesah. Sentiasa ada sahaja perkara yang tidak
kena dalam hidupnya. Malah tidur malam pun tidak lena. Ke mana sahaja
mereka pergi terasa tidak selamat. Sebab, hati mereka begitu terikat
dengan dunia. Orang yang berzakat tidak pernah mengalami keadaan
sebegitu kerana zakat itu tanda takwa.
Murah rezeki - Seperti yang telah Allah janjikan, mereka yang
mengeluarkan zakat akan dapati rezeki semakin luas, perniagaan semakin
menjadi, pendapatan semakin lumayan dan rezeki datang dari sumber yang
tidak mereka sangkakan.
Jauh daripada bala dan musibah - Orang yang berzakat sebenarnya telah
menyucikan wang dan hartanya, oleh itu kekayaannya akan dilindungi
Allah. Ada ketikanya musibah dan mudarat yang berlaku itu sebagai
kifarat atas dosa atau harta yang bukan hak kita. Oleh itu, jika ujian
datang bertimpa-timpa maka sebelum dicari punca yang lain semaklah
dahulu sama ada zakat sudah ditunaikan atau belum. Jika belum
ditunaikan, maka tunaikanlah, kemudian barulah dikaji punca-punca yang
lainnya.
Tanda kita bersyukur - Bukan semua orang wajib mengeluarkan zakat.
Oleh itu apabila kita termasuk dalam orang yang wajib berzakat maka
bersyukurlah kerana itu maknanya Allah telah berikan rezeki kepada kita
lebih berbanding dengan orang lain.
Mendapat kasih sayang manusia dan Allah - Orang kaya yang berzakat
disayangi oleh masyarakat. Sebab wang zakat itu akan diberikan dan dapat
dimanfaatkan oleh golongan asnaf antaranya mereka yang fakir, miskin,
mualaf dan sebagainya. Malah mereka ini akan mendoakan agar orang yang
mengeluarkan zakat itu dimurahkan lagi rezekinya. Zakat menjadi jalan
yang mengikat silaturahim antara golongan kaya dengan mereka yang
miskin.
No comments:
Post a Comment