Monday, February 11, 2013

DARAH TINGGI (HYPERTENSI)

Soalan:

Nama saya Zuhairi Ahmad dari Kuching, Sarawak dan saya ingin bertanya berkenaan rawatan ayat-ayat Al-Quran untuk penyakit Darah Tinggi. Untuk pengetahuan Tuan Haji, saya sudah lama menghidap penyakit tersebut dan walaupun saya sudahpun mendapatkan rawatan hospital tetapi tekanan darah saya masih lagi tidak memuaskan. Puas sudah saya mencuba rawatan alternative lain namun masalah tekanan darah tinggi saya masih juga tidak stabil. Adakah rawatan ayat-ayat Al-Quran boleh mengubati penyakit saya ini? Terima kasih.

Jawapan:

Penyakit Darah Tinggi atau “Hypertension” merupakan satu daripada penyakit yang banyak dihadapi oleh bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi juga oleh ramai manusia di seluruh dunia. Penyakit darah tinggi ini berlaku apabila tekanan di dalam saluran darah arteri sentiasa pada kadar yang tinggi daripada kadar biasa. Akibatnya, jantung pesakit itu terpaksa bekerja keras lebih daripada biasa dan jika keadaan ini berlarutan untuk jangka masa yang panjang, pesakit itu akan mengalami masalah-masalah kesihatan yang serius.

Terdapat dua jenis bacaan tekanan darah iaitu systole dan diastole. Kadar biasa untuk systole (tekanan atas) adalah di antara 100 mmHg hingga 140 mmHg. Manakala, kadar biasa untuk diastole (tekanan bawah) pula adalah di antara 60 mmHg hingga 90 mmHg. Jikalau kadar kedua-dua bacaan tersebut sentiasa di luar kadar biasa untuk tempoh masa yang panjang, maka seseorang itu disahkan menghidapi masalah penyakit darah tinggi.


Penyakit darah tinggi terbahagi kepada dua iaitu darah tinggi primer dan darah tinggi sekunder. Penyakit darah tinggi primer merujuk kepada darah tinggi yang tidak mempunyai punca-punca yang jelas dan darah tinggi primer dihidapi oleh hampir 95% pesakit-pesakit darah tinggi di seluruh dunia. Manakala, penyakit darah tinggi sekunder pula selalunya disebabkan oleh penyakit-penyakit lain yang menjejaskan organ seperti buah pinggang, saluran darah atau jantung.

Mana-mana pesakit darah tinggi yang tidak mengawal penyakit ini dengan baik, pesakit tersebut mempunyai risiko yang tinggi untuk diserang angin ahmar (stroke), masalah saluran darah (aneurysm), serangan jantung (coronary heart attack) dan turut boleh menyebabkan penyakit buah pinggang yang kronik.

Statistik kes-kes penyakit darah tinggi di Malaysia
Menurut kajian oleh Persatuan Hipertensi Malaysia, didapati bahawa hampir 4.8 juta rakyat Malaysia menghidap penyakit darah tinggi dan sekurang-kurangnya 42% orang dewasa Malaysia yang berusia lebih dari 30 tahun menghidap penyakit darah tinggi. Apa yang lebih mengecewakan, tidak sampai 10% daripda jumlah pesakit darah tinggi di Malaysia yang dapat mengawal tekanan darah mereka untuk berada di dalam kadar yang dianggap sihat.
  • Punca-punca penyakit darah tinggi
Walaupun penyebab sebenar penyakit darah tinggi masih belum dapat dikenalpasti, terdapat beberapa factor yang telah dikaitkan dengan penyakit darah tinggi. Faktor-faktor ini didapati telah meninggikan risiko untuk mendapat penyakit darah tinggi. Di antara punca-punca utama yang dikenalpasti adalah faktor keturunan, usia yang meningkat tua, pemakanan yang tidak seimbang, kurang bersenam, berat badan yang berlebihan, pengambilan garam dan lemak atau minyak yang berlebihan di dalam diet, stres yang tinggi dan penyakit-penyakit lain seperti hipertiroid, Sindrom Cushing, masalah buah pinggang dan sebagainya.

Selain dari itu, sikap suka makan berlebihan walaupun sudah kekenyangan turut boleh menyumbang kepada masalah penyakit darah tinggi. Malah, di dalam Islam kita dilarang daripada makan dengan cara berlebih-lebihan.

Firman Allah swt di dalam surah Al-A'raaf ayat 31:

“Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat beribadat (atau mengerjakan solat) dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau-lampau; sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melampaui batas.”
  • Tanda-tanda awal darah tinggi
Penyakit darah tinggi selalunya tidak mempunyai sebarang tanda-tanda awal. Malah, seseorang itu kebiasaannya didapati menghidapi penyakit darah tinggi selepas menjalani pemeriksaan kesihatan untuk sakit-sakit lain. Namun, terdapat pesakit darah tinggi yang mengadu mengalami pening-pening kepala, vertigo, telinga berdengung atau berdesing, selalu pitam dan sebagainya.
  • Pencegahan penyakit darah tinggi
Pengurusan penyakit darah tinggi oleh perubatan moden adalah lebih kepada kawalan kadar tekanan darah tersebut dengan menggunakan ubat-ubatan hospital yang sedia ada dan perubahan cara hidup. Namun bukan untuk diubati sepenuhnya. Namun, kami di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah yakin bahawa penyakit darah tinggi ini boleh diubati dengan keizinan Allah swt.

Selain daripada mengamalkan ayat-ayat Al-Quran yang tertentu, pesakit darah tinggi boleh melakukan beberapa langkah yang dapat merawat dan mencegah penyakit darah tinggi. Antara langkah-langkah tersebut adalah seperti dengan pengurangan berat badan, bersenam dengan kerap, mengawasi pengambilan garam dan kolesterol dalam diet, tidak merokok dan mengurangkan stres seharian.
  • Rawatan moden penyakit darah tinggi
Matlamat utama dalam rawatan penyakit darah tinggi adalah untuk mengawal kadar tekanan darah supaya tekanan darah tersebut senantiasa berada pada tahap normal atau biasa. Kebiasaannya, langkah pertama rawatan yang disyorkan oleh doktor adalah perubahan dalam cara hidup yang lebih aktif dan pengambilan makanan yang sihat dan seimbang. Malah penurunan berat badan dan berhenti merokok turut didapati sangat membantu untuk mengawal kadar tekanan darah tinggi buat ramai pesakit. Jikalau penyakit darah tinggi tidak dapat dikawal dengan langkah-langkah awal tersebut, pesakit turut diberi beberapa jenis ubat hospital yang berkesan untuk ramai pesakit dalam mengawal kadar tekanan darah.

 Rawatan penyakit darah tinggi dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran
Di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, pesakit darah tinggi akan diberi ayat-ayat berikut untuk mereka amalkan dan seterusnya disertai dengan doa kepada Allah untuk memohon penyembuhan. Ayat-ayat tersebut adalah:

1.    Surah Al-Qasas ayat 42 hingga 50

2.    Surah Yunus ayat 48 hingga 61

3.    Surah Al-Anbiya’ ayat 51 hingga 72

4.    Surah Al-Furqan ayat 41 hingga 52

5.    Surah An-Nahli ayat 51 hingga 64

6.    Surah Huud ayat 41 hingga 53

Cara amalan ayat-ayat Al-Quran tersebut ialah, pesakit hendaklah membaca surah pertama iaitu surah Al-Qasas tiga kali pada waktu malam dan surah kedua iaitu surah Yunus tiga kali pada waktu siang. Pembacaan ini hendaklah diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas membaca tiga kali, pesakit perlu memohon doa kepada Allah swt untuk penyembuhan. Selepas membaca dua surah pertama tadi, pesakit hendaklah mengulang amalan-amalan tersebut dengan surah-surah yang berikutnya.

Adalah lebih baik sekiranya pesakit datang untuk berjumpa dengan perawat-perawat Al-Hidayah terlebih dahulu supaya dapat kami mengenal pasti (diagnose)  jikalau ada penyakit-penyakit lain yang menyebabkan penyakit darah tinggi, atau terdapat kesan-kesan sampingan yang disebabkan oleh penyakit darah tinggi ini, dan seterusnya bolehlah kami rawat dan beri ayat-ayat Al-Quran yang lain yang sesuai dengan penyakit yang dialami oleh pesakit.

Adalah dinasihatkan agar pesakit yang ingin berubat dengan menggunakan ayat-ayat Al-Quran ini tidak berhenti terus mengambil ubat-ubat yang telah diberi oleh pihak hospital, tetapi boleh mengurangkan dos pengambilan ubat-ubat hospital secara perlahan-lahan mengikut kadar pemulihan pesakit.    Terapi penyembuhan melalui ayat-ayat Al-Quran ini memakan masa, disiplin dan kesabaran. Kaedah rawatan ini bukan lah seperti “magic”, hari ini pesakit membaca ayat-ayat yang diberi dan esok nya pesakit mengharap penyakit itu sembuh.  Pesakit mesti yakin 100% akan mukjizat ayat-ayat Al_Quran dalam penyembuhan penyakit.

Kaedah rawatan dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran ini juga berkonsep “2 in 1” atau “Dua dalam Satu”. Selain kita mendapat penyembuhan dari Allah swt dari penyakit yang kita alami, kita juga mendapat pahala dari amalan membaca ayat-ayat Al-Quran ini. Maklumbalas dari ramai pesakit-pesakit kami yang telah mengamalkan ayat-ayat al-Quran ini, mereka rasa tenang dan tenteram setelah membaca ayat-ayat al-Quran ini dan dengan sendirinya hilang rasa stres dan tekanan emosi. Apabila stres dan tekanan emosi pesakit dapat dikuasi, dengan sendirinya tekanan darah pesakit akan menurun dan menjadi normal. Subahanallah,  itulah mukjizat al-Quran!

Diharap agar kepada semua pembaca yang ada menghidapi penyakit darah tinggi untuk jangan jemu berdoa kepada Allah swt memohon penyembuhan dengan penuh tawaduk dan istiqamah pada setiap hari.  InshaAlah, Allah swt memandang dan sentiasa menilai akan usaha dan kegigihan hamba-hambaNya dalam usaha untuk sembuh dari satu-satu penyakit.

Islam menganjurkan umatnya berdoa untuk kesihatan.  Sesungguhnya junjungan kita Nabi Muhamamad saw  pernah bersabda:

“Tidak ada sesuatu yang diminta lebih disukai oleh Allah dari Afiat (kesejahteraan kesihatan)” - Riwayat At-Tarmizi

No comments: