Monday, February 11, 2013

MENCEGAH KANSER MELALUI PEMAKANAN

Soalan :

Saya Rahim bin Osman dari Pulau Pinang. Empat tahun yang lalu, saya pernah mendapat penyakit kanser kolon, stage 3. Saya telah menjalani pembedahan untuk membuang bahagian colon yang ada ketumbuhan kanser dan menjalani kimoterapi sebanyak 6 kali. Alhamdulilah syukur pada Allah setakat ini saya sihat dan tiada tanda-tanda yang menunjukkan yang kanser itu datang kembali. Walaubagaimana pun saya harap Tuan Haji Lokman dapat memberi penjelasan bagaimana untuk mencegah penyakit kanser melalui pemakanan.

Jawapan :

Jika pada ruangan sebelum ini saya telah menerangkan kaedah-kaedah untuk mengubati kanser dari perspektif moden dan perspektif Al Quran, kali ini saya akan berbicara mengenai kaedah-kaedah untuk mencegah kanser melalui pemakanan. Dalam pengalaman saya mengubati pesakit-pesakit kanser di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, ini adalah salah satu soalan yang selalu ditanya oleh ramai pesakit-pesakit kanser. Terutama kepada pesakit kanser yang telah menjalani pembedahan dan kimoterapi atau radioterapi, dan mereka telah sihat tetapi mereka tidak mahu panyakit kanser itu datang kembali “cancer relapse” atau “cancer recurrence”.

Nabi Muhammad SAW bersungguh-sungguh menyeru kepada prinsip iaitu “mencegah itu lebih baik dari mengubati”. Dalam mencegah penyakit kanser ini, ada 3 faktor yang kita perlu kita fokus - amalkan gaya hidup sihat,  diet yang seimbang dan stres yang minima.

Tidak dinafikan, antara punca utama kanser adalah gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok, mengambil minuman keras, tekanan emosi atau stres yang berterusan dan faktor yang utama sekali ialah pemakanan yang tidak teratur dan seimbang. Ini adalah pendorong kuat kepada penyakit kanser untuk membarah didalam tubuh. Justeru, dengan mengambil berat kepada tiga faktor ini, insya ALLAH kanser dapat dielakkan dan dijauhkan dari kehidupan kita.

Makanan yang mengandungi pH alkali (alkaline) yang tinggi dapat mengelakkan daripada serangan penyakit kanser, malah mampu membantu menyembuhkan seseorang yang telah menghidap kanser. Malangnya, kebanyakan daripada rakyat Malaysia, gemar memilih diet yang mengandungi kadar pH yang berasid.
  • Apa itu diet yang berakali? (Alkaline Diet)
Diet yang berakali biasanya melibatkan pengambilan yang minima makanan-makanan seperti daging merah (daging lembu, daging kambing), daging ayam, ikan, makanan laut, makanan yang berasaskan susu seperti mentega, keju, ais krim dan lain-lain, tepung, teh, kopi, makanan segera, minuman soda dan gula.


Kebanyakan makanan-makanan ini adalah makanan asasi dan makanan kesukaan ramai rakyat umum di Malaysia tidak kira bangsa dan umur.  Makanan-makanan ini memberi kesan kepada kandungan asid yang tinggi didalam badan seseorang itu.
Diet yang berakali tinggi ialah makanan-makanan yang berunsur sayur sayuran dan buah-buahan, biji-bijian, buah kurma, habatus-sauda, madu, jus buah-buahan, teh hijau dan makanan yang berunsur soya seperti tempe, dan tau fu faa. Makanan-makanan ini meninggalkan “alkaline ash” atau persekitaran tubuh yang berakali.
  • Bagaimana diet yang berakali mempengaruhi sel-sel kanser?
Kajian makmal  telah membuktikan, sel-sel  kanser dalam tabung uji lebih cepat membiak didalam persekitaran yang berasid. Apabila tahap asid dikurangkan maka didapati ketumbuhan kanser tumor itu lebih lambat.

Dengan memilih diet yang boleh menjadikan tahap pH didalam tubuh seseorang itu lebih berakali, maka potensi untuk kanser tumbuh dan membiak itu adalah berkurang. Makanan yang berakali tinggi menghasilkan  persekitaran yang sukar untuk kanser membiak dan merebak. Sel-sel kanser tidak boleh membiak dalam persekitaran yang tinggi kandungan oksigen.

Apabila kandungan oksigen adalah rendah, ia menggalakkan pembiakan kanser dengan cepat. Apabila sel-sel tisu didalam badan mempunyai kandungan alkali yang tinggi, sel-sel ini berkeupayaan untuk menampung kandungan oksigen yang tinggi berbanding sel sel tisu yang berasid tinggi.  Dengan memastikan kandungan pH yang berakali didalam badan tinggi, ia dapat melindungi sel-sel didalam badan daripada diserang oleh penyakit kanser.

Kesimpulannya, semakin tinggi tahap alkali didalam badan, semakin banyak kandungan oksigen yang dapat ditampung, dan semakin banyak kandungan oksigen didalam badan, maka semakin nipis peluang untuk sel-sel kanser untuk membiak. Justeru, adalah digalakkan untuk memakan banyak makanan-makanan yang berasaskan buah-buahan dan sayur-sayuran, makanan yang mengandungi kandungan serat yang tinggi, jus buah-buahan terutama sekali jus lobak merah. Ini bukan bermakna pesakit kanser tidak boleh mengambil diet yang berasid tinggi, tetapi dinasihatkan untuk mengurangkan pengambilan makanan yang berasid tinggi dan pengambilan diet yang seimbang.

Makanan yang perlu dikurangkan atau dielakkan :

  1. Daging merah
    Sel kanser tumbuh dengan cepat pada persekitaran yang berasid, diet daging adalah bersifat asid yang sangat tinggi. Daging mengandungi antibiotik ternak yang menumbuhkan hormon dan parasit yang berbahaya, terutama kepada pesakit kanser. Diet yang lebih baik adalah dengan memakan ikan dan ayam kerana walaupun ia bersifat asidik tetapi tahap kandungan asid tidaklah setinggi daging merah iaitu daging lembu dan daging kambing.
  2.  Gula
    Gula adalah “hayat kanser”. Dengan mengurangi pengambilan gula yang berlebihan, bererti kita sedang mengurangi hayat atau potensi sel kanser untuk membiak. Gula yang terbaik adalah gula semulajadi seperti madu. Madu tergolong didalam makanan yang bersifat alkali. Hari ini kita melihat banyak produk pengganti gula dijual di pasaran, namun kita harus menyiasat terlebih dahulu bahawa adakah produk-produk itu benar-benar berkesan, atau lebih buruk akibatnya daripada pengambilan gula itu sendiri.
  3. Garam
    Garam yang selalu digunakan oleh kita dalam masakan mempunyai tambahan kimia untuk membuat warnanya putih dan tahan lama, garam yang lebih baik adalah garam laut.
  4. Makanan laut yang berkerang
    Kebanyakan makanan laut yang berkerang seperti kerang, ketam, kepah dan sebagainya mengandungi banyak kimia dan toksik yang boleh menggalakkan pembiakan kanser.
  5. Kopi, teh, coklat
    Ketiga-tiga diet diatas mempunyai kandungan kafein yang tinggi. Kafein mengandungi kandungan asid yang tinggi. Teh hijau adalah alternatif terbaik untuk melawan kanser. Selain itu, amalan meminum air bersih yang ditapis adalah baik untuk menghindari racun atau bahan-bahan kimia didalam air daripada memasuki tubuh.
  6. Makanan yang bercuka tinggi
    Elakkan daripada memakan makanan yang dijeruk seperti jeruk buah-buahan.
  7. Makanan yang berminyak
    Elakkan memakan makanan yang berminyak tinggi seperti makanan yang bergoreng. Utamakan makanan yang berkukus, atau makanan yang disediakan menggunakan ketuhar, (“baking”).
  8. Hindari alkohol
    Minuman yang mengandungi kandungan alkohol yang tinggi, menyumbang kepada tahap asid yang tinggi didalam tubuh. Kerana itulah didalam Islam, kita dilarang sama sekali untuk meminum minuman yang mengandungi alkohol dan memabukkan.
  9.  Makanan yang mengandungi kandungan lemak yang tinggi .

Pentingnya pemakanan untuk menguatkan sistem imunisasi badan

Kanser melemahkan sistem imunisasi seseorang. Pemakanan yang seimbang boleh menguatkan sistem pertahanan tubuh dan untuk melawan semula jangkitan penyakit. Diet yang sihat juga boleh mempercepatkan penyembuhan tisu-tisu yang rosak akibat kanser atau kemoterapi. Rawatan kemoterapi boleh membuatkan seseorang itu kurang selera makan. Kadangkala pesakit dijangkiti penyakit ulser didalam mulut dan lidah.

Ini menyebabkan rasa sakit untuk menelan atau mengunyah. Kadangkala ubat-ubat kemo boleh menghilangkan selera makan. Semasa menjalani kemoterapi, pesakit akan berasa penat dan emosi mereka akan lebih tertekan. Hilang selera makan ini boleh berlarutan sehingga mingguan atau berbulan lamannya.

Adalah mustahak untuk pesakit-pesakit kanser untuk terus memaksa diri untuk makan meskipun tidak ada selera makan. Hal ini kerana, apabila kita makan, badan kita menjadi kuat untuk melawan segala jangkitan kuman dan juga untuk membaiki tisu-tisu tubuh yang sudah rosak akibat rawatan kemoterapi.

Kesimpulannya pesakit kanser perlu berhati-hati dan menyedari kepentingan pengambilan diet yang seimbang. Ini adalah untuk mengawal pembiakan kanser sel didalam badan pesakit kanser. Jikalau pesakit kanser mengamalkan diet yang sama seperti sebelum mereka mendapat penyakit kanser, ini akan membawa kemudaratan kepada pesakit kanser.

Ini adalah kerana bila seseorang itu mengidap kanser, mereka perlu menukar cara pemakanan dengan mengambil diet yang lebih bersifat alkali seperti sayur-sayuran dan buah-buahan, dan mengurangkan diet yang bersifat asid.

Madu, Zamzam dan Al-Quran Penawar Kanser

Selain dari memastikan pemakanan yang seimbang, pesakit kanser juga mesti mengamalkan cara hidup yang sihat iaitu dengan memastikan mendapat waktu tidur dan rehat yang mencukupi, serta mengawal tekanan emosi dan stres, perbanyakan membaca Al-Quran, berzikir dan melakukan solat-solat sunat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.  Bila hati dan jiwa kita dekat dengan Allah SWT,  hati kita akan menjadi lebih tenteram dan datang rasa keredhaan kepada Allah SWT atas penyakit yang dihadapi.

Nabi Muhammad bersabda “ Berubatlah kamu dengan dua perkara – madu dan Al-Quran” (Hadith Riwayat Ibnu Majah).  Madu adalah ubat segala penyakit. tetapi dengan syarat, untuk tidak menjadikan madu/ubat itu sebagai pegangan yang menyebabkan kita sembuh, itu adalah dengan keizinan Allah SWT semata-mata untuk menyembuhkan kita. Jadi disini wajarlah pesakit-pesakit kanser mengamalkan sunnah Nabi Muhammad SAW iaitu  dengan menggantikan pengambilan gula dengan madu. Lebih-lebih lagi madu adalah permakanan yang bersifat alkali yang tinggi. Kajian oleh saintis barat juga menunjukkan madu sebagai satu alternatif yang lebih sihat untuk menggantikan khasiat gula.

Disebutkan dalam hadith Abu Dzar bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda tentang air zamzam “Sesungguhnya air zamzam itu penuh berkat, sesungguhnya ia makanan yang menyenyangkan” Dan Abu Daud Ath-Thayalisi menambah dalam musnadnya “Dan penyembuh penyakit”  - Hadith Riwayat Muslim.

Di dalam proses penyembuhan penyakit kanser adalah digalakkan agar pesakit meminum air zamzam sebanyak yang mungkin. Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah ada menganjurkan pakej umrah untuk pesakit dan orang ramai. Selalunya kepada pesakit-pesakit yang menyertai pakei umrah saya ini, selain daripada melakuan perubatan di Tanah Suci, adalah disyorkan untuk setiap pesakit meminum air zamzam sebanyak mungkin semasa berada di Tanah Suci, bagi membantu proses rawatan disamping mangamalkan bacaan-bacaan ayat-ayat Al-Quran yang telah diberikan kepada pesakit-pesakit.

Nabi Muhammad SAW bersabda “perut adalah tempat bermula berbagai penyakit” - Hadith Riwayat Muslim. Jadi disini memang wajarlah kita umat Islam mesti mengambil berat tentang jenis makanan dan diet yang kita ambil setiap hari agar tubuh kita sihat dan kita dapat menikmati kualiti hidup.

Nabi Muhammad SAW ada juga bersabda  “Seorang mukmin yang kuat (sihat) itu lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah SWT daripada seorang mukmin yang lemah....” - Hadith Riwayat Muslim. Jadi disini kita sebagai seorang mukmin wajib menjaga kesihatan kita agar kita menjadi seorang yang sihat tubuh badan dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang dan gaya hidup yang sihat.

Untuk makluman kepada para pembaca, rencana ini adalah sebahagian daripada coretan saya dalam buku saya yang berjudul “Quranic Medicine in Healing Cancer” atau “Perubatan Al-Quran dalam Rawatan Kanser” yang akan diedarkan di pasaran Insha Allah pada bulan Februari 2013.

No comments: