Sunday, February 24, 2013

MUDARAT PENYALAHGUNAAN PROPOFOL

TINJAUAN awal pihak kerajaan Amerika Syarikat menganggarkan bilangan orang dewasa yang berumur 50 tahun dan ke atas yang mempunyai masalah penyalahgunaan ubat akan berganda kepada lima juta pada 2020 berbanding 2.5 juta pada 1999. 

Keadaan ini cukup membimbangkan kerana kita bakal melihat gelombang masa depan yang terjejas akibat penyalahgunaan ubat. Inilah yang berlaku di Korea Selatan apabila beberapa artisnya disiasat atas dakwaan penyalahgunaan ubat bius yang dikenali sebagai propofol. Perkembangan ini membimbangkan kerana kes menyalahgunakan ubat preskripsi dilihat akan mengalami peningkatan pada masa akan datang.

Penyalahgunaan ubat bius propofol sebenarnya mustahil berlaku kerana pengguna tidak mudah mendapatkan bahan ini kecuali dengan bantuan doktor.

 
Di hospital pesakit yang apnea akibat profol tidak mempunyai masalah kerana terdapatnya mesin-mesin pernafasan dan tekanan darah yang membantu pesakit. - GAMBAR HIASAN

Pakar Perunding Bius dan Rawatan Rapi Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Sekar Shanmugam memberitahu, propofol seharusnya diberikan di hospital untuk membius pesakit ketika pembedahan dan bukannya untuk tujuan lain.


"Propofol merupakan ubat penenang atau hipnotik yang sangat kuat boleh menjadikan tekanan darah rendah.
Pesakit juga boleh mengalami apnea, iaitu keadaan pesakit tidak dapat bernafas dengan sendiri kerana otot-otot pernafasan menjadi lemah dan tidak dapat berfungsi. 

Ubat bius ini juga boleh menyebabkan masalah dengan degupan jantung yang tidak teratur. Kebiasaannya, dalam 20 saat, ubat bius ini akan memberi kesan kepada pesakit," ujarnya.

Tambah Dr. Sekar, propofol hanya diberi melalui suntikan intra vena (saluran darah).

Kemudian, propofol akan mengalir dalam darah dan memberi tindak balas kepada fungsi otak.

Secara amnya, Dr. Sekar memberitahu, propofol ialah ubat yang boleh melalikan atau membuatkan seseorang tidak sedarkan diri .

Mengulas kejadian yang menimpa Micheal Jackson, Dr Sekar menjelaskan, pesakit itu diberi propofol untuk membantunya tidur kerana mengalami insomnia.

Dalam masa yang sama, Micheal turut mengambil pil tidur. Akhirnya, kesan ubat-ubat tersebut menyebabkan Micheal berhenti bernafas atau lebih dikenali sebagai apnea.

"Proses yang sama juga dialami pesakit sebelum menjalani pembedahan. Bezanya di hospital, pesakit yang apnea tidak mempunyai masalah kerana terdapatnya mesin-mesin pernafasan dan tekanan darah yang membantu pesakit. 

"Dalam kes Micheal, tidak terdapat bantuan mesin dan kelengkapan perubatan yang boleh menyelamatkannya. Sebab itulah, salah guna propofol sangat bahaya lebih-lebih lagi apabila digunakan sendiri tanpa pemantauan doktor," katanya.

Sama seperti dadah-dadah jenis lain, penggunaan secara berlebihan boleh melalikan dan mendapatkan kesan khayal tenang, melayang dan sebagainya.

Namun Dr. Sekar menjelaskan, penggunaan propofol sebagai ubat bius sebenarnya tiada risiko ketagihan melainkan diambil untuk tujuan tadi.

Pembedahan plastikUbat bius yang digunakan semasa pembedahan plastik juga akan mendatangkan kesan negatif terhadap pengguna walaupun kemungkinan fenomena ini adalah minimum. 

Contohnya, kelebihan ubat bius yang digunakan akan mengakibatkan risiko penyakit jantung, kerosakan otak dan juga kematian. Ini bererti amaun ubat bius yang diberikan tidak boleh melebihi had tertentu. 

Menurut Pakar Perunding Estetika, Dr. Chin Shih Choon , propofol yang digunakan sebagai ubat pelali juga sering digunakan dalam prosedur pembedahan kosmetik.

"Propofol digunakan dalam prosedur pendek kosmetik yang memerlukan ubat pelali seperti pembedahan sedut lemak dan pembedahan plastik wajah. 

Propofol bahaya digunakan tanpa pengawasan pakar bius apatah lagi apabila digunakan secara berlebihan. Lebih teruk, ubat ini boleh menyebabkan kematian. Keadaan ini berlaku kerana pesakit akan mengalami tekanan darah rendah dan apnea. 

Masalahnya, kesan ini akan berlaku dalam masa yang sangat singkat," katanya.

No comments: