Jawapan
Apa itu stres? Stres adalah tekanan perasaan iaitu gangguan emosi
kesan tindak balas sesuatu di luar kebiasaan atau kemampuan seseorang
atau disebabkan sesuatu beban yang menimpa seseorang. Apabila berlaku
stres, badan menghasilkan hormon adrenalin dan cortison yang menyebabkan
jantung berdegup lebih laju, pernafasan lebih kencang dan tekanan darah
meningkat.
Punca stresTerdapat pelbagai faktor yang boleh
menyebabkan stres. Punca stres berkait rapat dengan persekitaran
seseorang seperti masalah keluarga, kewangan, rakan, tempat kerja dengan
majikan atau rakan sekerja, masalah kesihatan seperti penyakit kanser,
masalah kesuburan, kematian atau perpisahan, kesesakan lalu lintas dan
terlampau banyak kerja. Stres juga berpunca daripada sikap atau sifat
semula jadi seseorang seperti kurang keyakinan diri, cepat putus asa,
bersifat perfectionist, mengalami masalah berkomunikasi dengan baik atau berterus terang dan cepat marah.
Punca yang saya senaraikan bersumberkan persekitaran dan individu
sendiri, selain itu, stres juga boleh berlaku akibat gangguan sihir,
melalui jin dan iblis. Tekanan perasaan yang berpunca daripada gangguan
sihir sukar dikesan oleh perubatan moden. Bagaimanapun, ramai pesakit
yang berkunjung ke Pusat Rawatan Islam Al Hidayah untuk mengubati stres,
setelah dikenal pasti (diagnos) oleh pihak kami, punca sebenar penyakit
stres mereka disebabkan oleh gangguan sihir atau saka.
Simptom stresTanda stres boleh dikategorikan kepada empat bahagian:
Fizikal - Badan letih, sakit kepala, susah tidur, sakit badan
terutamanya di bahagian bahu dan tulang belakang, degupan jantung kuat,
tekak loya, ketar badan, tangan berpeluh dan rasa sejuk.
Mental - Mudah lupa, hilang tumpuan, susah buat keputusan, fikiran celaru, serabut.
Emosi - Kerisauan, kebimbangan, fikiran negatif, membuat andaian
tidak betul, sugul dan muram, mudah kecewa, sentiasa takut, sensitif,
panas baran dan mudah hilang sabar.
Sikap - Suka mengeluh, makan banyak, merokok, minum arak berlebihan, agresif, maki hamun dan suka salahkan orang lain.
Kesan stresKesan positif stres ialah, ia dapat
meningkatkan tenaga dan motivasi seseorang. Namun begitu, stres boleh
menyebabkan banyak kesan negatif dan mudarat kepada kesihatan. Misalnya
pening kepala, degupan jantung laju, sakit di bahagian bahu dan leher,
masalah susah tidur, sakit belakang, selalu berpeluh dan masalah
sembelit atau cirit-birit. Pesakit yang gagal mengawal stres akan
menyebabkan kesan jangka panjang, seperti gangguan sistem imunisasi,
kemurungan, tekanan darah tinggi, strok, sakit jantung, masalah
kesuburan, kencing manis, gastrik dan ulser, asma dan masalah kulit
seperti alahan kulit, jerawat dan psoriasis. Stres mampu melemahkan
sistem imunisasi badan dan memudahkan kuman dan virus menyerang badan
kita dan senang untuk seseorang dijangkiti penyakit seperti demam,
selsema, batuk dan penyakit lain.
Kaedah mengawal stres.
Mengamalkan cara hidup sihat seperti menjaga pemakanan, waktu tidur
dan rehat yang cukup, kurangkan pengambilan kafein dan aktif melakukan
senaman.
Pengurusan masa lebih efektif dan menjadi seorang produktif dapat
mengurangkan stres lalu lambakan tugas harian dapat dilaksanakan dengan
sempurna.
Belajar berkomunikasi dengan lebih efisyen dan berterus-terang supaya
perkara yang menyebabkan stres dapat diselesaikan dan tidak disimpan di
dalam hati.
Belajar teknik cara pernafasan yang betul dapat membantu menenangkan.
Bercakap dengan seseorang yang boleh dipercayai tentang masalah atau
stres yang dihadapi seperti kaunselor yang dapat memberikan nasihat
terbaik.
Menangani stres dari perspektif IslamApabila stres
seseorang perlu mengambil wuduk dan mendekatkan diri kepada Allah dengan
melakukan solat lima waktu, solat sunat dan tahajud dan banyakkan
membaca al-Quran dan berzikir setiap masa, insya-Allah hati akan tenang
dan stres berkurangan. Hal ini bertepatan dengan firman Allah yang
bermaksud:" Bukankah dengan mengingati Allah itu, hati-hati akan menjadi tenang.." (Surah Ar'Ra'd, 28)
Ayat al-Quran sebagai terapi stres
Reda dengan ketentuan Ilahi dan setiap masalah atau stres adalah
ujian Allah supaya hamba-Nya menjadi lebih tabah dan matang dalam
kehidupan. Pasti terdapat hikmah atas setiap ujian yang menimpa kita.
Firman Allah ;
"Sesungguhnya sesudah kesulitan itu terdapat kesenangan, setelah kesulitan ada kemudahan.." (surah Al Insyirah, ayat 5-6)
Berdoa dan memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh setiap
masa, terutama selepas waktu solat dan berdoa di waktu susah dan senang
supaya Allah permudahkan masalah dan stres yang dialami oleh hamba-Nya
Sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang Allah kurniakan kepada
hamba-Nya seperti nikmat ibu bapa, anak-anak dan keluarga, nikmat
kesihatan, pekerjaan, masa lapang, makanan dan sebagainya.
Firman Allah di dalam al-Quran :
"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya
berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji? Dan demi
sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum
mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui
Allah tentang orang-orang yang benar-benarnya beriman, dan nyata pula
apa yang diketahui-Nya akan orang-orang yang berdusta." (Al-Ankabut:2-3)
"Allah tidak memberi kesusahan seseorang hamba melainkan apa yang terdaya olehnya" (Al-Baqarah: 286)
Rawat stres dengan ayat al-Quran
Di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, pesakit stres akan diberi ayat
berikut untuk diamalkan dan disertai dengan doa kepada Allah SWT untuk
memohon penyembuhan. Ayat yang perlu diamal adalah:
Surah Muhammad, ayat 21 hingga 32
Surah Tohaa, ayat 120 hingga 135
Cara amalannya ialah pesakit hendaklah membaca surah pertama iaitu
surah Muhammad tiga kali pada waktu malam dan surah kedua iaitu surah
Tohaa tiga kali pada siang. Pembacaan hendaklah diamalkan setiap hari
selama tiga hingga empat minggu. Selepas membaca tiga kali, pesakit
perlu memohon doa kepada Allah untuk penyembuhan.
Proses mengenal pasti (diagnosis) adalah sangat penting dalam rawatan
kami. Kalau punca stres disebabkan masalah persekitaran atau individu,
cara rawatan adalah seperti biasa. Sekiranya stres berpunca daripada
gangguan sihir atau jin, sebaik-baiknya pesakit terlebih dahulu datang
berjumpa perawat Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah supaya dapat kami
membuang sihir tersebut dan mengeluarkan jin yang terdapat di dalam
tubuh terlebih dahulu sebelum pesakit mengamalkan bacaan surah yang
diberikan. Bagi stres disebabkan gangguan sihir dan jin, sukar bagi
perubatan moden untuk menyembuhkan kerana jin dan iblis hanya boleh
diubati melalui ayat al-Quran.
Terapi penyembuhan melalui ayat al-Quran memerlukan masa, keyakinan
disiplin dan kesabaran. Pesakit tidak boleh menjangkakan dengan membaca
surah pada hari ini, penyakit akan sembuh pada esoknya. Kesabaran dan
keyakinan sangat penting dalam proses rawatan. Pesakit mesti yakin akan
mukjizat ayat Al-Quran dan yang paling utama doa kepada Allah SWT
memohon penyembuhan, keberkatan dan rahmat-Nya.
Ramai bertanya, mengapakah ayat al-Quran yang diberikan,
terjemahannya tidak ada kena-mengena dengan penyakit yang menimpa
pesakit atau perkataan penawar atau penyakit yang dirawat. Sebenarnya,
semua ayat al-Quran yang diturunkan oleh Allah bersifat penawar dan ini
tidak boleh dijelaskan mengikut logik akal. Tiap gugusan ayat yang
diberikan mempunyai sifat aura tersendiri untuk menyembuhkan penyakit.
Terjemahan bukanlah ukuran bahawa sesuatu ayat al-Quran itu ada
kena-mengena dengan fungsi dan sifat penyembuhan atau simpton penyakit.
Misalnya surah Al Waqiah diriwayatkan mampu memberi kemurahan rezeki
kepada sesiapa yang istiqamah membacanya, namun terjemahan surah Al
Waqiah bukan mengenai rezeki dan kekayaan, sebaliknya mengenai suasana
kiamat, syurga dan neraka. Justeru, perkara ini tidak dapat dijelaskan
dengan logik akal manusia. Selama 13 tahun saya menggunakan ayat ini
untuk dibacakan oleh pesakit dan hasilnya Alhamdulillah dengan keizinan
Allah, pesakit sembuh, ini menjadi bukti bahawa ayat yang diberi
bersifat syifa' atau penawar.
Nasihat saya kepada mereka yang mengalami gejala stres agar tidak
menjadikan tekanan sebagai penghalang kejayaan hidup dan menjadi seorang
yang berputus asa. Rasulullah SAW pernah bersabda sewaktu ditanya oleh
sahabat,
"Siapakah orang yang paling banyak sekali terkena ujian?" jawab
baginda, "Nabi-nabi dan seterusnya orang yang seumpama mereka. Maka
barangsiapa yang tebal imannya nescaya banyaklah ujian yang akan
menimpanya dan barangsiapa yang lemah imannya, sedikit pula ujiannya."
(Hadis Riwayat Ibnu Hibban)
Setiap yang bermula pasti akan berakhir, Tiap masalah ada
penyelesaiannya dan tiap penyakit ada penawarnya. Yakinlah pada Allah
SWT, nescaya Dia pasti membantu kita. Insya-Allah.
No comments:
Post a Comment