Soalan:
Saya
Siti Juliana ingin bertanya bagi pihak ayah saya. Ayah saya berumur 60
tahun mengidap penyakit kencing manis sejak 10 tahun yang lalu. Tahap
suntikan insulin yang perlu diambil ialah sebanyak 14 unit pada siang
hari (3 suntikan) dan 20 unit pada waktu malam. Masalahnya beliau sering
mengalami kebas kaki dan tangan hampir setiap hari, dan pada waktu
malam akan menjadi lebih kebas berbanding dengan waktu siang. Ada kah
penyakit kencingt manis ini boleh diubati? Apakah ayat-ayat Al-Quran
yang patut dibaca oleh ayah saya. Saya berharap Tuan Haji Lokman dapat
menjawab soalan saya ini.
Jawapan:
Kencing
manis atau “diabetes” adalah satu keadaan di mana tahap gula di dalam
darah lebih tinggi daripada biasa. Kencing manis berlaku apabila
pankreas dalam badan tidak lagi menghasilkan insulin atau apabila badan
kita sudah tidak lagi sensitif dengan insulin dalam badan. Apabila
insulin gagal dihasilkan atau tidak berfungsi dengan baik, ia tidak
dapat membawa masuk glukos atau gula ke dalam sel dan tisu badan kita
sebagai simpanan. Akibatnya, darah kita akan mempunyai kadar gula yang
terlalu tinggi untuk sel-sel badan kita. Secara amnya, seseorang itu
dianggap menghidap penyakit kencing manis apabila kadar gula dalam darah
semasa berpuasa adalah lebih daripada tahap 7 atau kadar gula selepas
makan adalah lebih daripada tahap 11.
Kencing
manis terbahagi kepada kencing manis jenis 1 (bergantung kepada
insulin) yang biasanya berlaku di kalangan kanak-kanak dan remaja.
Kencing manis jenis 2 (tidak bergantung kepada insulin) yang selalu
dihidapi oleh golongan orang berumur atau mempunyai berat badan
berlebihan. Terdapat juga kencing manis semasa mengandung (gestational
diabetes). Kencing manis adalah pembunuh yang senyap (silent killer)
kerana penyakit ini boleh menyebabkan sesaorang pesakit kencing manis
itu menjadi buta, mengalami komplikasi buah pinggang, masalah jantung,
strok dan gangrene yang selalunya mengakibatkan amputasi kaki akibat
luka yang lambat untuk sembuh atau mengalami jangkitan kuman
(infection) yang kronik.
- Statistik kes-kes diabetes di Malaysia
Pada
tahun 2011, Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Nasional (NHMS)
melaporkan kira-kira 2.6 juta rakyat Malaysia disahkan mengidap penyakit
kencing manis. Malah, didapati bahawa 1 daripada 7 orang dewasa di
Malaysia menghidap penyakit tersebut. Keadaan ini amat membimbangkan dan
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah melaporkan bahawa Malaysia
berada di tangga ke-10 di dunia sebagai negara yang mempunyai jumlah
pengidap kencing manis yang sangat ramai. Satu pencapaian yang kita
tidak patut bangga dan sepatutnya bimbang akan kesihatan rakyat negara
ini. Dalam pengalaman saya merawat pesakit-pesakit kencing manis,
negeri-negeri pantai timur semenanjung mempunyai jumlah pesakit yang
lebih ramai berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia. Ini
mungkin disebabkan oleh faktor budaya pemakanan orang-orang pantai timur
yang gemar kepada makanan yang berunsur karbohidrat seperti nasi, pulut
dan manisan.
Penyakit
kencing manis disebabkan oleh beberapa faktor. Di antara punca-punca
utama yang dikenalpasti adalah jumlah berat badan berlebihan (obesiti),
faktor keturunan, tahap kolesterol yang tinggi, stress atau tekanan
emosi yang berlebihan & berterusan, pengambilan alkohol yang banyak,
amalan pemakanan tidak berkhasiat atau tidak seimbang, kurang membuat
aktiviti fizikal (senaman) dan tekanan darah tinggi. Selalunya, sesiapa
yang mempunyai lebih daripada satu punca-punca yang disebut tadi
mempunyai risiko yang tinggi untuk menghidap penyakit kencing manis.
- Tanda-tanda awal kencing manis
Tanda-tanda
awal apabila seseorang itu mula menghidapi penyakit kencing manis
adalah penurunan berat badan yang mendadak, luka yang lambat sembuh,
sering buang air kecil, selalu rasa lapar dan rasa haus yang luar biasa,
kabur penglihatan, rasa kebas-kebas di kaki dan tangan, otot lemah,
sentiasa berasa letih, cepat marah dan bagi wanita, gatal di bahagian
kemaluan.
- Pencegahan penyakit kencing manis
Dari
segi perubatan moden, penyakit kencing manis tidak dapat diubati,
tetapi boleh dikawal. Namun, kami di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah
yakin bahawa penyakit kencing manis ini boleh diubati dengan mengamalkan
ayat-ayat Al-Quran yang tertentu dan dengan keizinan Allah swt. Selain
daripada mengamalkan ayat-ayat Al-Quran yang tertentu, beberapa langkah
yang dapat dilakukan untuk merawat dan mencegah penyakit kencing manis
adalah dengan pengambilan makanan dan diet yang seimbang, melakukan
senaman dengan kerap, mengawasi kadar gula dalam darah, tidak merokok
dan mengawal berat badan.
Kepentingan
pengambilan makanan yang berzat dan yang tidak memudaratkan badan
turut ada ditekankan di dalam Al-Quran seperti di dalam firman Allah swt
di dalam surah Al-Baqarah ayat 168 yang lebih kurang bermaksud “Hai manusia! Makanlah sebahagian dari makanan yang ada di bumi ini yang halal dan baik.”
Rakyat Malaysia yang mempunyai risiko tinggi untuk mengidap penyakit
kencing manis harus mempunyai kefahaman tentang bahaya penyakit kencing
manis dan perlu melakukan pemeriksaan kesihatan tahunan bagi
mengenalpasti penyakit kencing manis di peringkat awal.
- Rawatan moden penyakit kencing manis
Matlamat
utama dalam rawatan bagi penyakit kencing manis adalah untuk
mengurangkan tahap gula dalam darah, dari kadar yang luar biasa ke tahap
gula yang lebih rendah dan normal. Penyakit kencing manis jenis 1 boleh
dirawat dengan pengambilan insulin, senaman dan pemakanan yang sihat
dan seimbang. Penyakit kencing manis jenis 2 pula boleh dirawat dengan
penurunan berat badan, mengamalkan diet yang sesuai bagi pesakit kencing
manis dan aktiviti senaman yang konsisten. Jika langkah-langkah ini
gagal mengawal kadar gula darah yang tinggi, ubat-ubatan hospital boleh
digunakan. Jika ubat-ubatan tersebut masih tidak mencukupi untuk
mengawal kadar gula dalam darah, maka rawatan dengan suntikan insulin
boleh digunakan.
- Rawatan penyakit kencing manis dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran
Di
Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, pesakit kencing manis akan diberi
ayat-ayat berikut untuk mereka amalkan dan seterusnya disertai dengan
doa kepada Allah swt untuk memohon penyembuhan. Ayat-ayat yang perlu
diamal adalah:
1. Surah Al-Anbiya’ ayat 62 hingga 73
2. Surah An-Nahli ayat 66 hingga 74
3. Surah Huud ayat 46 hingga 53
4. Surah Al-Kahfi ayat 28 hingga 44
5. Surah Al-Qasas ayat 29 hingga 40
6. Surah Al-Maidah ayat 62 hingga 75
Cara
amalan ayat-ayat Al-Quran tersebut ialah, pesakit hendaklah membaca
surah pertama iaitu surah AL-Anbiya’ tiga kali pada waktu malam dan
surah kedua iaitu surah An-Nahli tiga kali pada waktu siang. Pembacaan
ini hendaklah diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu.
Selepas membaca tiga kali, pesakit perlu memohon doa kepada Allah swt
untuk penyembuhan. Selepas membaca dua surah pertama tadi, pesakit
hendaklah mengulang amalan-amalan tersebut dengan surah-surah yang
berikutnya.
Adalah
lebih baik sekiranya pesakit datang untuk berjumpa dengan
perawat-perawat Al-Hidayah terlebih dahulu supaya dapat kami memeriksa
jikalau ada kesan-kesan sampingan yang disebabkan oleh penyakit kencing
manis ini. Sekiranya ada kesan sampingan, kami boleh memberi ayat-ayat
Al-Quran yang lain untuk merawat kesan-kesan sampingan tersebut.
Adalah
dinasihatkan agar pesakit yang ingin berubat dengan menggunakan
ayat-ayat Al-Quran ini tidak berhenti terus mengambil ubat-ubat yang
telah diberi oleh pihak hospital, tetapi boleh mengurangkan dos
pengambilan ubat-ubat hospital secara perlahan-lahan mengikut kadar
pemulihan pesakit. Terapi penyembuhan melalui ayat-ayat Al-Quran ini
memakan masa, disiplin dan kesabaran. Kaedah rawatan ini bukan lah
seperti “magic”, hari ini pesakit membaca ayat-ayat
yang diberi dan esok nya pesakit mengharap penyakit itu sembuh. Pesakit
mesti yakin akan mukjizat ayat-ayat Al_Quran ini dan yang paling penting
sekali ialah doa kepada Allah swt memohon penyembuhan serta keberkatan
dan rahmat dari Dia.
Kepada
semua pesakit kencing manis di luar sana, janganlah berputus asa untuk
berusaha dan mendapatkan rawatan untuk menyembuhkan penyakit ini. Ramai
pesakit yang telah berusaha berubat dengan ayat-ayat Al-Quran ini dan
ada yang telah sembuh, dan ada yang masih lagi menjalani proses
rawatan. Yakinlah bahawa dengan mukjizat ayat-ayat Al-Quran ini,
penyakit kencing manis boleh dirawati, Inshallah.
Dari Abu Hurairah ra, bahawasanya Nabi Muhammad saw bersabda: "Tidaklah Allah menurunkan suatu penyakit, melainkan dia juga menurunkan Ubatnya" - Hadith Sahih Bukhari.
|
No comments:
Post a Comment