Sunday, February 24, 2013

BEBAN PSIKO SOSIAL KANSER



Subsidi bagi pemeriksaan mamogram kepada wanita berusia 40 tahun ke atas adalah sebahagian usaha mengurangkan risiko kanser payu dara - Gambar hiasan 
KANSER merupakan salah satu penyakit kronik yang amat ditakuti oleh orang ramai. 

Mengikut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kanser menyumbang sebanyak 13 peratus (7.4 juta) daripada keseluruhan kematian di dunia pada tahun 2008.

Kematian akibat kanser dijangka akan terus meningkat dengan anggaran 12 juta orang mati akibat kanser menjelang tahun 2030.

 Subsidi bagi pemeriksaan mamogram kepada wanita berusia 40 tahun ke atas adalah sebahagian usaha mengurangkan risiko kanser payu dara - Gambar hiasan
Kadar kejadian penyakit kanser meningkat dengan pertambahan usia. Seperti negara-negara maju atau membangun yang lain, Malaysia menghampiri peralihan epidemiologi, di mana penyakit-penyakit kronik yang berkaitan dengan gaya hidup seperti kardiovaskular dan kanser telah meningkat. 

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Sirlin, kanser boleh berlaku pada setiap individu tanpa mengira usia dan jantina, sama ada miskin atau kaya serta memberi beban kewangan dan psiko sosial yang besar kepada pesakit, keluarga dan masyarakat. 

Katanya, kanser merupakan penyebab kematian keempat terpenting yang berlaku di hospital-hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di seluruh negara.


Pada tahun 2011 saja ia menyumbang sebanyak 11.2 peratus daripada keseluruhan kematian yang berlaku.
''Berdasarkan jumlah kes-kes kanser baru pada tahun 2008 yang dilaporkan kepada Pendaftar Kanser Kebangsaan, lima jenis kanser paling penting di kalangan lelaki di negara kita ialah kanser paru-paru (15.8 peratus), kolorektal (15.8 peratus), nasofarink (9.4 peratus), limfoma (7.2 peratus) dan prostat (6.2 peratus). 

''Sementara itu di kalangan wanita, kanser paling penting ialah kanser payu dara (32.3 peratus) diikuti dengan kanser kolorektal (10.4 peratus), servik (8.5 peratus), paru-paru (5.7 peratus) dan ovari (5.4 peratus).

''Walaupun jumlah pesakit kanser di negara ini lebih rendah berbanding penyakit-penyakit kronik yang lain seperti diabetes dan kardiovaskular, beban kewangan serta psiko sosial yang ditanggung oleh pesakit, keluarga dan masyarakat adalah jauh lebih besar," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Beliau memberitahu, kebanyakan kejadian dan kematian akibat kanser boleh dielakkan dengan pengurangan faktor risiko, pengesanan awal dan rawatan segera.

Katanya, lebih daripada 30 peratus kanser boleh dicegah dengan mengubah atau mengelakkan faktor-faktor risiko yang boleh menyebabkan kanser. 

''Faktor risiko utama terhadap kejadian kanser adalah dikaitkan dengan gaya hidup iaitu amalan merokok, tidak aktif secara fizikal, mempunyai berat badan berlebihan atau obes, kurang pengambilan buah-buahan sayur-sayuran dan amalan pengambilan alkohol. 

''Selain dari faktor risiko yang dikaitkan dengan gaya hidup, jangkitan oleh beberapa jenis virus seperti Human Papiloma Virus (HPV) dan virus Hepatitis B juga boleh menyebabkan kanser. 

''Jangkitan HPV merupakan faktor risiko utama kanser servik dan jangkitan virus Hepatitis B (HBV) adalah antara faktor yang menyebabkan kanser hati," jelasnya.

Statistik daripada KKM menunjukkan, pada tahun 2011, kanser paru-paru merupakan penyebab kematian kanser yang paling penting bagi seluruh kematian akibat kanser yang berlaku di semua hospital di seluruh negara iaitu 17.5 peratus diikuti oleh kanser payu dara (10.2 peratus) dan kolorektal (8.5 peratus). 

Jelasnya, peratus kematian yang tinggi ini adalah disumbangkan oleh kanser yang dikesan lewat, namun peluang untuk sembuh sebenarnya adalah tinggi sekiranya kanser dikesan pada peringkat awal.

No comments: