Saturday, February 9, 2013

KES ANAK DILARIKAN BERSAMA KERETA

KEHILANGAN kanak-kanak berusia 6 tahun, William Yau Zhen Zhong telah mendapat perhatian kebanyakan media utama negara. 

Kanak-kanak ini dilaporkan ditinggalkan oleh ibu dan bapanya dalam kereta untuk membeli barang di kedai pada jam 8.30 malam. Semasa ibu dan bapanya kembali ke kereta dalam masa 15 minit, kanak-kanak berkenaan tiada dalam kereta. Hampir seminggu selepas kejadian, mayat yang disyaki adik William Yau telah ditemui di Klang. 

Selepas beberapa hari, satu lagi kes melarikan kanak-kanak pula dilaporkan di Kuching, Sarawak semasa ibunya ke tandas di sebuah stesen petrol dengan meninggalkan anaknya berusia 8 tahun di dalam kereta dengan enjinnya masih hidup. 

Pencuri kereta telah membawa kanak-kanak berkenaan. Sangat bernasib nasib baik, dalam kejadian kanak-kanak berkenaan berjaya ditemui kerana pencuri kereta berkenaan meninggalkan kanak-kanak berkenaan di hadapan sebuah pasar raya.

 GAMBAR HIASAN

Selang beberapa hari sahaja, di Kuala Terengganu sebuah pasangan meninggalkan anak berusia 3 tahun sedang tidur dalam kereta untuk ke tandas di sebuah lagi stesen minyak pada jam 10.30 pagi. 

Pencuri telah melarikan kereta bersama anak berkenaan. Dengan bantuan dan tindakan segera pihak polis, kanak-kanak dan kereta telah berjaya ditemui dan pencuri telah diberkas. 

Dalam ketiga-tiga kes, kita terpaksa menyalahkan ibu bapanya kerana sikap terlalu mengambil mudah sesuatu perkara atau take things for granted. Sekiranya kanak-kanak berkenaan diculik, penculik berkaitan bersalah dan telah melakukan jenayah, namun kealpaan ibu bapa telah membantu untuk membolehkan penculik atau pencuri berkenaan berjaya melaksanakan perkara yang diingini. 

Paling memilukan keadaan adik William yang ditemui mati dalam sungai. 


Beberapa perkaitan atau persamaan boleh kemukakan di sini. Dua daripada tiga kejadian di atas berlaku pada waktu pagi manakala satu kes berlaku pada waktu malam, ketiga-tiganya melibatkan kereta dan dalam kesemua kejadian berkenaan enjin kereta hidup semasa ibu atau bapa meninggalkan anak berkenaan. Dalam dua kejadian, insiden berkenaan telah berlaku di stesen minyak dan dalam dua-dua kejadian berkenaan ibu dan bapa sama-sama meninggalkan anak mereka dalam kereta. 

Kesemua perkara ini telah mengejutkan kita bahawa betapa mudahnya perlindungan dan hak perlindungan kanak-kanak dikendalikan oleh rakyat Malaysia. 

Saya tidak nafikan kesemua ibu bapa kanak-kanak yang dilarikan atau mungkin diculik pencuri sangat menyayangi anak mereka. Tetapi, kenapa kesayangan terhadap anak tidak diambil kira semasa ibu bapa ke kedai atau ke tandas? 

Bawalah anak berkenaan ke tandas jika ibu bapa hendak ke tandas. Kenapa kedua-dua ibu dan bapa keluar meninggalkan kereta tanpa orang dewasa dalam kereta. Alangkah baiknya jika salah seorang daripada ibu atau bapa menjaga anaknya dalam kereta. 

Apa pun, perkara yang terjadi telah berlaku. Di sini kita tidak perlu mencari siapa yang betul dan salah. Perkara yang sangat penting, kesemua kita perlu mengambil iktibar di atas kejadian telah berlaku. Kita tidak seharusnya leka ataupun alpa semasa membawa anak dalam kereta. Jika membawa anak yang ramai ke sesuatu tempat, sebaik-baiknya kedua-dua suami dan isteri perlu pergi bersama. 

Pihak yang telah menggubal dan meluluskan Akta Kanak-Kanak 2001 untuk memastikan kanak-kanak dilindungi di negara ini, kini dalam dilema. Adakah akta ini belum memadai untuk mencegah atau menghapuskan masalah pengabaian kanak-kanak di negara kita. 

Adakah ibu bapa yang cuai perlu dikenakan denda yang lebih berat ? atau peranan masyarakat dan sistem sokongan sosial perlu diperkukuh untuk mengurangkan masalah kepada kanak-kanak. 

Akhir sekali saya menyeru dan merayu kepada semua pihak termasuk ibu bapa, agensi-agensi kerajaan, pihak penguatkuasaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), dan semua masyarakat Malaysia agar memberi perhatian dan kesungguhan dalam mencegah kes pengabaian kanak-kanak termasuk kes kanak-kanak yang ditinggalkan oleh para ibu bapa dalam kenderaan.

No comments: