SUHU badan yang agak panas, dengan tangisan tanpa
henti seorang bayi boleh membuatkan mana-mana ibu gusar. Pada mulanya
Norma (bukan nama sebenar) menyangka keadaan itu mungkin kerana anaknya
sedang tumbuh gigi ataupun perutnya berangin.
Kegusaran Norma bertambah dan terlintas di hati persoalan mungkinkah
ia sesuatu yang lebih serius? Dia dan suami lantas segera membawa bayi
mereka ke hospital pakar berdekatan.
Jika anda seorang ibu atau bapa, pasti anda akan melakukan tindakan sama seperti Norma.
Bila dikatakan kecemasan, bukan dari segi kecederaan fizikal
semata-mata tetapi lebih kepada masalah kesihatan kronik yang semakin
menular kini. Antara yang paling biasa didengar, obesiti, penyakit
jantung, diabetes, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi mahupun asma.
Kementerian Kesihatan baru-baru ini melancarkan kempen ' 1,000 Hari
Pertama Kehidupan Ke Arah Generasi Sihat ' kerana menginsafi dalam
tempoh tersebut, simptom penyakit tidak berjangkit mudah menyerang bayi
dan kanak-kanak.
Menurut kajian, masalah kurang berat badan bayi ketika lahir dan
tidak mendapat cukup zat makanan memberikan kesan kepada penyakit tidak
berjangkit.
Dalam pada itu, hasil tinjauan kesihatan dan morbiditi kebangsaan
pada 2006 mendapati, kekurangan berat badan bagi kanak-kanak berusia
satu hingga tiga tahun adalah 19.8 peratus manakala susut badan 17.2
peratus.
Oleh itu, pemberian susu ibu kepada bayi yang baru lahir sehingga
berumur enam bulan secara eksklusif amat digalakkan memandangkan
khasiatnya dapat mengelakkan daripada terdedah dengan penyakit
berjangkit.
AntibodiMenurut Pakar Perunding Pediatrik Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Anthony James Mansul,
kempen tersebut sangat baik untuk memastikan ibu bapa mengambil berat
tentang aspek kesihatan anak-anak mereka mulai lahir hingga berumur tiga
tahun.
Walaupun kesihatan si kecil menjadi keutamaan melebihi segala-galanya
tetapi masih ramai tidak menyedari bahawa kesihatan anak mereka juga
boleh terjejas gara-gara kemerosotan imuniti tubuh berpunca daripada
nutrisi yang tidak mencukupi.
Tambah Dr. Anthony, bayi yang berusia bawah enam bulan jarang
diserang penyakit kerana pada peringkat ini, bayi mempunyai imuniti atau
pertahanan semula jadi yang dijana oleh badan terhadap penyakit.
Pertahanan terhadap penyakit bagi seorang bayi bermula ketika bayi
berada di dalam rahim ibu lagi. Ketika dalam rahim, antibodi daripada
darah ibu dibekalkan kepada bayi melalui tali pusat.
Antibodi daripada ibu akan melindungi bayi itu untuk jangka masa enam
bulan pertama hidupnya selepas lahir. Kemudian bayi tersebut akan mula
menjana antibodinya sendiri.
Ini menjelaskan mengapa seorang bayi itu lebih terlindung daripada
penyakit pada enam bulan pertama hidupnya dan mudah mendapat jangkitan
kuman selepas umur enam bulan.
"Namun bayi masih terdedah kepada pelbagai jenis kuman selepas
dilahirkan berpunca daripada persekitaran. Misalnya, bayi yang
dijangkiti kuman akibat jangkitan dengan kanak-kanak lain yang kebetulan
menghidapi selesema dan batuk di taska. Oleh itu, sebagai ibu bapa
perlu prihatin terhadap perubahan kesihatan anak.
"Bayi dan kanak-kanak Malaysia sangat bertuah kerana kita ada imunisasi yang baik untuk melawan penyakit," ujarnya.
Dr. Anthony memberitahu, proses imunisasi adalah satu kaedah
memasukkan suatu komponen kuman yang diketahui ke dalam badan manusia
untuk merangsang sistem imun manusia menjana antibodi yang spesifik
kepada kuman tersebut tanpa menyebabkan penyakit kepada penerima.
Apabila antibodi telah dihasilkan secukupnya, maka individu tersebut akan terlindung daripada penyakit itu hampir 100 peratus.
NutrisiKanak-kanak yang menerima nutrisi yang
seimbang akan membesar dengan baik serta menghasilkan antibodi yang
mencukupi untuk melindungi dirinya daripada penyakit.
"Nutrisi sangat penting terhadap kesihatan kanak-kanak. Dalam hal
ini, susu ibu merupakan nutrisi terbaik untuk seorang bayi baru lahir
sehingga umurnya lima hingga enam bulan yang memerlukan makanan tambahan
kemudiannya.
Pemakanan tambahan selain susu ibu ialah dari unsur beras atau gandum
akan ditambahkan lagi dengan sumber lain sehingga makanan diet yang
terdiri daripada nasi, daging , sayuran dan buah-buahan menjadi lebih
utama daripada susu.
Ibu bapa perlu mengetahui keperluan pemakanannya berbeza dan bertambah sepanjang tumbesaran seorang kanak-kanak," ujarnya.
Menurut Dr. Anthony, susu badan ibu atau susu formula sudah cukup
untuk membina dan menambahkan berat bayi enam bulan pertama hidupnya.
Susu ini mengandungi jumlah protein, lemak, karbohidrat yang tinggi serta vitamin dan elemen lain yang lengkap.
Ini akan membantu pembesaran seorang bayi sehingga mereka mula merangkak, berdiri dan berjalan.
Apabila bayi mencapai umur setahun ke atas, jumlah keperluan kalori, protein, lemak, vitamin dan elemen lain akan bertambah.
"Pada peringkat usia tersebut, kita melihat keperluan susu formula.
Berbeza dengan lima tahun dahulu, susu formula yang ada di pasaran
semakin baik. Ibu bapa tidak perlu lagi risau kerana mereka boleh
memberi apa jua susu formula mengikut kesesuaian anak mereka.
Nutrisi yang lengkap kepada seorang kanak-kanak memberikan peluang
baginya untuk mencapai status keupayaan mental dan fizikal yang baik.
Hasilnya, seorang kanak-kanak yang sihat tubuh badan boleh menghadiri
sekolah setiap hari, bersenam dan beriadah bersama ibu bapa," ujarnya.
Sebaliknya, apabila nutrisi berkurangan, peluang kanak-kanak itu
membesar tanpa serangan penyakit adalah tinggi manakala keupayaan mental
dan fizikal mereka lemah.
Selain nutrisi, persekitaran juga merupakan faktor penting yang mempengaruhi tahap kesihatan kanak-kanak yang sedang membesar.
Misalnya, bayi yang terpaksa ditinggalkan di taska atau rumah
pengasuh mungkin berpotensi tinggi mudah terkena jangkitan kuman dan
diserang penyakit walaupun menerima nutrisi yang lengkap.
Faktor ini berpunca daripada jangkitan virus yang berterusan dan berubah-ubah.
Oleh itu, bagi mengatasi masalah tersebut, ibu bapa perlu berani
merawat anak-anak mereka sendiri pada tahap awal penyakit termasuk
mempunyai stok ubatan mudah seperti ubat demam, selesema dan
cirit-birit.
Dengan rawatan awal, anak berpeluang untuk pulih lebih cepat dan
imunisasi perlu diberikan untuk melindungi anak-anak daripada penyakit
berjangkit yang boleh menyebabkan kematian atau kecacatan kekal.
Dr. Anthony turut menasihati ibu bapa supaya mendidik anak mereka bersenam seperti bermain di taman permainan kanak-kanak.
"Faktor ini penting untuk melatih badan menghasilkan antibodi secara
semula jadi. Aktiviti fizikal ini juga penting untuk membentuk generasi
akan datang minat bersukan dan bersenam sebagai langkah awal mengelak
serangan penyakit," ujarnya.
No comments:
Post a Comment