Bertanyalah
Diri, Apa Yang Allah Mahukan?
Orang yang cuba
mencapai piawaian tertentu dalam kerjanya biasanya akan tekun melaksanakan tugasannya itu. Pernahkah kita
mengambil berat tentang piawaian Allah dalam setiap kerja kita?
Rahsia menjana
kuasa ketekunan luar biasa dalam diri seseorang ialah memahami apa yang
dilakukannya itu dari ‘kasut’ Ilahi. Bertanyalah pada diri, apa yang Allah
mahukan daripada kerjaku ini?
Allah Mahukan
Kita Mengamalkan Islam yang Syumul
Allah mahukan
kita mengambil Islam secara keseluruhan sebagai sistem hidup kita. Bukan
separuh-separuh. Bukan cebisan-cebisan. Bukan mengikut selera kita
sahaja.
Firman Allah
SWT, “Wahai orang-orang
yang beriman, masuklah Islam secara keseluruhan. Janganlah kamu mengikuti jejak
langkah syaitan.” (Al-Baqarah:208).
Contohnya, kita
bukan sahaja tidak makan khinzir dan minum arak dalam aspek pemakanan bahkan
tidak mendekati zina sebelum berkahwin dalam aspek muamalat.
Piawaian Allah
supaya kita mengamalkan Islam secara keseluruhan akan memotivasikan diri untuk
berusaha dengan tekun dan lebih tekun. Realitinya, ia memang sukar
dilaksanakan. Namun, ia memberi kita target untuk dicapai.
Allah Mahukan
Kita Hidup Memberi Manfaat
Sabda Rasulullah
SAW yang berkata-kata dengan petunjuk wahyu bukannya nafsu, mafhumnya, “Sebaik-baik
manusia ialah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain.” (Riwayat
al-Baihaqi, Sahih al-Jami’ al-Shaghir wa
Ziyadatihi).
Daripada hadis
ini, apa yang Allah mahukan? Sudah tentu Allah mahukan kita banyak memberi dan
menyumbang kepada orang lain.
Orang mukmin
sentiasa mencari peluang untuk memberi manfaat kepada orang lain. Tanpa perlu
dipinta, disuruh atau dipaksa. Kata pepatah Arab, orang yang tidak mempunyai
apa-apa tidak akan memberi. Maka, untuk menyumbang kepada orang lain, sumbangkan
dahulu kualiti buat diri sendiri.
Allah mahukan
setiap mukmin cuba berperanan memenuhi semua aspek fakulti insan terhadap
dirinya sendiri. Maha Bijaksana Allah SWT yang menyeru kita menjadi umat
pertengahan dan seimbang.
Firman-Nya yang
bermaksud:
“Dan demikian
(pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil (pertengahan) dan
terpilih agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul
(Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. (Surah al-Baqarah: ayat 143).
Diri yang
dilengkapi kualiti akan mudah memberi manfaat kepada orang lain. Inilah
keseimbangan hidup.
Aspek-aspek
keseimbangan itu ialah:
1. Aspek fizikal
dan material
Praktikal:
a.
Memastikan makanan kita halal, baik dan berkhasiat.
b.Memastikan
pakaian kemas dan bersih.
c. Memastikan tempat tinggal tersusun rapi dan nyaman.
d. Memastikan kenderaan dalam keadaan yang memuaskan.
e. Memastikan orang di bawah tanggung jawab kita turut menikmati keperluan
ini.
2. Aspek akal
atau pemikiran
Praktikal:
a. Menguasai ilmu fardu ain dan fardu kifayah sedaya upaya.
b. Meluaskan
bacaan.
c. Melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan kebolehan.
d. Melakukan
aktiviti-aktiviti yang menajamkan minda atau IQ.
e. Banyak
berfikir, mengkaji dan berbincang.
f. Bercita-cita menjadi insan berilmu malah sebagai pakar rujuk.
g. Membantu
rakan-rakan, adik-adik atau sesiapa sahaja belajar.
3. Aspek
emosi
Praktikal:
a.
Memuhasabah sifat pemarah, memandang rendah, rendah diri dan
lain-lain.
b. Banyak
memahami sebelum minta difahami.
c. Menjadi
pendengar yang baik.
d. Melahirkan perhatian, simpati dan empati.
e. Merawat
tekanan emosi dengan kemahiran menyelesaikan masalah.
f. Menguasai
kemahiran interpersonal dengan baik.
4. Aspek rohani
atau spiritual
Praktikal:
a. Memantapkan akidah dan iman.
b. Mendalami
soal-soal akhirat seperti alam barzakh, padang mahsyar, syurga, neraka
dan
sebagainya.
c. Memahami
konsep dosa dan pahala.
Orang mukmin
yang menyedari keperluan untuk menjadi seimbang ini, akan tekun mencapainya. Setiap hari, dia menjadi tekun
untuk memasukkan kualiti baru ke dalam diri.
Allah Mahukan
Kita Hasilkan Kerja Yang Professional dan Berintegriti
Allah
mengabadikan kata-kata keramat puteri Nabi Syuaib di dalam al-Quran.
Maksudnya:
“Salah seorang daripada kedua-duanya berkata:
‘Wahai ayahanda, ambillah dia sebagai pekerja, sesungguhnya sebaik-baik pekerja
ialah yang kuat (al-qawiyy) lagi amanah (al-amin).’
Apa yang Allah
mahukan? Allah mahukan
hasil kerja yang professional (al-qawiyy) dan berintegriti
(al-amin).
Dalam peristiwa
yang terakam di dalam al-Quran ini, dua orang puteri Nabi Syuaib iaitu Syafura
dan Liya terpegun dengan keperibadian Nabi Musa a.s. Beliau bukan sahaja gagah
melaksanakan tugasannya ketika menolong mereka memberikan air kepada
binatang-binatang ternak, bahkan cukup amanah dan berakhlak mulia
melaksanakannya.
Lantas,
dilaporkan kepada si ayah. Nabi Syuaib pantas berminat menawarkan perkerjaan
kepada Nabi Musa. Jelas, dengan sifat professional dan berintegriti yang
dimasukkan dalam diri seseorang mengundang rasa kepercayaan dan kekaguman.
Kesedaran ini akan menjana sifat tekun untuk mencapai piawaian al-qawiyy dan al-amin di sisi Allah.
Dalam perkerjaan
yang kita lakukan samada belajar, membuat assignment, mengadakan perbentangan, belajar
berkumpulan, membuat persiapan untuk peperiksaan, mengikuti program peningkatan
diri serta kepimpinan dan sebagainya, Allah mahukan kita menjadi al-qawiyy (kuat lagi professional) serta al-amin (amanah dan berintegriti). Itulah hasil
kerja yang berkualiti dan perlukan ketekunan untuk
mencapainya.
Allah Mahukan
Kita Terbilang Dunia dan Akhirat
Firman Allah SWT
yang bermaksud,
“Dan carilah apa
yang telah dikurniakan kepadamu (kebahagian) di akhirat, dan janganlah kamu
melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) dunia.” (Surah al-Qashah:
77).
Apa yang Allah
mahukan? Allah mahukan kita cemerlang, gemilang dan terbilang di dunia dan
akhirat. Rasulullah SAW juga mengajar kita berdoa agar mendapat hasanah (kebaikan) di dunia dan di akhirat.
Sesetengah
remaja keliru sendiri, “Saya sudah belajar bersungguh-sunguh dan tidak bergaul
bebas, tapi keputusan peperiksaan saya biasa-biasa sahaja. Baik jadi macam dia.
Dia studi lepak-lepak, bercinta pula tu, tapi result gempak. Dia lebih berjaya.” Kepercayaan
silap ini mempengaruhi sikap dan tindakan remaja itu untuk tidak lagi tekun mencapai kesungguhan dalam belajar dan
keindahan dalam berakhlak.
Hakikatnya ramai
orang yang masih tidak tahu erti berjaya meskipun setiap orang menginginkannya.
Adakah berjaya itu apabila mendapat keputusan berderet A tetapi asyik derhaka
kepada Allah dengan bergaul bebas sebelum berkahwin? Adakah berjaya itu apabila
dinobatkan sebagai pelajar terbaik tetapi menyombongkan diri daripada orang
sekeliling? Adakah berjaya itu apabila kebijaksanaannya dikagumi orang tetapi
berakhlak buruk?
Berjaya yang
hakiki ialah apabila dapat menatap wajah Allah, keredhaan-Nya dan syurga yang
abadi. Maka, segala apa yang kita usahakan di dunia mestilah bermatlamatkan
akhirat. Jika usaha kita tanpa disertai niat dan akhlak ahli syurga, kejayaan
daripada usaha itu hanyalah bersifat sementara, menipu daya dan tidak ke
mana.
Maka, mukmin
yang sedar akan tekun melengkapi diri dengan kualiti dunia dan
akhirat kerana hidup ini menjadi penting dengan adanya negeri abadi. Setiap
perbuatan baik walau sebesar zarah akan dihargai dan setiap perbuatan jahat
walau sebesar zarah akan dibalasi.
Target Mencapai
Piawaian Allah
Lakukanlah
sesuatu dengan meletakkan piawaian Allah SWT di hadapan sebagai target yang
ingin dicapai. Insya-Allah, ia suatu rahsia hebat untuk menjana ketekunan atau jiddiyyah yang luar biasa dalam hidup
kita.
SUMBER: http://sebarkanbahagia.blogspot.com/< Prev | Next > |
---|
//Pembangunan
Dibangun dan diselenggara oleh BPM/MPIC dengan menggunakan CMS Joomla 1.5.22. Platform yang digunakan adalah Ubuntu Linux Server Edition 10.10Kemaskini terakhir : 21 Januari 2013
//Sokongan & Bantuan
Pengguna boleh membuat aduan bagi segala permasalahan pengkomputeran harian anda di MPIC ICT Helpdesk yang beralamat di http://intranet.kppk.gov.my/helpdesk.Pengguna juga boleh menghubungi Pentadbir Laman Intr@netMPIC V7 di alamat zamdafilla @ mpic.gov.my | 3422 | faridah @ mpic.gov.my | 8330
No comments:
Post a Comment