Saturday, November 9, 2013

PENYAKIT KELAMIN


MINI, 19, mendapatkan rawatan doktor setelah mulutnya dijangkiti kudis yang teruk. Pada mulanya Mini enggan memberitahu hal sebenar tetapi apabila diasak dengan pelbagai soalan barulah remaja ini membuka rahsia. 

Katanya bagi mengekalkan dara, dia sering melakukan seks oral dan seks anal dengan pasangan. 

Malah remaja berkenaan juga mengaku sering bertukar pasangan atas alasan tidak cool jika kekal dengan satu pasangan saja. 

Katanya, ini adalah trend baru dalam kalangan remaja yang ingin mengekalkan dara untuk suami masing-masing.

Nampaknya semakin maju negara, semakin banyak masalah sosial yang melanda. Mujurlah sehingga kini rakyat Malaysia masih menjunjung agama, kesusilaan dan adat-resam. 

Bagaimanapun ancaman gejala sosial kini semakin melingkungi generasi Y iaitu anak-anak muda sekarang.
Jika tidak dibendung, dikhuatiri pelbagai masalah sosial sehingga membawa penyakit akan menghinggapi golongan ini khususnya remaja perempuan. 

Menurut Pakar Runding Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Kelana Jaya, Petaling Jaya, Dr. Dharmini Veerakumaran, masalah sosial bermula dengan pendidikan seks yang lemah, pendedahan yang melampau kepada Internet tanpa kawalan, kurangnya kawalan ibu bapa dan penglibatan guru di sekolah. 

"Ini menyebabkan remaja sering terjebak dalam seks di bawah umur kerana mereka tidak diberikan penerangan yang betul mengenainya," katanya. 

Dr. Dharmini menambah, kini kanak-kanak seawal 5 tahun telah didedahkan dengan dunia tanpa sempadan. 

"Malah anak yang belum tadika sudah pandai dan bebas menggunakan iPad dan tablet, mencari maklumat dalam Internet yang boleh diakses di tempat awam. Dalam usia begini, mereka tidak dapat memilih mana yang benar dan salah. Ada kalanya mereka terbabas ke laman porno," katanya. 

Dalam hal ini, tegas beliau, peranan ibu bapa penting dalam memberikan bimbingan kepada anak-anak ketika mencari maklumat di Internet. Ibu bapa juga perlu sering berkomunikasi dengan anak-anak dan bertanya ke mana anak-anak sering pergi dan apa yang mereka lakukan. 

Dr. Dharmini berkata, guru juga perlu memainkan peranan dengan mengambil berat apa yang berlaku kepada murid mereka. 

"Jika tidak anak-anak ini akan berpaling kepada kawan-kawan yang boleh memberikan pengaruh yang tidak elok," katanya. 

Apabila keadaan tidak terkawal, remaja terutama perempuan akan terdedah kepada pelbagai masalah sosial seperti seks di usia muda dan mempunyai banyak pasangan seks. 

Mereka bukan saja terdedah kepada penyakit kelamin tetapi juga boleh merebakkan penyakit kepada orang lain. 

Remaja perempuan ini akan terdedah kepada penyakit kelamin seperti herpes yang menyebabkan kudis di bahagian badan. 

Mereka yang sering bertukar pasangan juga terdedah kepada virus human papillomavirus (HPV) meningkatkan kebarangkalian kanser serviks. 

Remaja ini juga jelas Dr. Dharmini juga terdedah kepada hepatitis B dan C serta HIV akibat sering bertukar pasangan serta pasangan yang mempunyai ramai pasangan lain. 

Mereka juga terdedah kepada bakteria dan fungus yang menyebabkan pelbagai penyakit kelamin kerana sering bertukar pasangan dan tidak menjaga kebersihan. 

Apa yang menyedihkan perkara sebegini telah mula menjadi gaya hidup apabila terdapat gadis remaja yang melakukan seks luar tabii semata-mata untuk menyimpan dara mereka. 

Dr. Dharmini berkata, sebenarnya bukan hanya dara saja penting tetapi seluruh tubuh, mental dan fizikal. 

Ujian HIV yang dilakukan ke atas calon pengantin Islam perlu diperluaskan tanpa mengira bangsa dan agama. 

"Ini bukan saja dapat melahirkan generasi yang sihat tetapi juga mengelakkan penyakit berkaitan kelamin merebak. 

"Bakal pengantin juga perlu menghadiri kursus perkahwinan sebagai satu cara untuk menyiapkan diri dalam alam perkahwinan," katanya. 

Selain itu jelas Dr. Dharmini, pesakit perlu menjalani rawatan supaya penyakit yang dihidapi tidak merebak. 

Apa yang penting katanya, remaja perlu mengelakkan melakukan seks sebelum nikah sama ada seks tabii atau luar tabii bagi menghalang pelbagai masalah sosial seperti pembuangan bayi dan yang paling berbahaya perebakan penyakit kelamin. 

Remaja juga perlu dididik mengenai bahaya mempunyai banyak pasangan seks demi kesihatan fizikal, mental dan masa depan mereka.

No comments: