Soalan
DOKTOR, saya rasa amat runsing. Saya mengalami
masalah urat simpul dah agak lama. Saya pernah berjumpa doktor dan saya
dengar doktor sebut masalah yang saya alami sebagai 'varicose vein'.
Makin lama, urat simpul tersebut makin ketara. Saya mudah terasa
lenguh-lenguh pada bahagian betis. Saya takut untuk berjumpa doktor lagi
kerana sudah tentu mereka akan melakukan pembedahan. Harap doktor dapat
membantu. Terima kasih.
n Zarina, Sabah
Jawapan
Jangan runsing, masalah urat simpul adalah masalah yang biasa dialami
oleh kaum hawa. Anda mungkin pernah melihat sesetengah orang mempunyai
salur darah berwarna ungu atau biru yang kelihatan nyata pada bahagian
bawah kaki mereka. Inilah urat simpul (vena varikos). Ia lebih banyak
berlaku pada wanita berbanding lelaki. Urat simpul biasanya kelihatan
pada kaki, betul-betul di bawah kulit, tetapi ia juga boleh berlaku pada
mana-mana bahagian badan anda.
Salur darah atau vena mempunyai injap yang menghalang darah yang
sedang menuju ke jantung daripada mengalir secara mengundur. Urat simpul
berlaku apabila injap ini tidak berfungsi dengan betul dan dinding
salur darah menjadi lemah. Darah terkumpul di tempat yang lemah ini.
Apabila ini berlaku, dinding salur darah itu mula meregang dan kendur,
salur darah itu sendiri membengkak dan anda boleh melihatnya di bawah
kulit.
Urat simpul berlaku kepada kira-kira satu dalam tiga wanita. Anda
lebih berkemungkinan mengalaminya jika ia berlaku pada ahli keluarga
yang lain atau jika berat badan anda berlebihan.
ElakMalangnya, tidak banyak yang anda boleh lakukan
untuk mengelak atau menghalang masalah ini daripada berlaku. Tetapi
jangan putus asa. Ada beberapa perkara yang anda boleh cuba, iaitu
baring atau tidur mengiring ke kiri untuk mengurangkan tekanan ke atas
vena kava inferior anda. Letakkan bantal di bawah kaki dan satu lagi di
belakang anda, jangan duduk atau berdiri untuk jangka masa yang lama.
Berjalan-jalanlah sekurang-kurangnya sekali setiap setengah jam. Anda
juga boleh membuat beberapa senaman ringkas seperti berjalan untuk
melancarkan peredaran darah. Jika anda perlu duduk di meja sepanjang
hari di tempat kerja, jangan silangkan kaki. Tinggikanlah kaki anda
bila-bila boleh. Gunakan bangku kecil atau kotak. Pertambahan berat yang
terlalu banyak dan terlalu cepat boleh membuatkan anda mudah mengalami
urat simpul. Cuba amalkan diet yang sihat dan seimbang. Terdapat juga
pelbagai jenis seluar ketat (tights) dan stokin khas untuk ibu
mengandung yang anda boleh cuba pakai untuk mengelakkan darah dari
berkumpul di kaki.
Pakai seluar ketat atau stokin ini sebelum anda bangun dari katil
pada waktu pagi supaya darah tidak berpeluang untuk berkumpul di kaki.
Tiada jaminan seluar ketat atau stokin ini dapat menghalang urat simpul
daripada berlaku atau menghalangnya daripada menjadi teruk, tetapi ia
mungkin dapat mengurangkan ketidakselesaan yang anda rasa.
Biasanya urat simpul tidak menyebabkan masalah serius. Tetapi jika ia
berlaku di kawasan perineum iaitu kawasan di antara faraj dan dubur,
doktor anda perlu mengawasinya dengan serius semasa anda bersalin.
Beliau akan memastikan semasa anda meneran, perineum anda tidak terkoyak
kerana ini boleh menyebabkan pendarahan yang teruk.
Jika urat simpul anda tidak hilang selepas bersalin, anda boleh
dapatkan rawatan. Namun, lebih baik jika anda tunggu sehingga anda telah
selamat melahirkan jumlah anak yang anda inginkan sebelum anda
menjalani rawatan kerana urat simpul berkemungkinan bertambah teruk
dalam setiap kehamilan seterusnya.
No comments:
Post a Comment