Saturday, November 9, 2013

BERSALIN DALAM AIR


Kaedah bersalin dalam air semakin popular di negara ini. 
 
MUNGKIN tidak ramai yang sedar mengenai kaedah bersalin dalam air yang semakin mendapat tempat di negara ini. 

Malah kaedah ini bukan sesuatu yang baru di negara ini walaupun ramai wanita hamil ragu-ragu untuk mencubanya. 

Sebenarnya bersalin di dalam air telah popular di beberapa negara maju sejak akhir 1990-an tetapi ia masih belum meluas di Malaysia. 

Ramai wanita yang masih mempertimbangkan baik-buruk kaedah berkenaan yang mengundang rasa bimbang untuk merasai pengalamannya.

Ramai ibu bimbang dengan risiko anak mereka mungkin lemas semasa dilahirkan di dalam air.

Bagaimanapun kelahiran puteri sulung angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, Sophea Isabella, 2, menerusi kaedah ini mula menarik perhatian selepas mendapat liputan meluas media. 

Ini secara tidak langsung memberikan sedikit sebanyak pengetahuan masyarakat mengenainya.

Sehingga kini beratus-ratus bayi telah dilahirkan dalam air sejak kaedah berkenaan diperkenalkan di dua buah hospital di Malaysia iaitu Hospital Island, Pulau Pinang dan Hospital Pantai Kuala Lumpur (HPKL) kira-kira lima tahun lalu.

Kajian menunjukkan bersalin dalam air menjadi satu cara penahan sakit semulajadi menggantikan ubatan yang biasa diambil ketika proses melahirkan yang mempunyai kesan sampingan.

Bersalin dalam air boleh dikatakan sebagai terapi yang memberi ketenangan kepada wanita terutama di peringkat akhir bersalin yang mampu meningkatkan tenaga wanita untuk menolak keluar bayi daripada rahim.
Perkara berkenaan diakui oleh salah seorang wanita yang melahirkan anak menggunakan kaedah itu, Ar'nie Rozan Krogh, 38.

Ar'nie yang mempunyai tiga anak yang dilahirkan secara normal, mengambil keputusan mencuba kaedah bersalin dalam air untuk anak keempatnya.

"Memang banyak beza bersalin di atas katil berbanding di dalam air. Jika saya tahu ada kaedah ini dahulu, kesemua anak saya pasti akan dilahirkan dalam air," katanya. 

Ar'nie melahirkan anak keempatnya di HPKL di bawah pemantauan Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr. Choong Kuo Hsiang pada 13 Julai tahun lalu.

Wanita kelahiran Singapura ini mengambil keputusan bersalin dalam air kerana menghadapi pelbagai komplikasi sejak melahirkan anak pertama lagi.

Apabila disahkan hamil anak keempat, Ar'nie terus mencari maklumat mengenai bersalin dalam air di Internet dan mencari doktor yang sesuai untuk menyambut bayinya. 

"Saya berjumpa Dr. Choong pada minggu ke-32 hamil. Semuanya berjalan lancar sehingga waktu hendak bersalin, saya berhadapan masalah kandungan air ketuban berkurangan serta bukaan serviks perlahan," katanya. 

Sebaik saja masuk ke dalam tab khas yang mengandungi air suam dengan suhu 37 darjah Celsius, perasaan menjadi tenang dan kesakitan yang ditanggung berkurangan. 

Sebelum itu Ar'nie terpaksa berada di hospital selama empat hari menanti serviksnya terbuka sepenuhnya.
"Saya mengalami kontraksi tiga hari sebelum bersalin, namun serviks masih tidak terbuka. Sepanjang di hospital saya dibenarkan melakukan apa sahaja aktiviti mengikut keselesaan termasuk menari, melakukan senaman ringan dan yoga bagi mempercepatkan bukaan.

"Sehingga pada Sabtu, doktor memasukkan ubat bagi mempercepatkan bukaan serviks dan setelah bukaan mencapai tujuh sentimeter, saya disuruh masuk ke dalam tab yang disediakan untuk melahirkan anak," katanya.

Apabila melihat sendiri badannya terapung di dalam air, perasaannya cukup selesa. 

"Ia seperti ubat penahan sakit semulajadi yang cukup berkesan. Berada di dalam air, saya bebas mencari posisi sesuai mengikut keselesaan dan apabila kontraksi kuat datang dengan sendirinya saya menolak bayi keluar.

"Bila perasaan tenang, kita lebih fokus dan ini membantu proses bersalin dengan lebih mudah berbanding jika berada di atas katil," katanya. 

Ar'nie menganggap bersalin dalam air adalah satu pengalaman yang cukup berharga buat diri dan anaknya Ariena Ayla yang kini berumur setahun.

Menurut Dr. Choong, apungan badan semasa berada dalam air boleh mengurangkan beban berat badan dan membolehkan wanita hamil bergerak bebas dalam tab yang disediakan.

"Mereka bebas mencari posisi sesuai sama ada mencangkung atau melutut bagi memudahkan kelahiran," katanya. 

Permintaan melahirkan bayi melalui cara alternatif ini semakin meningkat dan HPKL telah menyambut hampir 100 bayi dengan cara ini sejak diperkenalkan pada 2009.

Ketika serviks capai bukaan sekitar 5 sm, bakal ibu dibenarkan masuk ke dalam tab bagi memberi ketenangan menanti saat-saat kelahiran. 

Jika bakal ibu merasa tidak selesa bersalin dalam air, mereka boleh meminta untuk bersalin di atas katil yang turut disediakan di dalam bilik bersalin.

Bagaimanapun wanita yang telah mengambil ubat tahan sakit seperti epidural, tidak sekali-kali dibenarkan bersalin dalam air. 

Mengulas risiko bayi lemas menggunakan kaedah ini, Dr. Choong berkata, peratus kes bayi lemas di negara-negara yang menggunakan kaedah ini seperti Amerika Syarikat (AS), Itali, Australia, New Zealand dan United Kingdom (UK) terlalu kecil iaitu di bawah satu peratus.

No comments: