ASSALAMUALAIKUM, Tuan Haji. Saya mengalami
penyakit batu karang sejak empat tahun lalu. Saya sudah menjalani
pembedahan membuang batu dari buah pinggang tahun lepas. Tetapi penyakit
itu kembali dan saya selalu mengalami kesakitan hingga ke hari ini.
Kadang-kala keluar darah semasa saya buang air kecil. Bolehkah perubatan Islam merawat penyakit batu karang?
* Akmal, Langkawi
Jawapan
Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah kerap menerima pesakit dengan masalah
batu karang. Dianggarkan 15 hingga 20 peratus rakyat Malaysia mengalami
penyakit ini semasa hayat mereka.
Batu karang kerap berlaku di kalangan lelaki berumur antara 20 hingga
40 tahun. Namun, ada juga wanita yang mengalami masalah batu karang.
Sakit yang dialami biasanya teruk dan tidak hairan jika lelaki dewasa boleh menangis bila sakit batu karang menyerang.
Batu karangBatu karang merupakan butir-butir pepejal
keras yang terbentuk di dalam air kencing. Ia boleh terbentik di
mana-mana organ badan yang berkait dengan proses pembentukan dan
pembuangan air kencing seperti buah pinggang, pundi kencing dan saluran
ureter (saluran menghubungkan buah pinggang dan pundi kencing).
Bagaimana terbentukBatu karang terbentuk apabila kandungan bahan seperti kalsium, oxalate, cysteine atau
asid urik di dalam air kencing pada kadar yang tinggi. Batu boleh
terbentuk jika bahan tersebut pada kuantiti biasa tetapi jumlah air
kencing sangat rendah.
Bahan tersebut akan membentuk kristal halus yang kemudian melekat
pada dinding buah pinggang dan membesar hingga menjadi batu karang.
Biasanya, batu karang akan bergerak melalui saluran air kencing dan
keluar dari badan apabila kita membuang air kecil. Batu karang akan
menyebabkan rasa sakit jika saiznya besar dan tersekat di saluran air
kencing.
Punca Pakar perubatan percaya pembentukannya
dipengaruhi genetik, persekitaran, diet dan jangkitan kuman di saluran
kencing. Oleh itu, sukar untuk menjangka siapa mendapatnya. Jika ada
ahli keluarga pernah mendapat batu karang, maka anda mungkin boleh
dapatnya. Mereka yang pernah dijangkiti kuman di saluran kencing mudah
mendapatnya.
Simptom Simptom utama adalah rasa sakit teramat sangat di belakang atau pinggang, digambarkan lebih teruk daripada sakit bersalin.
Apabila sakit menyerang, ia berlanjutan selama 20 hingga 60 minit dan
dalam tempoh itu, sakit akan datang dan pergi. Hampir semua pesakit
batu karang ada kesan darah di dalam air kencing atau hematuria.
Ramai pesakit turut rasa sakit atau panas apabila kencing dan boleh
nampak butiran pasir halus di dalam air kencing. Ada mengadu demam,
menggigil, rasa loya dan muntah.
Namun, ramai pesakit yang tidak mempunyai sebarang simptom. Mereka
hanya tahu mengenai batu karang melalui pemeriksaan kesihatan bertujuan
mengesan penyakit lain.
Rawatan moden Rawatan bergantung pada saiz dan
lokasi, kadar kesakitan dan keupayaan pesakit untuk minum. Jika doktor
merasakan batu karang boleh keluar melalui air kencing kerana pesakit
boleh tahan sakit, makan minum seperti biasa, mereka boleh berehat di
rumah dan menunggu batu karang keluar sendiri.
Jika pesakit mengalami kesakitan teruk atau loya, doktor akan
menahannya di hospital dan memberi ubat tahan sakit dan memasukkan air
melalui saluran darah anda (IV fluids).
Jika pesakit mengalami demam dan sakit teruk, mereka akan ditahan di
hospital untuk rawatan dan mengelak jangkitan kuman lebih serius.
Jika batu karang tidak dapat keluar sendiri melalui air kencing,
doktor mungkin mengesyorkan pembedahan kecil atau prosedur perubatan
lain antaranya proses Lithotripsy yang sesuai untuk batu karang bersaiz kurang 1 cm.
Pencegahan Pengambilan air yang banyak membantu
mencegah kristal halus bercantum dan membentuk batu karang lebih besar.
Ia juga memudahkan badan membuang batu karang yang bersaiz sangat kecil.
Pemakanan memainkan peranan mencegah pembentukan batu karang. Antara
makanan yang menyebabkan pembentukan batu karang jika diambil
berlebihan, daging, organ dalaman haiwan, garam, kacang, bayam, coklat,
keledek, supplemen kalsium dan supplemen vitamin C berlebihan.
Rawatan al-Quran Ayat al-Quran memiliki mukjizat dan
kelebihan untuk membantu penyembuhan masalah batu karang. Daripada
pengalaman kami, ramai mengalami perubahan sangat positif selepas
menerapkan rawatan menggunakan ayat suci al-Quran.
Kami memeriksa setiap pesakit yang datang berubat, jika ada gangguan
makhluk halus, perawat akan membuang gangguan jika ada dan seterusnya
memberikan ayat berikut untuk diamalkan disertai doa kepada Allah
memohon penyembuhan.
Ayat-ayat tersebut adalah:
Surah al-Anbiyaa' ayat 74 hingga 81
Surah al-Qasas ayat 61 hingga 75
Surah al-Mukminun ayat 75
hingga 100
Surah al-Maidah ayat 48 hingga 55
Cara amalan ialah pesakit membaca surah pertama sebanyak tiga kali
pada malam dan surah kedua tiga kali pada siang. Pembacaan hendaklah
diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas itu,
pesakit perlu berdoa kepada Allah memohon sembuh.
Ayat di atas dan daripada surah al-Anbiyaa' berfungsi memecahkan atau
menghancurkan batu karang di dalam buah pinggang atau pundi kencing.
Bila batu hancur dan halus seperti pasir, ia mudah dikeluarkan dari
tubuh pesakit semasa buang air kecil.
Pesakit harus ingat penyembuhan hanya dengan izin Allah. Kita jangan
berputus asa dan sentiasa berdoa kepada Allah. Seperti di dalam surah
Yusuf ayat 12, Allah berfirman; "….dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yg kafir."
PenutupAllah berfirman di dalam al-Quran, surah at-Taghabun ayat 11, yang lebih kurang bermaksud;"Tidak
ada sesuatu musibah yang menimpa (seseorang), kecuali dengan izin
Allah; dan barangsiapa beriman kepada Allah, nescaya Allah akan memberi
petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu."
Di dalam ayat suci al-Quran di atas, Allah menerangkan bahawa setiap
musibah atau dugaan yang dihadapi oleh setiap insan di dunia hanya boleh
berlaku dengan izin Allah.
Kesimpulannya, setiap sakit yang dideritai adalah satu bentuk ujian
Allah; yang harus ditempuhi dengan sabar dan usaha penuh yakin dengan
janji Allah yang pasti akan ada ganjaran buat hamba-Nya yang bersabar di
atas musibah yang diturunkan. Insya-Allah, setiap usaha, doa dan
kesabaran kita akan diberi ganjaran oleh Allah SWT.
No comments:
Post a Comment